Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Presiden Marcos Luluskan Pelan Perolehan Pesawat Pejuang MRCA Untuk Tentera Udara Filipina

Berhadapan dengan tindakan agresif China di Laut China Selatan, Presiden Filipina Ferdinand “BongBong” Marcos Jr telah meluluskan pelan bagi perolehan pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) untuk tentera udara negara Asia Tenggara itu.

0 1,006

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berhadapan dengan tindakan agresif China di Laut China Selatan, Presiden Filipina Ferdinand “BongBong” Marcos Jr telah meluluskan pelan bagi perolehan pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) untuk tentera udara negara Asia Tenggara itu.

Keputusan Presiden Filipina meluluskan pelan perolehan pesawat-pesawat pejuang MRCA untuk Filipina itu telah dinyatakan oleh Panglima Angkatan Tentera Filipina Jeneral Romeo Brawner Jr.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis pesawat-pesawat pejuang MRCA yang bakal dipilih oleh Tentera Udara Filipina.

“Sudah tentu, Presiden (Ferdinand Marcos Jr) telah meluluskan niat untuk membeli pesawat-pesawat pejuang MRCA. Untuk jenis pesawat pejuang itu, pada masa ini tiada lagi keputusan mengenainy. Tiada juga keputusan tentang bilangan (pesawat pejuang MRCA yang mahu dibeli).”

“Tetapi kita sememangnya memerlukan pesawat-pesawat pejuang pelbagai guna ini,” kata Panglima Angkatan Tentera Filipina itu.

Beliau juga berkata, walaupun kemampuan Angkatan Tentera Filipina telah dipertingkatkan sejak kebelakangan ini, tetapi ia masih tidak mencukupi.

Saab Group
JAS39 Gripen-E

 

“Ia masih tidak mencukupi untuk kita mempertahankan negara kita dan kita perlu mendapatkan pesawat pejuang dan pesawat pejuang MRCA.”

“Pesawat pejuang MRCA adalah lebih besar, lebih laju dan lebih berbahaya berbanding pesawat-pesawat pejuang FA-50 yang dimiliki (oleh Tentera Udara Filipina) pada ketika ini,” kata beliau.

Brawner juga berkata bahawa Angkatan Tentera Filipina perlu mempertingkatkan kemampuan radarnya dan sistem pemantauannya di bawah program permodenan angkatan tentera dinamakan Horizon 3.

Pada ketika ini, Filipina menurut pemerhati tentera serantau adalah semakin hampir untuk membuat keputusan perolehan pesawat pejuang MRCA.

Persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang MRCA kepada Tentera Udara Filipina adalah di antara syarikat Saab daripada Sweden yang menawarkan pesawar pejuang JAS39 Gripen dan Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat yang menampilkan F-16.

Pada tahun 2021, Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan 12 buah  varian terkini pesawat pejuang F-16 kepada Filipina, tetapi urusan pembelian itu tertangguh sehingga kini akibat kekangan kewangan dihadapi oleh Manila yang menganggap harga yang ditawarkan oleh Washington itu “terlalu mahal.”

ROKAF
Pesawat F-16 Korea Selatan

 

Potensi penjualan 10 buah pesawat F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM11.25 bilion).

Selain itu, pakej penjualan oleh Amerika Syarikat itu juga meliputi 12 buah peluru berpandu lancaran udara Harpoon Block II, dua peluru berpandu latihan, alat ganti dan perkakas lain.

Pesawat-pesawat F-16 itu juga akan dilengkapi dengan 24 buah peluru berpandu AIM-9X Sidewinder Block II, 24 buah peluru berpandu latihan, alat ganti yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon Technologies.

Bagaimanapun Duta Filipina ke Amerika Syarikat Jose Manuel Romualdez dalam temuramah dengan Nikkei Asia berkata bahawa kos perolehan pesawat pejuang F-16 daripada Amerika Syarikat adalah terlalu mahal dan di luar kemampuan negaranya.

“Ianya masih terlalu mahal, jadi kita (Filipina) terpaksa mencari jalan bagi membolehkan kita membiayai pembelian (F-16) itu dalam jangka masa panjang,” menurut beliau.

Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya.

BVRAAM

Disebabkan harga pesawat-pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan diluar kemampuan Manila, maka Sweden telah menawarkan pesawat pejuang JAS39 Gripen.

Pada ketika ini, pesawat pejuang JAS39 Gripen dilaporkan berada di hadapan persaingan untuk memenuhi keperluan Filipina.

Pada akhir Jun lalu, kerajaan Filipina dan Sweden telah menandatangani perjanjian utama bertujuan untuk menyokong perolehan pesawat pejuang untuk Tentera Udara Filipina.

Menurut pemerhati tentera serantau, perjanjian terbaru antara Filipina dan Sweden itu menandakan Manila kini adalah “semakin hari semakin hampir” untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu skuadron JAS39 Gripen buatan syarikat pertahanan Sweden, Saab untuk kegunaan Tentera Udara Filipina.

Bertajuk “Implementing Arrangement Concerning the Procurement of Defense Materiel and Equipment”, perjanjian itu memberikan kerajaan Filipina garis panduan untuk memperolehi aset-aset pertahanan daripada Sweden.

FA-50
Empat buah FA-50 mengiring pesawat membawa Presiden Filipina sekembalinya daripada New York.

 

Filipina dikatakan sedang menimbangkan untuk memiliki di antara 12 hingga 14 buah pesawat pejuang Gripen itu bagi membolehkannya membentuk satu skuadron pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) bagi bergandingan dengan pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan miliknya.

Filipina dijangka akan memperolehi pesawat pertama Gripen itu pada 2027 seawalnya dan pesawat terakhir atau ke-14 pada 2028.

Manila dilaporkan bakal menjadi negara Asia Tenggara yang kedua memiliki pesawat pejuang JAS39 Gripen selepas Thailand yang memiliki 12 buah pesawat pejuang Gripen. (salah sebuah daripada pesawat pejuang buatan syarikat Saab itu terhempas dalam satu pertunjukkan di Hatyai beberapa tahun lepas. — DSA

Comments
Loading...