Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Cuba Pancing Turki Dengan Tawaran Penjualan Su-35 dan Su-57

Selain itu, Russia juga bersedia bekerjasama dengan Turki dalam membangunkan pesawat pejuang generasi kelima Turki TF-X.

0 2,696

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Turki “dikeluarkan” daripada program pesawat pejuang F-35A Lightning, Russia kini pula menawarkan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-57 sebagai ganti kepada pesawat buatan Amerika Syarikat itu.

Russia berharap kejayaannya menarik minat Turki untuk membeli sistem pertahanan udara, S-400 dapat diulangi dengan pesawat-pesawat pejuang pula, dan secara geopolitiknya dapat mendekatkan diri dengan Ankara.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400

“Bagi potensi Turki untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-57, pihak kami telah memaklumkan kepada Turki spesifikasi lengkap pesawat-pesawat itu. Jika Turki berminat, kita boleh memulakan rundingan berkenaan perkara ini,” kata jurucakap agensi kerjasama pertahanan Russia Valeria Reshetnikova kepada portal pertahanan Defense Blog.

Selain itu, beliau juga berkata Russia bersedia bekerjasama dengan Turki dalam membangunkan pesawat pejuang generasi kelima Turki TF-X.

Bagaimanapun jika Turki membeli pesawat-pesawat pejuang Russia ini, ia berkemungkinan dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, sebagaimana yang berlaku apabila ia membeli S-400.

Disebabkan tindakan Turki membeli sistem pertahanan udara S-400 pada 2017, Amerika Syarikat telah menghukum Ankara dengan mengeluarkan negara Mediterranean yang juga anggota NATO daripada program F-35 pada 2019.

Turki dijadual memperolehi sehingga 100 buah F-35 dan membuat beberapa komponen pesawat pejuang itu.

Su-35
Pesawat pejuang Su-35.

Ankara memutuskan untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 selepas Amerika Syarikat enggan menjual sistem pertahanan Patriot dan tahun lepas, bertempat di bandar pelabuhan Sinop, tentera Turki telah melancarkan sistem S-400 itu dalam ujian pelancaran pertama.

Tindakan negara Mediterranean itu telah menyebabkan ia dikenakan sekatan pembelian senjata oleh Amerika Syarikat.

Turki menyifatkan langkah Amerika Syarikat mengenakan sekatan dan membatalkan penyertaannya dalam program F-35 sebagai tidak adil kerana “musuh tradisinya”, Greek juga memiliki sistem pertahanan Russia, S-300 tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Washington.

Amerika Syarikat bimbang apabila Turki mengintegrasikan sistem pertahanan udara S-400 bakal mendedahkan keseluruhan sistem pertahanan udara bersepadu NATO kepada intipan dan perisikan oleh Russia.

Turki mungkin terpaksa memikirkan pembelian pesawat pejuang dengan cepat kerana Greek telah pun menandatangani perjanjian pembelian dengan Perancis untuk membeli 18 buah pesawat pejuang Rafale bagi menggantikan pesawat pejuang Mirage.

Pembelian itu meliputi 12 buah pesawat pejuang Rafale terpakai dan enam buah baru.

Penghantaran pesawat-pesawat pejuang Rafale itu akan dilakukan dalam tempoh dua tahun.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...