Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Tawar Sewaan Kapal Selam Nuklear Kelas-Akula Kedua Pada Tentera Laut India ?

Tawaran kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua kepada Tentera Laut India itu hadir ketika negara Asia Selatan itu sedang berusaha memodenkan kemampuan maritimnya dan menonjolkan kuasanya di Lautan Hindi dan Indo-Pasifik.

0 2,459
Dalam simbol hubungan dan kerjasama erat pertahanan di antara India dan Rusia, Moscow dilaporkan telah menawarkan sewaan kepada India kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua dilengkapi dengan peluru berpandu kruis Kalibr kepada New Delhi.
Tawaran kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula kedua kepada Tentera Laut India itu hadir ketika negara Asia Selatan itu sedang berusaha memodenkan kemampuan maritimnya dan menonjolkan kuasanya di Lautan Hindi dan Indo-Pasifik.
India juga sedang berhadapan dengan cabaran peningkatan rondaan daripada kapal-kapal selam konvensional dan nuklear China di Lautan Hindi, tidak jauh daripada sempadan maritimnya.
Pada ketika ini, Tentera Laut India sedang mengoperasikan sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula yang disewakan kepadanya oleh Rusia.
Pada Mac 2019, India memuktamadkan perjanjian strategik bernilai kira-kira USD 3 bilion (RM14 bilion) dengan Rusia untuk menyewa sebuah kapal selam serangan berkuasa nuklear kelas-Akula, yang bakal diberi nama INS Chakra III apabila beroperasi di bawah panji Tentera Laut India.
Perjanjian tersebut, yang dimeterai sebagai Inter-Governmental Agreement (IGA), menetapkan tempoh penyewaan selama 10 tahun, sekali gus menjadikan India antara segelintir negara yang mampu mengendalikan aset tempur bawah permukaan berkuasa nuklear di luar daripada armada kapal selam balistik strategiknya sendiri.
INS Chakra III, yang berasaskan rekabentuk Projek 971 Shchuka-B (kod NATO: Akula), merupakan kesinambungan daripada dua kapal selam sewaan nuklear terdahulu – INS Chakra I (K-43 Charlie-class) pada era Soviet lewat 1980-an dan INS Chakra II (K-152 Nerpa) yang beroperasi antara 2012 hingga 2021.
Akula
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Akula
Difahamkan, kapal selam yang dipilih untuk program ini sedang menjalani proses naik taraf komprehensif di limbungan Rusia bagi memastikan ianya mampu beroperasi dalam keadaan optima, termasuk keupayaan peluru berpandu jarak jauh seperti Kalibr yang boleh menjangkau sasaran lebih 1,500 kilometer.
Bagaimanapun, beberapa laporan menyebut bahawa kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian INS Chakra III mengalami penangguhan, dengan anggaran tarikh penghantaran terbaru dijangka antara 2025 hingga 2028, bergantung kepada jadual penyelesaian di limbungan Rusia.
Dalam konteks strategik, kehadiran sebuah lagi kapal selam serangan nuklear (SSN) memberi Tentera Laut India opsyen tambahan untuk menjalankan rondaan jarak jauh, operasi menjejak kapal selam musuh, dan melindungi laluan laut penting di Lautan Hindi yang semakin kritikal.
Kapal selam kelas Akula sendiri terkenal dengan ciri senyapnya, kelajuan tinggi di bawah permukaan dan kapasiti persenjataan pelbagai termasuk torpedo dan peluru berpandu, menjadikannya tulang belakang kekuatan bawah permukaan Angkatan Laut Rusia sejak era Perang Dingin.
Bagi India, penambahan INS Chakra III bakal menjadi jambatan penting ke arah mengasah kepakaran krew dan jurutera marin dalam mengendalikan teknologi nuklear bawah air, seiring dengan pengoperasian program INS Arihant-class, iaitu kapal selam balistik nuklear (SSBN) buatan tempatan.
Langkah ini juga dilihat sebagai isyarat kuat kepada China yang terus memperluas armada kapal selamnya di Lautan Hindi melalui kehadiran tetap kapal selam konvensional dan nuklear di pangkalan pelabuhan sahabat di rantau Asia Selatan.
Secara keseluruhannya, penyewaan kapal selam kelas Akula kedua ini memperkukuh rancangan India untuk mengekalkan ‘credible minimum deterrence’ di perairan serantau, di samping memupuk ekosistem industri tempatan ke arah pembangunan kapal selam serangan berkuasa nuklear buatan sendiri pada masa depan.

