Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Kerah Ribuan Tentera Dan Senjata Ke Timur Ukraine, Cetus Kebimbangan Konflik Terbaru

Penambahan anggota tentera dan senjata canggih Russia di timur Ukraine ini sangat serius sehingga pihak U.S European Command (EUCOM) telah bertindak meningkat Tahap Ancaman (Threat Level) untuk Ukraine daripada “possible crisis” kepada “imminent crises”.

0 3,310

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak seminggu yang lepas, Russia telah menghantar ribuan anggota tentera tambahan bersama-sama ratusan artileri, kereta perisai dan kereta kebal serta sistem persenjataan lain ke Crimea yang ditakluknya daripada Ukraine pada 2014 serta timur Ukraine.

Tindakan Russia ini dilihat oleh pemerhati Barat sebagai persediaan Vladimir Putin untuk melancarkan konflik baru dengan Ukraine.

Crimea

Penambahan anggota tentera dan senjata canggih Russia di timur Ukraine ini sangat serius sehingga pihak U.S European Command (EUCOM) telah bertindak meningkatkan Tahap Ancaman (Threat Level) untuk Ukraine daripada “possible crisis” kepada “imminent crises”.

Tahap Ancaman “Imminent Crisis” ini adalah tahap ancaman yang paling tinggi, menandakan kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Russia dan Ukraine berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Panglima Angkatan Tentera Ukraine Jeneral Ruslan Khomchak berkata, tindakan agresif Russia di Donbass (timur Ukraine iaitu wilayah Donetsk dan Luhansk) bukan sahaja merupakan ancaman kepada Ukraine tetapi juga kepada seluruh rakan-rakan NATO di Eropah.

Walaupun Ukraine bukan negara NATO, tetapi ia berhasrat untuk menganggotainya dan negara-negara NATO juga mahu menjadikan Kiev itu sebagai anggota pertubuhan itu.

Usaha Ukraine untuk menjadi anggota NATO juga merupakan salah satu isu yang membangkitkan kemarahan Russia.

Russia

Sementara itu Pengerusi Staf Bersama Tentera Amerika Syarikat Jeneral Mark A Milley juga telah menghubungi rakan-rakan sejawatannya di Russia dan Ukraine meminta mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan konflik bersenjata di timur Ukraine.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken juga berkata negara itu akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Ukraine “walaupun berhadapan dengan tindakan agresif daripada Russia.”

Sementara itu jurucakap kerajaan Russia, Dimitry Peskov berkata, ia memandang berat peningkatan ketegangan di timur Ukraine dan melahirkan kebimbangan bahawa Ukraine akan memulakan konflik dengan Moscow.

Sejak Russia menakluk Crimea pada 2014, banyak berlaku pertempuran di antara tentera Ukraine dengan anggota militia pro-Russia di wilayah Donbass yang terletak di timur Ukraine, yang dianggarkan telah mengorbankan kira-kira 14,000 orang.

Banyak dakwaan mengatakan militia itu sebenarnya adalah anggota tentera Russia yang sebenar.

Ukraine

Minggu lepas, Ukraine mendakwa empat anggota tenteranya maut akibat serangan mortar yang dilancarkan oleh tentera Russia di Donbass.

Menurut penganalisi, antara punca kepada konflik terkini bermula kira-kira 7 tahun lepas apabila Ukraine menutup North Crimean Canal yang membekalkan sumber air kepada sebahagian besar wilayah di Crimea.

Tindakan itu telah menyebabkan Crimea menghadapi masalah air yang serius dan ia mungkin sebab mengapa tentera Russia mahu merampas kembali North Crimean Canal itu untuk memastikan  sumber bekalan air ke timur Ukraine terpelihara.

Selain itu mereka juga berpendapat, Putin mahu melakukan “diversionary tactic” daripada masalah yang semakin bertimbun di Russia daripada perbicaraan aktivis pro-demokrasi Alexei Navalny dan piliharaya parlimen Russia yang dipanggil Duma.

Putin perlu satu isu baru untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyatnya dan golongan nasionalis yang merupakan penyokong kuat Putin.

Walauapapun, keadaan di timur Ukraine semakin genting dan bakal meletus pada bila-bila masa.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...