Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Polis Sabah Buru 69 Penduduk Pulau Gaya Larikan Diri Daripada PKPD

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata anggota Balai Polis Pulau Gaya sedang berusaha mengesan kesemua individu terbabit.

0 727

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Polis Sabah sedang memburu 69 orang penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu selepas mereka melarikan diri bagi mengelak berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata anggota Balai Polis Pulau Gaya sedang berusaha mengesan kesemua individu terbabit.

“Penduduk terbabit dipercayai melarikan diri ketika pergi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Justeru, kerajaan Sabah menggesa kepada penduduk yang melarikan diri dari kawasan PKPD di Kampung Pondo, Pulau Gaya, supaya kembali ke kampung itu dengan segera bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain,” katanya dalam kenyataan.

Kegagalan penduduk terbabit melarikan diri dalam berada di dalam kawasan PKPD boleh menyebabkan mereka diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021.

Pulau Gaya

Orang ramai diminta memaklumkan kepada balai polis terdekat sekiranya mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk terbabit.

Kampung Pondo, Pulau Gaya, merupakan antara lokaliti di Sabah dikenakan PKPD bermula 30 Jun hingga 13 Julai berikutan penularan kes jangkitan COVID-19 yang dikesan tinggi di kawasan tersebut.

Susulan itu, kerajaan Sabah hari ini bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan PKPD ke seluruh perkampungan di Pulau Gaya berkuat kuasa 8 Julai ini.

Dua hari lepas, Masidi, berkata sebanyak 30 kes baharu positif COVID-19 dikesan di Kampung Pondo, manakala 62 kes di Kampung Laban, menjadikan 92 kes COVID-19 dikesan di Pulau Gaya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...