Akula

Sementara itu, walaupun identiti kapal selam kelas-Akula kedua yang bakal disewa oleh India masih menjadi teka-teki, namun penganalisis pertahanan menyatakan ia berkemungkinan K-519 “Iribis” daripada Project 9711 kelas-Akula.
“Iribis” telah dibina di Limbungan Kapal Amur pada 1994 tetapi pembinaannya ditangguhkan pada 1996 apabila proses pembinaan kapal selam itu mencapai 40 peratus dan sekiranya India menerima tawaran daripada Russia maka ia perlu berbelanja bukan sahaja untuk menyiapkan pembinaan kapal selam itu tetapi juga perlu memodenkannya dengan peralatan dan sistem terkini.
Kapal selam K-519 “Iribis”, yang dibina berdasarkan reka bentuk Projek 971 Shchuka-B (nama kod NATO: Akula I), sebelum ini dilaporkan terbengkalai dalam tempoh pasca-Kesatuan Soviet akibat pembiayaan yang terhad, namun dikatakan berpotensi diaktifkan semula dengan program naik taraf besar-besaran.
Menurut beberapa sumber pertahanan, perjanjian sewa yang dianggarkan bernilai kira-kira USD 3 bilion (lebih RM14 bilion) ini dijangka akan dilaksanakan di bawah rangka Inter-Governmental Agreement (IGA) antara Moscow dan New Delhi, sama seperti dua perjanjian terdahulu untuk INS Chakra I dan INS Chakra II.
Dengan status “kosong” sejak akhir 1990-an, K-519 “Iribis” dikatakan sesuai untuk ditukar menjadi INS Chakra III, meskipun nama rasminya masih belum disahkan oleh pihak berkuasa India atau Rusia.
Limbungan Kapal Amur di Komsomolsk-on-Amur dilaporkan sedang menilai skop pengubahsuaian bagi memastikan kapal selam ini dapat memenuhi piawaian operasi Tentera Laut India.
Jika spekulasi ini menjadi kenyataan, India akan mengoperasikan kapal selam serangan generasi ketiga hasil sewaan dari Rusia, melengkapkan aset strategik sedia ada seperti kapal selam balistik nuklear INS Arihant dan INS Arighat, serta meningkatkan lagi kemampuan India ke arah pembangunan kapal selam serangan buatan tempatan menjelang dekad hadapan.
Dari segi teknikal, K-519 “Iribis” yang bersaiz sekitar 110 meter panjang mempunyai kebolehan selam sedalam 600 meter, berkelajuan lebih 30 knot di bawah air dan mampu membawa torpedo berat 533 mm serta peluru berpandu jelajah Kalibr yang boleh membedil sasaran sehingga 1,500 kilometer.
Dalam konteks geopolitik, penyewaan kapal selam ini membolehkan India terus mengimbangi pengaruh China di perairan Lautan Hindi, di mana Beijing dilihat semakin aktif menempatkan kapal selam nuklear Type 093 dan Type 094 mereka di sekitar perairan kritikal di bawah kerangka “String of Pearls”.
Selain itu, kehadiran K-519 “Iribis” – jika disahkan – bakal memperkukuh keupayaan Tentera Laut India dalam misi “Sea Denial” dan “Sea Control”, dengan kemampuan rondaan tempoh panjang yang mampu memperdaya sistem sonar lawan serta menjejak kapal selam dan armada permukaan negara pesaing.
Walaupun pihak Kementerian Pertahanan India tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini, beberapa penganalisis pertahanan berpendapat bahawa kesepakatan ini berkemungkinan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang selepas kerja naik taraf struktur, sistem senjata, reaktor nuklear serta modul kawalan sonar disiapkan sepenuhnya.
Apa yang pasti, perjanjian sewa K-519 “Iribis” akan mengekalkan India sebagai satu-satunya negara di luar Rusia yang secara konsisten mengoperasikan kapal selam serangan bertenaga nuklear kelas Akula, menandakan kepercayaan strategik mendalam antara New Delhi dan Moscow meskipun landskap sekutu antarabangsa semakin rencam.
Dengan kemunculan K-519 “Iribis”, Tentera Laut India menghantar mesej jelas bahawa keupayaan tempur bawah permukaan akan terus menjadi teras penangkis strategik dalam memastikan keseimbangan kuasa di rantau Indo-Pasifik yang kian mencabar.

Leave a Reply