Prestasi Baik J-10C Pada Konflik Pakistan-India Ubah Persepsi Terhadap Senjata Buatan China
“Pesawat pejuang J-10CE, iaitu varian eksport kepada J-10C, menjadi tumpuan utama di booth China (di LIMA 2025) selepas mencipta kejayaan dalam pertempuran sebenar, sekaligus menarik perhatian pengunjung antarabangsa dan penganalisis ketenteraan yang teruja untuk melihat lebih dekat keupayaan pesawat tersebut,” menurut portal berita China itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semasa LIMA 2025 yang akan memasuki hari terakhirnya pada hari ini, model pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan di booth pameran China di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi telah menarik perhatian ramai, sebagaimana diperkatakan oleh portal berita Global Times.
“Pesawat pejuang J-10CE, iaitu varian eksport kepada J-10C, menjadi tumpuan utama di booth China (di LIMA 2025) selepas mencipta kejayaan dalam pertempuran sebenar, sekaligus menarik perhatian pengunjung antarabangsa dan penganalisis ketenteraan yang teruja untuk melihat lebih dekat keupayaan pesawat tersebut,” menurut portal berita China itu.
China menerusi syarikat milik negaranya, China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) memanfaatkan kehadiran pesawat J-10CE untuk mencabar dominasi Barat dan Russia dalam perdagangan senjata global.
Pesawat pejuang J-10C itu dibangunkan oleh syarikat Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG).
Pesawat pejuang J-10C itu kini diketengahkan sebagai pilihan berdaya saing untuk negara-negara seperti Malaysia yang sedang berusaha memodenkan angkatan udara masing-masing.
Kemunculan pesawat pejuang J-10C itu di LIMA 2025 walaupun di dalam bentuk model, ditambah pula dengan berita tentang prestasinya di konflik Pakistan-India baru-baru ini, telah mencetuskan perbincangan mengenai keupayaannya, harga mampu miliknya serta implikasi geopolitik yang lebih luas terhadap pengaruh China yang semakin berkembang dalam sektor pertahanan.
Pesawat pejuang J-10CE merupakan varian pesawat pejuang J-10C yang kini menjadi sebutan ramai selepas kejayaan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah pesawat pejuang termoden negara itu, Rafale buatan Perancis.

Pada hari-hari awal konflik Pakistan-India kira-kira dua minggu lepas, pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan dilaporkan telah berjaya menembak jatuh sejumlah pesawat pejuang India, kenyataan yang disokong oleh pakar-pakar persenjataan daripada Amerika Syarikat, Perancis dan negara-negara Barat lain.
Selain tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India, negara itu turut kehilangan sebuah pesawat pejuang Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan sebuah Mirage 2000.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
Pesawat pejuang keenam India, Mirage 2000 juga dipercayai ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan menggunakan PL-15.
Kejayaan pesawat pejuang J-10C pada konflik Pakistan-India “menumbangkan” pesawat-pesawat pejuang India dalam apa yang didakwa adalah pengalaman kombatnya yang pertama telah menyebabkan perubahan pandangan masyarakat dunia terhadap kemampuan dan teknologi pertahanan China.
Seorang pakar hal ehwal ketenteraan China memberitahu Global Times bahawa sistem persenjataan canggih buatan negara itu, diwakili oleh siri pesawat pejuang J-10, kini sedang mengubah secara menyeluruh persepsi dunia terhadap keupayaan ketenteraan China dan industri pertahanannya, malah turut mempengaruhi landskap industri pertahanan global.
Apabila media Barat menyentuh tentang pesawat pejuang J-10, mereka sering menggambarkannya secara ringkas sebagai “dibangunkan secara sendiri oleh China.”

Namun begitu, pakar hal ehwal ketenteraan China, Zhang Xuefeng, menjelaskan kepada portal berita terbabit bahawa kepentingan pesawat pejuang J-10 kepada Tentera Udara China dan industri penerbangan negara itu jauh melebihi sekadar gelaran “pesawat buatan tempatan.”
Menerusi pembangunan pesawat pejuang J-10, China menurut beliau telah berjaya menguasai teknologi konfigurasi aerodinamik canggih pesawat pejuang serta mencapai kejayaan besar dalam sistem kawalan penerbangan “fly-by-wire” digital dan pelbagai pencapaian lain dalam teknologi aeroangkasa.
Negara itu turut mencatat kemajuan besar dalam pembangunan enjin turbofan berprestasi tinggi.
Buat pertama kali, China berjaya membangunkan sistem avionik digital bersepadu, sekaligus meningkatkan keupayaan tempur secara keseluruhan.
Selain itu, China juga telah membina sistem pembuatan pesawat generasi baharu yang berteraskan teknologi pemesinan digital, pembinaan menggunakan bahan komposit serta pembuatan aloi titanium.
Semua pencapaian ini telah meletakkan asas kukuh bagi pembangunan pesawat pejuang generasi seterusnya, menurut Zhang kepada akhbar Global Times.
Sejak mula ditauliahkan secara rasmi di dalam tentera udara (PLAAF) pada tahun 2006, pesawat pejuang J-10 dengan pantas menjadi tulang belakang aset tempur utama Tentera Udara China.

