Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sebanyak 171 Unit Aset Milik Tiga Cabang ATM Lebihi Usia 30 Tahun – Menteri Pertahanan

“Jumlah aset milik ATM yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya adalah 108 unit bagi Tentera Darat, 29 unit bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).” -- jawapan lisan Menteri Pertahanan.

0 327
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Terdapat 171 unit aset milik ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah melebihi usia 30 tahun, mengesahkan tentang masalah aset berusia yang dihadapi oleh angkatan tentera negara ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisannya kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
“Jumlah aset milik ATM yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya adalah 108 unit bagi Tentera Darat, 29 unit bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).”
“Secara asasnya, had usia guna aset-aset ketenteraan adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing,” kata beliau.
Dalam jawapan lisan Menteri Pertahanan itu, beliau tidak menjelaskan dengan terperinci jenis-jenis aset milik ATM yang telah melebihi usia 30 tahun.
Hawk
Pesawat Hawk 108 milik TUDM.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kepimpinan ketenteraan negara telah secara terbuka menyatakan tentang masalah aset-aset usang yang dialami oleh mereka.
Awal bulan ini, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dipetik berkata oleh media tempatan bahawa  sebanyak 34 buah kapal TLDM telah melepasi had umur penggunaan termasuk 28 daripadanya berusia lebih 40 tahun.
 Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menggantikan kapal-kapal berkenaan.
“Kini TLDM telah mengoperasikan sebanyak 53 buah kapal dari pelbagai kelas bagi memenuhi keperluan operasi serta rondaan di zon Maritim Malaysia.
“Sebahagian daripada kapal-kapal tersebut telah melebihi usia penggunaan yang optimum terhadap keupayaan, teknologi dan kos selenggaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari ATM Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting baru-baru ini.

Pendekar

Had umur bagi kapal-kapal TLDM mengikut kelas adalah 35 tahun bagi kapal selam dan 30 tahun bagi kapal friget, korvet, kapal logistik, kapal ronda generasi baharu dan hidrografi, kata Panglima ATM.
Bagi had umur kapal-kapal yang lebih kecil seperti kapal ronda laju, kapal peperangan periuk api, kapal layar dan bot tunda pula adalah 24 tahun, katanya. 
Julai tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap mahu sistem perolehan aset ATM dirombak.
Beliau berkata rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal  tidak selaras dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik dan strategik Malaysia.
“Mengapa saya pilih sebut perkara ini kepada saudara sekalian kerana bagi veteran, bagi pasukan tentera dan tentunya bagi kita semua rakyat, kesiapsiagaan negara dalam bidang pertahanan itu adalah urusan yang penting.
Pack Howitzer
Anggota tentera Malaysia mengendalikan meriam Pack Howitzer Mod 56 105mm dalam satu latihan.
Jadi kita anjurkan (sarankan) kepada pimpinan tentera bahawa sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar.
“Ketua-ketua turus dipertanggungjawabkan untuk memilih kapal perang, pesawat, kereta kebal dan kelengkapan lain yang terbaik dan tidak lagi mengulangi kerenah, merompak melalui komisen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang keupayaan untuk medan pertahanan yang mantap,” katanya. — DSA

Comments
Loading...