Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas Berdekad, Tentera Laut Russia Mahu Bina Kapal Pengangkut Pesawat Baru

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat tunggal dipanggil “Admiral Kuznetsov” yang akan memasuki perkhidmatan tentera laut negara itu tahun depan, selepas enam tahun berada di  Limbungan Kapal Sevmorput di Murmansk untuk kerja-kerja baik-pulih dan naiktaraf.

0 5,707

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas berdekad lama tidak membina kapal pengangkut pesawat, Tentera Laut Russia kini bercadang untuk membina sebuah kapal pengangkut pesawat untuk meningkatkan kemampuannya melaksanakan pelbagai operasi.

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat “Admiral Kuznetsov.”

Rancangan pembinaan kapal pengangkut pesawat terbaru Russia itu didedahkan sendiri oleh Panglima Tentera Laut Russia itu sendiri Laksamana Nikolai Yevmenov dalam satu temuramah dengan akhbar Krasnaya Zvezda.

“Isu tentang usaha untuk menwujudkan aset pembawa pesawat pejuang telah diselesaikan, Ia (kapal pengangkut pesawat) akan meningkatkan keberkesanan untuk melaksanakan pelbagai tugasan operasional,” kata beliau dalam temuramah dengan akhbar terbabit.

Pada ketika ini “brown-water navy” terdiri daripada kapal-kapal perang yang menggabungkan kemampuan anti-kapal selam dan serangan seperti kapal-kapal korvet “Steregushchy” dan  “Gremyashchy” serta kapal-kapal serang laju peluru berpandu “Grad Sviyazhsk.”

Manakala “blue-water navy” pula terdiri daripada kapal-kapal friget, kapal peronda dan kapal amphibious assault ship yang boleh mendaratkan aset-aset serta anggota tentera jarak jauh.

Kuznetsov
Admiral Kuznetsov

 

Pada ketika ini, Tentera Laut Russia memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat tunggal dipanggil “Admiral Kuznetsov” yang sedang diperbaiki pada ketika ini.

Pesawat pengangkut pesawat “Admiral Kuznetsov” dijangka akan memasuki perkhidmatan tentera laut negara itu tahun depan, selepas enam tahun berada di  Limbungan Kapal Sevmorput di Murmansk untuk kerja-kerja baik-pulih dan naiktaraf.

Mula dibina pada 1982 dan hanya siap pada 1991, kapal “Admiral Kuznetsov” yang memiliki berat 58,000 tan mula memasuki limbungan kering untuk kerja-kerja baik-pulih dan naiktaraf pada 2017.

Menurut agensi berita Russia “TASS”, kapal pengangkut pesawat itu dijangka memulakan ujian di laut pada musim bunga 2024 dan sekiranya ujian tersebut berjalan dengan lancar, maka ia akan memasuki perkhidmatan Tentera Laut Russia pada akhir tahun depan.

Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan terhadap “Admiral Kuznetsov” yang bermula enam tahun lalu itu bertujuan untuk memanjangkan lagi hayat kapal pengangkut pesawat itu untuk tempoh di antara 15 hingga 20 tahun lagi.

Kenyataan bahawa kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu bakal mengakhiri kerja-kerja baikpulih itu pada tahun depan selepas enam tahun “terperap” di limbungan kapal telah disambut dengan baik oleh pemerhati pertahanan di negara itu.

Sebenarnya ramai di kalangan pemerhati pertahanan mahukan kerajaan Russia melupuskan atau menamatkan sahaja perkhidmatan “Admiral Kuznetsov”, berikutan pelbagai masalah dan kemalangan yang dialami oleh kapal itu.

Disebabkan siri masalah dan kemalangan yang dialami oleh kapal itu,sama ada ketika berada di lautan atau di limbungan, maka kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah diberikan gelaran “kapal perang yang disumpah.”

 Dikala Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain sedang berlumba-lumba untuk membina kapal-kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) untuk menonjolkan kuasa maritim mereka, Russia pula masih dengan kapal pengangkut pesawat tunggal mereka yang sering rosak, “Admiral Kuznetsov.”

Mengapa Russia sebagai sebuah kuasa tentera utama dunia, dengan pengetahuan kejuruteraan dan ketenteraan yang tinggi hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat berbanding 11 buah yang dimiliki oleh pesaing terdekatnya, Amerika Syarikat? — DSA

Comments
Loading...