Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Pengacau” Sembunyi Di Pulau Berhampiran Sabah – Polis

0 823

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat bahawa rakyat negara jiran kini bersembunyi di pulau-pulau berhampiran Sabah disyaki untuk cuba mengganggu proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, esok.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pulau yang dijadikan lokasi persinggahan itu berada di luar wilayah Malaysia, dengan yang paling hampir ke perairan Sabah terletak dalam jarak lima batu nautika atau kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot.

DIGN
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah (gambar internet)

“Mereka disyaki menggunakan bot berkapasiti 40 hingga 50 orang bagi setiap bot untuk bergerak. Sekarang ini mereka berada di pulau-pulau berhampiran tetapi pasukan kita (pasukan keselamatan negara) sentiasa mengawasi pergerakan mereka. 

“Mereka dikesan cuba melepasi kawalan pasukan keselamatan negara dengan menunggu waktu yang sesuai untuk masuk ke sempadan negara,” katanya kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini.

Beliau berkata beberapa percubaan memasuki perairan Sabah oleh rakyat negara jiran itu berjaya dipintas dan dihalang melalui tindakan bersepadu pasukan keselamatan.

“Kawalan ketat sempadan negara terhadap kemasukan warga asing telah dimulakan sejak sebelum PRN Sabah lagi iaitu bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memberi jaminan keselamatan kepada pengundi dan orang ramai pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

kg_tanduo_map

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata sebanyak 10 pasukan khas ESSCom diatur gerak di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Semua (kawasan) udara, daratan dan perairan kita (pasukan keselamatan) jaga dan ia dilaksanakan lebih aktif lagi ketika ini dan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Lahad Datu baru-baru ini.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mendedahkan ada menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada PRN Sabtu ini.

Bagaimanapun, Hazani enggan menyatakan bilangan besar-besaran itu dan bentuk kekacauan tersebut.

BERNAMA

Comments
Loading...