Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Prebet Adam, “Insiden Amuk Di Chow Kit” Meninggal Dunia

Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar, 60, dikatakan meninggal dunia tengahari tadi di Hospital Besar, Pulau Pinang.

0 4,707

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Prebet Adam yang pernah menggegarkan negara dengan insiden mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar, 60, dikatakan meninggal dunia tengahari tadi di Hospital Besar, Pulau Pinang.

Prebet Adam
Gambar kredit kepada pemilik.

Adam yang berasal dari Sungai Pinang, Geoge Town dikebumikan di Dato Keramat.

Bagaimanapun ahli keluarga Allahyarham enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987 mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Dalam satu artikel yang juga disiarkan oleh portal berita Malaysia Gazette pada 2019, seorang bekas panglima mendedahkan peristiwa amukan berdarah di Chow Kit oleh Prebet Adam Jaafar kira-kira 32 tahun lalu adalah berpunca daripada kes penderaan yang dialami anggota tersebut di kem tentera, bukan disebabkan angkara Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar.

Leftenenan Jeneral (B) Abdul Ghani Abdullah berkata, beliau berani berkata demikian kerana beliaulah pegawai tentera yang bertanggungjawab memujuk Adam untuk menyerah diri sewaktu anggota tersebut bersembunyi di sebuah bangunan dekat Kampung Baru dalam insiden pada tahun 1987 itu.

Prebet Adam
Gambar kredit kepada pemilik.

Ketika itu, katanya, Adam diburu kerana melepaskan tembakan membabi-buta sehingga mengorbankan seorang pejalan kaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

“Cerita kononnya Adam mengamuk selepas adiknya dibunuh oleh Sultan Iskandar timbul lama selepas itu. Adam sebenarnya menjadi mangsa deraan emosi dan fizikal oleh seniornya di dalam kem hingga menyebabkan dia hilang pertimbangan sampai tercetusnya insiden amuk tersebut.

“Adam telah bersumpah di depan saya beliau tidak ada adik yang bekerja sebagai kedi golf, apatah lagi yang dibunuh oleh Agong, dia juga ada buat pengakuan bersumpah di mahkamah mengenai perkara tersebut.

“Malah anggota tentera yang mendera Adam juga telah dihukum di mahkamah tentera di atas perbuatannya, saya tak nampak kenapa masyarakat masih nak mengaitkan isu dengan benda-benda yang tak betul,” tegasnya.

— Kredit berita MalaysiaGazette

Comments
Loading...