Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal selam Russia, “Rostov-on-Don” rosak teruk dibedil “Storm Shadow” Ukraine

Kapal selam Russia yang terkena serangan peluru berpandu kruis “Storm Shadow”  itu dikenalpasti sebagai daripada kelas-Kilo, “Rostov-on-Don “ (B-237), yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu kruis “Kalibr".

0 4,423

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali dalam konflik Russia-Ukraine, sebuah kapal selam milik Russia mengalami kerosakan teruk selepas  pangkalannnya di Sevastopol di wilayah Crimea dibedil oleh peluru berpandu kruis “Storm Shadow” oleh tentera Ukraine.

Serangan tentera Ukraine yang menggunakan kombinasi peluru berpandu kruis dibekalkan oleh Britain dan bot-bot tanpa pemandu dilengkapi bahan letupan itu turut menyebabkan kerosakan teruk terhadap sebuah kapal Landing Ship Tank (LST) kelas-Ropucha, “Minsk”.

Kapal selam Russia yang terkena serangan peluru berpandu kruis “Storm Shadow”  itu dikenalpasti sebagai daripada kelas-Improved Kilo, “Rostov-on-Don “ (B-237) bernilai US$300 juta sebuah dan hanya memasuki perkhidmatan tentera laut Russia pada tahun 2014.

Russia menggunakan kapal selam itu untuk melancarkan peluru berpandu kruis “Kalibr” terhadap Ukraine dalam perairan Laut Hitam.

Kedua-dua aset Tentera Laut Russia yang terkena bedilan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang dibekalkan oleh Britain itu berkemungkinan akan memakan masa yang lama untuk diperbaiki memandangkan kerosakan teruk dialaminya.

Rostov
Keadaan di pangkalan laut Sevastopol.

Rostov

Perisikan Ukraine menyatakan bahawa kedua-dua aset tentera laut Russia tidak tidak mungkin akan kembali ke operasi kerana kerosakan dialaminya amat teruk.

Sejak beberapa bulan lepas, Kiev telah meningkatkan serangan terhadap Crimea dalam usahanya untuk merampas kembali wilayah yang ditawan dan diduduki oleh Russia sejak tahun 2014.

Serangan terhadap Sevastopol pada awal pagi Rabu itu hanya menunjukkan peningkatan kemampuan tentera Ukraine dalam melakukan serangan terhadap pangkalan laut Russia di wilayah Crimea.

Sumber-sumber tentera Russia mengesahkan kepada media tentang serangan oleh Ukraine terhadap Crimea.

Ia berkata sekurang-kurangnya 10 buah peluru berpandu kruis “Storm Shadow” dan tiga buah dron laut  digunakan dalam serangan itu, dengan sistem pertahanannya menembak jatuh tujuh daripada peluru berpandu kruis itu. 

Rostov
Kapal LST kelas-Ropucha “Minsk”

Rostov

Sumber berkenaan juga berkata kedua-dua buah kapal yang ditugaskan kepada Armada Laut Hitam Russia itu sedang berada dry dock di pangkalan laut di Sevastopol untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

Sevastopol adalah amat penting kepada Russia, kerana ia merupakan pangkalan kepada kapal-kapal milik Armada Laut Hitam Tentera Laut Russia yang “menonjolkan” kuasa maritim Moscow di Laut Hitam.

Russia juga menggunakan kapal-kapal tentera lautnya daripada Armada Laut Hitam untuk melancarkan peluru berpandu kruis terhadap kedudukan tentera Ukraine.

Sementara itu, gabenor Sevastopol Mikhail Razvozhayev menyatakan bahawa serangan Ukraine terhadap bandar terbesar di Crimea dan pelabuhan terpenting itu telah mencederakan 24 orang. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...