“Rumah” Bagi Pesawat F-15SG, C-130 Singapura Bakal Ditutup
Unit-unit Tentera Udara Singapura yang ditempatkan di Pangkalan Udara Paya Lebar adalah Skuadron 122 dengan 10 buah pesawat pengangkut C-130 Hercules dan Skuadron 142 serta Skuadron 149 dengan kira-kira 40 buah pesawat F-15SG "Strike Eagles."
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula pada tahun 2030, salah sebuah pangkalan tentera udara terpenting Singapura, Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk menjadi bandar yang boleh menempatkan kira-kira 150,000 buah rumah.
Mula dibuka ketika zaman British pada 1955 sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura sebelum ia diserahkan kepada Angkatan Tentera Singapura pada 1981 dan dinamakan sebagai Pangkalan Udara Paya Lebar apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mula beroperasi.
Pada ketika ini, Pangkalan Udara Paya Lebar menjadi “rumah” kepada beberapa skuadron pesawat milik Tentera Udara Singapura seperti C-130 Hercules dan F-15SG “Strike Eagles”.
Unit-unit Tentera Udara Singapura yang ditempatkan di Pangkalan Udara Paya Lebar adalah Skuadron 122 dengan 10 buah pesawat pengangkut C-130 Hercules dan Skuadron 142 serta Skuadron 149 dengan kira-kira 40 buah pesawat F-15SG “Strike Eagles.”
Pangkalan Udara Paya Lebar juga pernah menempatkan skuadron-skuadron pesawat F-16, E-2C Hawkeye dan Skyhawk tentera udara negara jiran itu.
Selain menempatkan pesawat-pesawat tentera milik Singapura, Pangkalan Udara Paya Lebar juga menjadi “lokasi kegemaran” bagi pesawat-pesawat tentera Amerika Syarikat yang menjadikan pangkalan itu sebagai lokasi mengisi minyak dan mendapatkan bekalan mereka.
Pesawat-pesawat rasmi Amerika Syarikat seperti Air Force One yang membawa presiden negara itu, Air Force Two membawa naib presiden negara itu atau Boeing 747-200 E4 yang membawa Setiausaha Pertahanannya juga pernah mendarat di pangkalan udara Paya Lebar.
Disebabkan kepentingannya kepada operasi ketenteraan/diplomasi Amerika Syarikat di rantau ini, terdapat detasmen anggota tentera negara itu juga ditempatkan di Pangkalan Udara Paya Lebar.
Di dalam tempoh kira-kira lapan tahun sehingga tahun 2030, pesawat-pesawat tentera dan segala aset milik Angkatan Tentera Singapura yang kini ditempatkan di Paya Lebar akan dipindahkan ke pangkalan udaranya yang lain seperti Changi (timur) dan Tengah.
Kerajaan Singapura juga bertindak membesarkan pangkalan-pangkalan udaranya yang lain iaitu Changi (timur) dan Tengah untuk menampung aset-aset tentera yang dipindahkan daripada Pangkalan Udara Paya Lebar.
Pangkalan Udara Tengah akan mempunyai landasan tambahan bagi menampung pertambahan operasinya, manakala kubu-kubu diperkukuh (hardenend shelter) untuk menempatkan pesawat pejuang juga akan ditambah.
Pangkalan Udara Changi (timur) itu terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi serta Pangkalan Tentera Laut Changi.
Pangkalan Udara Changi (timur) yang menempatkan skuadron-skuadron pesawat pejuang F-16 dianggap amat strategik kerana ia memberikan laluan paling singkat bagi pesawat yang mahu ke Laut China Selatan berbanding pangkalan udara Tengah dan Paya Lebar.
Pembangunan semula Pangkalan Udara Paya Lebar merupakan dilemma bagi sebuah negara kecil kekurangan tanah seperti Singapura dan lain-lain negara di dunia yang terpaksa menseimbangkan keperluan di antara keselamatan dan pertahanan dengan pembangunan ekonomi.
Kita juga tidak terkecuali, dengan pembangunan ekonomi juga “semakin menghampiri” Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Subang yang menempatkan aset-aset penting Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala Pangkalan Udara Sungai Besi sudah tidak lagi beroperasi.
Apa yang dialami oleh Pangkalan Udara Paya Lebar dan Singapura itu bukan unik kepada republik terbabit, tetapi juga Malaysia apabila ekonomi semakin pesat membangun.
Disebabkan kekurangan tanah jugalah, Tentera Udara Singapura telah memilih varian F-35B (Short Take-off and Vertical Landing – STOVL) yang mampu berlepas daripada landasan yang penting serta mendarat secara vertical.
Dengan 12 buah F-35B yang ia jangka mula terima pada 2026, Singapura tidak lagi memerlukan landasan sepanjang 3.8km.
Landasan kapalterbang sepanjang 3.8km di pangkalan udara Paya Lebar itu kelak akan dijadikan “tulang belakang” kepada kepada pembangunan baharu itu, pusat komuniti atau hutan bandar.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Dengan penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar itu juga, maka peraturan pihak berkuasa tempatan Singapura yang menghadkan pembinaan bangunan-bangunan tidak melebihi 280 meter juga akan dibatalkan.
Tanpa peraturan itu, bangunan-bangunan seperti kondominium atau komersial dengan ketinggian melebih 280 meter boleh dibina. — DSA