Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Satelit Rakam Kapal Selam Nuklear China Di Pangkalannya Di Laut China Selatan

Memandangkan kapal selam beroperasi di bawah permukaan air, jauh daripada pandangan mata orang ramai untuk tujuan kerahsiaan misi yang amat tinggi, maka sebarang rakaman imejnya adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

0 2,838

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 8 Julai lepas, satelit komersial antarabangsa telah berjaya merakam gambar kapal selam berkuasa nuklear Type 094 kelas-Jin milik Tentera Laut China, ketika ia belayar balik ke pangkalan laut Yulin di Pulau Hainan, berkemungkinan selepas menjalankan rondaan di Laut China Selatan atau Lautan Pasifik.

Mana-mana kapal selam yang memiliki kemampuan melancarkan peluru berpandu nuklear digelar “boomers” menurut military jargon.

Memandangkan kapal selam beroperasi di bawah permukaan air, jauh daripada pandangan mata orang ramai untuk tujuan kerahsiaan misi yang amat tinggi, maka sebarang rakaman imejnya adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Dalam satu lagi imej yang berjaya dirakam oleh satelit komersial itu pada 15 Julai 2021 pula,  mereka dapat mengesan terdapat dua buah kapal selam berkuasa nuklear Type 094 bersama-sama dua buah kapal selam berkuasa nuklear Type 093 kelas-Shang sedang berlabuh di empat buah jeti di pangkalan laut Yulin itu.

Keempat-empat kapal selam berkuasa nuklear itu nampaknya dilindungi oleh kemudahan sistem pertahanan udara yang terletak berdekatan.

Yulin
(Gambar kredit CSIS/MAXAR)

 

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh badan pemikir yang berpengkalan di Washington, Centre For Strategic and International Studies (CSIS),  ia mengatakan bahawa kapal selam Type 094 telah direkabentuk oleh China khusus untuk melancarkan peluru berpandu nuklear.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, kapal selam terbabit merupakan kuasa deteren senjata nuklear yang pertama buat China dan negara Asia itu dipercayai memiliki empat buah kapal selam Type 094 serta dua buah kapal selam Type 094A yang telah dipertingkatkan.

China sedang membangunkan kapal selam berkuasa nuklear terbarunya iaitu Type 096 yang akan meningkatkan lagi kuasa deteren senjata nuklearnya.

Bagaimana pula kemampuan persenjataan kapal selam Type 094 yang merupakan kapal selam paling berkuasa dalam armada tentera laut China itu?

Kelas Jin
Kapal selam nuklear Type 094 kelas-Jin milik China.

 

Kapal selam Type 094 dan Type094A itu mampu membawa sehingga 12 buah peluru berpandu nuklear antara benua dipanggil Julang-12 (JL-2) yang mampu membedil sasaran sejauh di antara 7,000km hingga 9,000km.

Bagi kapal selam Type 096 yang sedang dibangunkan, ia akan membawa 12 peluru berpandu ICBM JL-3 yang sedang dibangunkan oleh China, yang mampu membedil sasaran sejauh lebih daripada 9,000km .

Jika dilancarkan daripada kawasan perairan berhampiran pantai China, peluru berpandu JL-2 itu mampu membedil sasaran di Russia, Guam, Hawaii dan India tetapi ia tidak mampu membedil sasaran di tanah besar Amerika Syarikat.

Untuk membedil sasaran di tanah besar Amerika Syarikat, kapal selam Type 094 itu perlu belayar ke Pasifik Barat melancarkan peluru berpandu JL-2 ICBM itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...