(VIDEO) Russia Umum Penubuhan Rejimen Pertama Sistem Pertahanan Udara S-500 “Prometheus”
Penubuhan rejimen pertama dilengkapi dengan sistem pertahanan udara S-500 “Prometheus” yang baru sahaja dibangunkan akan membolehkan Russia meningkatkan keupayaan pertahanan peluru berpandu strategiknya termasuk bagi menangani serangan peluru berpandu hypersonik berkelajuan melebihi Mach 20.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan rejimen pertama sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak jauh S-500 “Prometheus.”
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Staf Am Angkatan Tentera Russia, Jeneral Valery Gerasimov baru-baru ini.
Menurut beliau, penubuhan rejimen pertama dilengkapi dengan sistem pertahanan udara S-500 “Prometheus” yang baru sahaja dibangunkan akan membolehkan Russia meningkatkan keupayaan pertahanan peluru berpandu strategiknya termasuk bagi menangani serangan peluru berpandu hypersonik berkelajuan melebihi Mach 20.
Sistem pertahanan udara S-500, yang dikenali sebagai ‘Prometheus’, direka untuk menangani sebarang cabaran semasa peperangan.
Ia berkeupayaan memintas pelbagai sasaran pada jarak yang amat jauh, mengatasi kemampuan sistem peluru berpandu pertahanan udara S-400 “Triumf”.
Sistem pertahanan udara jarak jauh S-500 yang dioperasikan oleh tentera Russia itu dipercayai dalam dua varian iaitu – untuk menangani peluru berpandu ballistik (Ballistic Missile Defence – BMD) dan sistem pertahanan udara jarak jauh.

Menurut laporan oleh media Russia, Izvestia yang memetik sumber-sumber daripada Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan bahawa tentera Russia telah melaksanakan pelbagai ujian sebelum mengoperasikan sistem itu.
Ujian-ujian yang dilakukan terhadap sistem pertahanan udara S-500 itu menunjukkan ia sememangnya berkemampuan memintas dan menembak jatuh peluru berpandu hypersonic.
Malah dalam satu ujian yang dilaksanakan pada Februari tahun ini, sistem peluru berpandu S-500 telah berjaya memintas dan menembak jatuh peluru berpandu ballistik antara benua (Intercontinental Ballistic Missile – ICBM) R-29RMU2 Sineva.
Dalam ujian yang dilakukan itu, peluru berpandu ICBM Sineva yang dilancarkan oleh kapal selam berkuasa nuklear di Laut Laptev telah dipintas oleh sistem pertahanan udara S-500 di tapak ujian Chizha yang berada di wilayah Arkhangelsk.
Selain itu, sistem pertahanan udara S-500 juga telah menjalani ujian dimana ia dilaporkan telah menembak jatuh satelit Russia, Kosmos-1408 yang dimusnahkan di orbit pada pada November 2021.
Ujian penembakan jatuh satellit Kosmos itu turut membimbangkan Amerika Syarikat terhadap kemampuan sistem pertahanan udara anti-satellit.
Pemain Video
00:00
00:00
Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa ujian-ujian yang dilakukan menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara S-500 telah melepasi segala ujian yang telah ditetapkan bagi membolehkan ia menangani ancaman udara masa kini dan masa depan.
Sistem pertahanan udara S-500 merupakan suatu peningkatan daripada semua segi berbanding sistem pertahanan udara S-400 “Triumf.”
Sistem pertahanan udara S-500 yang dibangunkan oleh firma pertahanan Russia, Almaz-Antey berkemampuan menembak jatuh sasaran pada jarak 500km hingga 600km, yang diperakui sebagai sistem pertahanan udara paling jauh.
Ia menembak jatuh 10 sasaran secara serentak.
Satu bateri sistem pertahanan udara itu memiliki sehingga empat buah radar yang membolehkan ia mengesan dan menjejaki sasaran daripada jarak diantara 800km sehingga 2,000km.
Selain keupayaannya dalam pertahanan udara konvensional, S-500 juga direka khusus untuk memintas peluru berpandu ballistik jarak pertengahan (IRBM) dan berpotensi juga peluru berpandu ballistik antara benua (ICBM) semasa fasa pertengahan dan terminal.
