Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tiga Buah Kapal Perang PLAN China Kini Berada Di Malaysia

Kapal-kapal perang China itu adalah daripada Chinese Navy Escort Task Group (ETG) 162, yang baru sahaja melaksanakan misi mengiringi kapal-kapal komersial milik negara itu di Timur Tengah dan dipercayai mengambil kesempatan melawat Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

0 16,715

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga buah kapal perang Tentera Laut China (PLAN – People’s Liberation Army Navy) kini berada di Malaysia selepas berlabuh di Port Klang Cruise Terminal (PKCT) pagi semalam.

Menurut akaun Facebook National Hydrographic Centre, ketiga-tiga kapal perang PLAN itu adalah destroyer “Nanning”, friget “Sanya” dan kapal bekalan “Weshanhu”.

Kenyataan ringkas itu tidak menjelaskan dengan lanjut tujuan kedatangan kapal-kapal perang China itu Malaysia dan tempoh ia berada di negara ini.

PLAN
Kapal friget “Sanya” dan kapal bekalan “Weshanhu” .(National Hydrographic Centre)

 

Kapal-kapal perang China itu adalah daripada Chinese Navy Escort Task Group (ETG) 162, yang baru sahaja melaksanakan misi mengiringi kapal-kapal komersial milik negara itu di Timur Tengah dan dipercayai mengambil kesempatan melawat Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

Selepas beberapa hari di Malaysia, kapal-kapal perang PLAN itu dijangka akan meneruskan pelayaran pulangnya ke China.

Kapal Nanning dengan no pennant 162 adalah kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang yang baru sahaja ditauliahkan ke dalam PLAN dua tahun lepas.

Dibina oleh Limbungan Kapal Jiangnan, kapal destroyer Type 052D Nanning itu mempunyai panjang 161 meter dan berat keseluruhan 7,500 tan.

Dilengkapi dengan dua enjin gas turbin dan dua enjin diesel, Nanning berkemampuan belayar selaju 30 knot dan beroperasi sejauh 5,200 batu nautika pada kelajuan cruise 15 knot.

Kapal perang Type 052D itu juga dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), radar pemantauan udara jarak jauh, radar kawalan tembakan, variable depth sonar dan juga towed array sonar.

PLAN
Kapal friget “Sanya” bersebelahan dengan kapal bekalan “Weshanhu”. (National Hydrographic Centre)

 

Bagi sistem persenjataannya, ia dilengkapi dengan sebuah meriam 130mm, 64 buah cell Vertical Launch System (VLS), peluru berpandu pertahanan udara HQ-9, peluru berpandu anti-kapal YJ-18 dan juga CY-5 anti-submarine rocket (asroc) serta Close-In Weapon System (CIWS).

Kapal perang Nanning itu juga dilengkapi dengan helikopter Harbin Z-20.

Sebuah lagi kapal perang PLAN yang turut berlabuh di PKCT adalah Sanya (no pennant 574) yang merupakan kapal friget Type 054A dengan panjang 134 meter dan berat keseluruhan 4,000 tan.

Dengan 165 anak kapal, Sanya dilengkapi dengan pelbagai jenis radar dan sensor bagi membolehkannya mengesan pelbagai bentuk ancaman sama ada di udara, permukaan laut dan di bawah permukaan laut.

Kapal friget Sanya itu dilengkapi dengan 32 cell VLS, HQ-16 peluru berpandu pertahanan udara, C-803 peluru berpandu anti-kapal/darat, Yu-8 ASROC serta meriam 76mm, meriam 30mm, torpedo dan pelbagai sistem persenjataan yang lain.

PLAN
“Weshanhu” (National Hydrographic Centre)

 

Bagi Weshanhu dengan no pennant 887 pula, ia adalah sebuah kapal bekalan bersepadu (intergrated supply vessel) milik PLAN yang telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut China pada tahun 2004.

Dengan berat lebih 20,000 tan, kapal bekalan seperti Weshanhu milik PLAN ini akan mengiringi kapal-kapal perang negara itu dalam misi-misi jarak jauh bagi memastikan ia mempunyai bekalan berterusan untuk operasinya.

Kapal-kapal bekalan milik Tentera Laut China ini membawa bekalan minyak, air bersih, kargo makanan dan juga bekalan peluru untuk kapal-kapal yang diiringinya.

Dengan kelajuan 20 knot, Weshanhu boleh beroperasi sejauh diantara 10,000 hingga 12,000 Batu Nautika. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...