Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Russia Guna Dron “Shahed” Hitam, Bahan Komposit Serang Ukraine

Menurut jurucakap tentera udara Ukraine Yuriy Ihnat,  selain mengecatnya dengan warna hitam, Russia turut melakukan beberapa penambahbaikan terhadap dron-dron berani mati "Shahed" dibekalkan oleh Iran termasuk mengguna bahan komposit bagi membolehkan ia berjaya melaksanakan misi pengebomannya di Ukraine.

0 2,431

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilapor telah mengecat dron-dron berani mati “Shahed-136” yang dibekalkan oleh Iran dengan warna hitam untuk digunakan dalam serangan pada waktu malam terhadap bandar-bandar di Ukraine.

Tindakan mengecat dron-dron berani mati “Shahed” itu dengan warna itu adalah untuk menyukarkan lagi usaha anggota tentera Ukraine untuk mengesan secara visual kehadiran dron-dron itu di ruang udara negara itu pada waktu malam.

“Dengan mengecatnya warna hitam, ia adalah untuk menyukarkan lagi usaha secara visual untuk mengesan dron itu pada waktu malam.”

Menurut jurucakap tentera udara Ukraine Yuriy Ihnat,  selain mengecatnya dengan warna hitam, Russia turut melakukan beberapa penambahbaikan terhadap dron-dron berani mati “Shahed” dibekalkan oleh Iran itu bagi membolehkan ia berjaya melaksanakan misi pengebomannya di Ukraine.

Antaranya adalah menggunakan bahan komposit seperti karbon pada dron “Shahed” itu.

Shahed
Serpihan dron “Shahed”yang dicat hitam.

 

“Karbon dikenalpasti sebagai bahan yang menyerap signal radar dan ia menyukarkan lagi radar-radar sistem pertahanan udara kami untuk mengesannya (Shahed) di dalam radar manakala warna hitam pula adalah untuk mengabui penglihatan anggota  kami,” kata beliau.

Ia menyukarkan anggota kami yang bersenjatakan mesingan daripada menembak jatuh dron-dron “Shahed” itu.

Walaupun begitu, Ihnat mendakwa bahawa anggota tentera Ukraine telah berjaya menembak jatuh 71 daripada 75 dron berani mati “Shahed” yang menyerang ibu negara Kiev pada waktu malam semalam.

Kiev mendakwa serangan dron-dron berani mati oleh Russia semalam adalah “paling besar” sejak konflik bersenjata antara kedua-dua negara berjiran itu berlaku pada Februari tahun lepas.

Russia dilapor mula menggunakan dron-dron berani mati “Shahed” dibekalkan oleh Iran pada September tahun lepas untuk menyerang bandar-bandar serta infrastruktur Ukraine.

 

Selain menerima bekalan ribuan dron-dron berani mati “Shahed” terus daripada Iran, Russia juga dilapor telah mula membina dron-dron itu di kemudahan sendirinya yang terletak di bandar Yelabuga, Tatarstan yang terletak di selatan Moscow.

Iran dilapor telah memberikan bantuan teknikal kepada Russia bagi membolehkannya membina kemudahan pembinaan dron berani mati “Shahed” di bandar Yelabuga itu.

Russia telah menggunakan dron-dron berani mati Iran seperti Shahed-131, Shahed-136 dan Mohajer untuk menyerang pelbagai sasaran di Ukraine seperti bangunan,infrastruktur awam termasuk janakuasa elektrik, pusat simpanan minyak dan lain-lain lagi.

Pegawai Amerika Syarikat menyatakan kemampuan pelbagai dron buatan Iran telah meningkat dengan mendadak sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi Yemen disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco sehinggalah kepada serangan dron terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi.

Shahed

Shahed
Dron berani mati “Shahed-136”.

 

Walaupun dron-dron berani mati buatan Iran ini memiliki ketepatan yang rendah,tetapi berjaya “menakutkan” tentera dan orang awam Ukraine daripada segi psikologi.

Dron-dron berani mati keluaran Iran juga dikatakan berjaya menampung kekurangan senjata dan peluru dialami oleh tentera Russia akibat konflik berintensiti tinggi yang berterusan untuk tempoh lebih daripada setahun.

Diberi gelaran “moped” atau “skuter” disebabkan bunyi nyaringnya, dron berani mati Shahed-136 yang dibangunkan oleh Iran Aircraft Manufacturing (HESA) itu berkemampuan terbang sejauh diantara 1,000km hingga 2,200km.

Di muncung dron berani mati, ia dilengkapkan dengan bahan letupan seberat 50kg.

Shahed-136 mempunyai panjang keseluruhan 3.5 meter,berat 200kg manakala enjin buatan China membolehkan dron berani mati Iran itu terbang selaju 185km sejam. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...