Pesawat ini sering mewakili Tentera Udara China serta industri penerbangan negara itu dalam pelbagai acara umum dan latihan ketenteraan, sama ada di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
Pesawat pejuang J-10C merupakan varian paling moden dalam keluarga J-10 yang dibangunkan oleh China sebagai simbol kemajuan teknologi ketenteraan dan keupayaan industri pertahanannya yang semakin matang.
Pembangunan pesawat ini diterajui oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG), sebuah syarikat di bawah Aviation Industry Corporation of China (AVIC), dan ia menjadi bukti kemampuan China untuk membangunkan pesawat tempur generasi 4.5 tanpa bergantung kepada teknologi Barat.
J-10C menampilkan peningkatan ketara berbanding varian sebelumnya termasuk sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA), integrasi sistem peperangan elektronik yang lebih sofistikated serta keupayaan untuk membawa pelbagai jenis peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) seperti PL-15 yang dikatakan mampu menyerang sasaran sejauh lebih 200 kilometer.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, enjin turbofan WS-10B buatan tempatan yang semakin mantap, serta sistem avionik bersepadu yang meningkatkan kesedaran situasi juruterbang dan memudahkan pengoperasian dalam persekitaran pertempuran kompleks.
Dari segi reka bentuk, J-10C menggabungkan elemen aerodinamik yang canggih termasuk canard delta configuration yang membolehkannya melakukan manuver tajam dan beroperasi dalam pelbagai misi — daripada dominasi udara hingga kepada serangan darat.
Pembangunan J-10C bukan sahaja memenuhi keperluan Tentera Udara China (PLAAF), tetapi juga menandakan lonjakan strategik dalam usaha Beijing menjadi pemain utama dalam pasaran eksport pesawat pejuang global.

Dengan pelancaran varian eksport J-10CE yang kini dioperasikan oleh Pakistan, China menunjukkan keupayaannya bukan sekadar membangunkan pesawat berkeupayaan tinggi, tetapi juga menawarkannya sebagai alternatif kepada pesawat pejuang Barat dan Rusia di pasaran antarabangsa.
Keseluruhannya, pembangunan J-10C memperkukuhkan imej China sebagai kuasa besar ketenteraan moden dan memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan kuasa udara di rantau Asia dan seterusnya.
Sehingga tahun 2025, Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force, PLAAF) mengoperasikan sekitar 220 unit pesawat pejuang J-10C, menjadikannya antara tulang belakang utama dalam armada tempur udara negara itu.
Skuadron dan Penempatan J-10C dalam PLAAF
Pesawat J-10C ditempatkan dalam beberapa briged udara di bawah pelbagai Pemerintahan PLAAF. Berikut adalah antara unit yang diketahui mengoperasikan J-10C:
Pemerintahan Utara
-
Briged Udara ke-2 – Berkedudukan di Pangkalan Udara Yulong, Chifeng, Wilayah Mongolia Dalam.
-
Briged Udara ke-34 – Beroperasi dari Pangkalan Udara Daishuipo, Weifang, Wilayah Shandong.
Pemerintahan Barat
-
Briged Udara ke-18 – Berkedudukan di Pangkalan Udara Lintao, Dingxi, Wilayah Gansu.
Pemerintaha Selatan
-
Briged Udara ke-124 – Beroperasi dari Pangkalan Udara Tianyang, Baise, Wilayah Guangxi.
-
Briged Udara ke-130 – Berkedudukan di Pangkalan Udara Mengzi, Wilayah Yunnan.
Spesifikasi Teknikal Pesawat Pejuang J-10C
-
Reka Bentuk dan Konfigurasi Aerodinamik
J-10C direka menggunakan konfigurasi sayap delta dengan canard di hadapan, memberikan kestabilan dan keupayaan manuver tinggi dalam pertempuran jarak dekat.
Struktur badan diperbuat daripada gabungan logam dan bahan komposit untuk mengurangkan berat dan menambah kekuatan, serta mengurangkan kesan radar (low observable design).
-
Enjin dan Prestasi
Pesawat ini dikuasakan oleh enjin turbofan WS-10B buatan tempatan, menggantikan enjin AL-31FN buatan Rusia yang digunakan pada varian terdahulu.
-
Kelajuan maksimum: Mach 2.0
-
Ketinggian operasi maksimum: 18,000 meter
-
Jarak operasi (combat radius): Sekitar 1,100–1,500 km bergantung kepada muatan dan misi
-
Jarak ferry (tanpa muatan tempur): Lebih 3,000 km dengan tangki bahan api luaran
-
Avionik dan Sistem Kawalan
J-10C menampilkan sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang meningkatkan jarak pengesanan, penjejakan berbilang sasaran dan rintangan terhadap gangguan elektronik.
Ia turut dilengkapi sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, paparan glass cockpit dengan skrin multifungsi, helmet-mounted display (HMD), serta sistem kawalan misi bersepadu yang membolehkan juruterbang menyesuaikan taktik di udara secara pantas.
-
Sistem Peperangan Elektronik dan ECM
J-10C dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare, EW) yang canggih termasuk:
-
Radar warning receiver (RWR)
-
Electronic countermeasures (ECM)
-
Chaff and flare dispensers
-
Infrared Search and Track (IRST) untuk mengesan sasaran dengan tanda haba
Ini membolehkan pesawat beroperasi dalam persekitaran yang dipenuhi ancaman radar dan peluru berpandu berpandu.
-
Persenjataan dan Payload
J-10C mempunyai 11 hardpoint dan mampu membawa pelbagai jenis senjata untuk misi penguasaan udara, serangan darat dan anti-kapal:
Peluru berpandu udara-ke-udara (AAM):
-
PL-15: BVR jarak jauh dengan enjin ramjet dan radar aktif (jangkauan lebih 200 km)
-
PL-10: Peluru berpandu jarak dekat berpandukan inframerah dengan keupayaan high off-boresight
-
PL-8 dan PL-12: Untuk varian sebelumnya
Peluru berpandu udara-ke-permukaan dan anti-kapal:
-
KD-88: Rudal berpandu TV / IR / radar terhadap sasaran darat
-
YJ-91: Anti-radar atau anti-kapal
-
Berbagai jenis bom berpanduan laser dan satelit (LT-2, LS-6)