Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Senjata Guna GPS, Dron Canggih Buatan Barat Diguna Ukraine “Lumpuh” Akibat Sistem EW Russia

Battalion Dron Tentera Ukraine dinama "Achilles" itu yang sememanya pakar tentang penggunaan dron berkata mereka tidak akan menggunakan senjata buatan Barat atau dron-dron buatan Barat yang paling canggih kerana berpendapat – senjata atau dron-dron Barat tidak mampu melakukan tugasnya.

18,646
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Battalion dron Tentera Ukraine dinamakan “Achilles” secara puratanya menggunakan kira-kira 3,000 buah dron First Person View (FPV) setiap bulan untuk menyerang aset-aset dan kedudukan tentera Russia.
Bagaimanapun bagi battalion itu yang sememangnya pakar tentang penggunaan dron, mereka tidak akan menggunakan senjata buatan Barat atau dron-dron buatan Barat yang paling canggih kerana berpendapat – senjata atau dron-dron Barat tidak mampu melakukan tugasnya.
“Contoh senjata yang paling baik seperti peluru artilleri Excalibur yang menggunakan sistem panduan GPS untuk membedil sasaran. Ia (Excalibur) tidak berguna langsung,” kata pegawai battalion dron tentera Ukraine itu ketika memberikan taklimat kepada syarikat pertahanan dan wartawan di London baru-baru ini.
“Dron (buatan Barat) yang terbaik tidak boleh terbang,” katanya pada taklimat yang dianjurkan oleh UK Friend of Ukraine itu.
Walaupun negara-negara Barat menyumbang pelbagai jenis dron kepada Ukraine untuk mengekang kemaraan tentera Russia, namun pakar-pakar menyatakan bahawa sebahagian besar daripada dron-dron itu tidak bersesuaian untuk digunakan di Ukraine.
Sebahagian daripada dron-dron yang disumbangkan itu bergelut di dalam keadaan medan peperangan yang penuh dengan sistem peperangan elektronik musuh.

Ukraine

Katanya isu utama adalah senjata-senjata moden Barat dengan mudah “dikalahkan” dengan taktik peperangan elektronik Russia.
Tentera Russia amat aktif menggunakan taktik peperangan elektronik dipanggil “spoofing”dalam usaha mereka mempertahankan unit-unit mereka, menyebabkan sistem yang bergantung kepada GPS seperti peluru artilleri seperti Excalibur atau sukar untuk beroperasi dengan berkesan.
Serangan-serangan “spoofing” mengelirukan receiver GPS dengan memancarkan signal yang lebih kuat berbanding yang dihantar oleh satelit GPS.
Signal-signal palsu ini mengelirukan receiver GPS itu sehingga menyebabkannya mengenalpasti lokasi sasaran yang salah.
Dalam satu keterangan kepada Kongres Amerika Syarikat Mac lalu, ia diberitahu bahawa tahap keberkesanan bidikan (targeting) bagi peluru artilleri “Excalibur” yang menggunakan GPS telah menurun daripada 70 peratus kepada hanya enam peratus di dalam tempoh beberapa bulan sahaja ia diperkenalkan di Ukraine disebabkan sistem peperangan elektronik Russia.
Menurut laporan media Barat pada April tahun lalu,  pihak tentera Amerika Syarikat telah membekalkan kira 3,000 peluru artilleri berketepatan tinggi “Excalibur” kepada tentera Ukraine untuk digunakan membedil sasaran Russia.
Amerika
Peluru artilleri “Excalibur”
Setiap sebuah peluru artilleri Excalibur dianggar bernilai US$100,000 (RM450,000).
Malah stesen televisyen terkenal CNN dalam laporannya juga menyatakan bahawa sistem peperangan elektronik Russia telah menyebabkan sistem persenjataan GMRLS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat tersasar jauh daripada sasaran bedilannya.
Sebutir peluru berpandu GMRLS dianggarkan bernilai US$160,000 (RM758,000).
Selain itu, laporan daripada tentera Ukraine dan pegawai Amerika juga menyatakan bahawa senjata JDAM (Joint Direct Attack Munitions) yang dibekalkan kepada Kiev juga mengalami masalah besar daripada segi bidikannya (targeting) apabila berhadapan dengan sistem peperangan elektronik Russia.
Pegawai-pegawai kanan Pentagon secara “senyap-senyap” turut mengakui sistem peperangan elektronik Russia telah membuatkan persenjataan canggihnya seperti Ground-Launched Small Diameter Bomb (GLSDB) gagal berfungsi sebagaimana diharapkan.
Ketua Perolehan Pentagon Bill LaPlante berkata disebabkan sistem peperangan elektronik Russia bom-bom GLSDB gagal mengenai sasaran dengan tepat apabila ia dilancar oleh Ukraine untuk membedil sasaran musuhnya itu.
Russia
GLSDB (Ground Launched Small Diameter Bomb)
GMLRS
Roket-roket GMLRS
“Apabila anda menghantar sesuatu (sistem persenjataan) yang akan digunakan dalam peperangan hidup mati mereka tetapi gagal berfungsi, maka mereka (tentera Ukraine) akan membuang (sistem persenjataan) itu,” menurut LaPlante.
Boeing yang membangunkan GLSDB dilaporkan berkata bahawa ia akan bekerjasama dengan Pentagon untuk meningkatkan lagi prestasi sistem persenjataan canggih Amerika itu, yang menjadi satu lagi persenjataaan canggih yang gagal berfungsi akibat sistem peperangan elektronik Russia.
Persenjataan GLSDB berkeupayaan membedil sasaran sejauh 144km, satu kali ganda jarak berbanding sistem Guided Multiple Launch Rocket System (GMRLS) yang dibekalkan kepada Ukraine untuk membedil pusat-pusat lojistik tentera Russia.
Peruntukan untuk membekalkan GLSDB kepada Ukraine telah diluluskan pada Februari 2023 dan Ukraine dilaporkan telah mula menggunakan senjata canggih itu pada Februari tahun ini.
Senjata GLSDB bergantung kepada sistem Global Positioning System (GPS) untuk membedil sasaran, selain menggunakan sistem Inertial Navigation. Setiap sebuah GLSDB dianggarkan bernilai US$40,000 (RM190,000). — DSA

Comments are closed.