Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sebuah Lagi Kapal Perang Moden Eropah “Rosak” Di Laut Merah, Terpaksa Pendekkan Operasi

Kapal perang Eropah terkini yang berhadapan dengan masalah teknikal serius ketika beroperasi di Laut Merah adalah friget Iver Huitfeld milik Tentera Laut Denmark, menyusuli kapal friget Jerman yang turut berhadapan masalah teknikal sehingga hampir-hampir menyebabkan "friendly fire" dengan aset milik tentera Amerika Syarikat.

0 8,369

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah lagi kapal perang moden Eropah berhadapan dengan masalah kritikal ketika terlibat dalam operasi di Laut Merah untuk melindungi kapal-kapal komersial daripada serangan dron berani mati dan peluru berpandu Houthi sehingga memaksa ia memendekkan operasinya dan pulang ke negara asalnya.

Kapal perang Eropah terkini yang berhadapan dengan masalah teknikal serius ketika beroperasi di Laut Merah adalah friget Iver Huitfeld milik Tentera Laut Denmark, menyusuli kapal friget Jerman yang turut berhadapan masalah teknikal sehingga hampir-hampir menyebabkan “friendly fire” dengan aset milik tentera Amerika Syarikat.

Kapal perang moden itu dilaporkan berhadapan dengan masalah yang serius melibatkan radar active phased array miliknya serta sistem pengurusan combat (combat management system) C-Flex sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan kapal perang itu.

Sebagaimana didedahkan oleh laman web “Olfi” negara itu, komponen-komponen kritikal yang bermasalah di kapal perang Iver Huitfeld itu dibina oleh syarikat Thales Nederland dan juga syarikat daripada Denmark, Terma.

“Menurut komunikasi daripada kapten kapal perang itu, masalah dihadapi oleh komponen terbabit adalah amat serius sehingga ia tidak dapat menggunakan sistem pertahanan udaranya, RIM-162 Evolved Sea Sparrow Missiles (ESSM) selama kira-kira 30 minit,” katanya.

Iver Huitfeld
“Iver Huitfeld”

 

Sistem pertahanan udara ESSM itu melindungi kapal perang terbabit daripada sebarang ancaman samada dron berani mati atau peluru berpandu anti-kapal.

Selain itu,kapal friget Iver Huitfeld milik Tentera Laut Denmark juga berhadapan dengan masalah serius melibatkan meriam 76mm miliknya yang gagal berfungsi dalam lebih daripada satu insiden ketika beroperasi.

Kegagalan sistem-sistem kritikal ini beroperasi telah mendedahkan kapal perang moden itu kepada bahaya.

Menurut laman web Denmark itu lagi, kapten kapal perang itu telah memaklumkan masalah-masalah yang membelenggu komponen-komponen kritikal kapal friget Iver Huitfeld itu tetapi tiada jalan penyelesaian diambil untuk memperbaikinya.

Malah kapal perang itu tetap dihantar ke zon aktif peperangan walaupun ia adalah kapal perang “yang rosak.”

Kapal friget Iver Huitfeld milik Tentera Laut Denmark itu kini dalam pelayaran pulang ke Denmark.

Iver Huitfeld
RIM-162 Evolved Sea Sparrow Missiles (ESSM)

 

Pada Februari lepas,  kapal friget Type 124 kelas-Sachsen Tentera Laut Jerman “FGS Hessen” dilapor telah melancarkan peluru berpandu sistem pertahanan udaranya dalam cubaan untuk menembak jatuh sebuah  dron “tidak dikenali” di Laut Merah, yang kemudiannya dikenalpasti sebagai milik Amerika Syarikat.

Kapal friget Tentera Laut Jerman itu bernasib baik dan tidak “menanggung malu” selepas peluru berpandu SM-2 (Standard Missile-2) dilancarkannya mengalami kerosakan teknikal, sekaligus menyebabkan cubaan untuk menembak jatuh “dron tidak dikenali”pada 26 Februari itu gagal.

“Dron tidak dikenali” itu kemudiannya dikenalpasti oleh Tentera Laut Jerman sebagai MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat yang sedang bertugas di kawasan perairan Laut Merah.

“Kegagalan” teknikal peluru berpandu kapal friget Jerman itu berfungsi dengan baik telah menyelamatkan Tentera Laut Jerman daripada menanggung malu kerana “tersalah tembak” sehingga menyebabkan kemusnahan aset milik tentera daripada pasukan sahabat.

Kapal friget Tentera Laut Jerman “FGS Hessen” itu berada di perairan Laut Merah sebagai sebahagian daripada “Operation Aspides” yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah bagi menangani ancamana daripada kumpulan Houthi terhadap kapal-kapal dagang yang melalui kawasan perairan itu.

Jerman
Kapal friget Jerman FGS Hessen.

 

Menurut maklumat-maklumat, selepas kapal perang Jerman “FGS Hessen” itu mengesan kehadiran dron “tidak dikenali” itu, kapal perang Jerman “FGS Hessen” telah cuba melakukan identifikasi dengan tentera Amerika tetapi tidak berjaya, menyebabkan ia telah melancarkan peluru berpandu SM-2 dalam cubaan untuk menembaknya jatuh.

Laporan daripada media Jerman “Spiegel” menyatakan bahawa kedua-dua peluru berpandu SM-2 itu mengalami masalah teknikal menyebabkan ia gagal menembak jatuh “dron tidak dikenali” itu. — DSA

Iklan

Comments
Loading...