Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan Petugas Khas Kaji “Kecuaian” Isu Pulau Batu Puteh

Keputusan Perdana Menteri hari ini amat ditunggu-tunggu rakyat yang tidak dapat menerima keputusan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 yang menarik semula permohonan kepada ICJ untuk menyemak semula keputusan memberikan hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

1,987

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Akhirnya, kerajaan mengumumkan persetujuannya untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi melakukan semakan semula undang-undang terhadap kes membabitkan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Penubuhan pasukan petugas khas tentang Pulau Batu Puteh itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Pada masa yang sama, Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh/Pedra Branca.” 

Pasukan petugas khas ini diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

— kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Batu Puteh
Jarak di antara Pulau Batu Puteh milik Singapura dan Middle Rocks milik Malaysia.

 

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada Mei 2018, ketika kerajaan diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) ia telah bertindak menarik balik permohonan negara untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan bahawa kedaulatan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan alasan mengapa kerajaan menarik semula permohonan menyemak semula keputusan ICJ berkenaan Batu Puteh itu.

Tindakan kerajaan pimpinan Dr Mahathir itu memeranjatkan banyak pihak kerana pada 2017 ketika kerajaan dipimpin oleh Barisan Nasional (BN),  Mohamed Apandi yang juga merupakan peguam negara pada ketika itu mendedahkan bahawa Pejabat Peguam Negara telah menemui tiga fakta baru bagi menyokong permohonan Malaysia untuk menyemak semula keputusan ICJ itu.

Tiga fakta baru itu ditemui selepas Pejabat Peguam Negara meneliti lebih 3,000 dokumen milik National Archives of the United Kingdom atau Arkib Negara United Kingdom.

Batu Puteh
Bangunan National Archives United Kingdom.

 

Menurut laporan sebelum ini, semua dokumen-dokumen tersebut pada peringkat awalnya telah diklasifikasikan sebagai sulit namun ia telah didedahkan kepada umum pada September 2013 iaitu selepas lima tahun keputusan dibuat.

Malaysia pula hanya memperolehi dokumen tersebut di antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan selepas didedahkan kepada umum.

Apa yang menjadi persoalan rakyat Malaysia adalah mengapa kerajaan dipimpin Dr Mahathir menarik semula permohonan semakan semula terhadap keputusan ICJ berkenaan Pulau Batu Puteh itu tidak lama selepas Pejabat Peguam Negara menemui “fakta-fakta baru” sebagaimana didakwa oleh Apandi.

Perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai peguam negara telah ditamatkan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir pada Jun 2018, beberapa bulan selepas ia berjaya mengambilalih pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam satu temuramah dengan media tempatan, Mohamed Apandi berkata, Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Dr Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Menurutnya, Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.

“Pulau itu sudah hilang untuk selama-lamanya, terima kasih kepada Tun Mahathir. Dia yang buat keputusan untuk menarik balik kes beberapa hari sebelum tarikh bicara di Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

“Masa itu saya diarah bercuti sebagai Peguam Negara,” katanya beliau yang menjadi Peguam Negara dari 2015 hingga 2018.

“Sayang seribu kali sayang. Pulau itu begitu strategik dan kita hilang pulau itu begitu sahaja. Saya tidak dapat maafkan Dr Mahathir dalam perkara ini.”

— bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali 

Batu Puteh
Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.