Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[UPDATE] PETRONAS Tamat Perjanjian Tajaan Dengan Pasukan F1 Mercedes-AMG?

Keputusan PETRONAS itu sekaligus menamatkan kerjasama selama 10 tahun di antara kedua-dua pihak yang bermula sejak tahun 2010,

0 4,281

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS dilaporkan akan menamatkan perjanjian penajaan (title sponsorship agreement) dengan pasukan Formula One Mercedes-AMG pada akhir musim Formula One tahun ini.

Keputusan PETRONAS itu sekaligus menamatkan kerjasama selama 10 tahun di antara kedua-dua pihak yang bermula sejak tahun 2010, menurut laporan Decalspotters yang memetik laporan daripada sumber-sumber.

Laporan itu juga menyebut bahawa syarikat minyak dan gas Arab Saudi, Saudi Arabian Oil Co (Aramco) akan menggantikan tempat PETRONAS sebagai penaja utama kepada pasukan Formula One Mercedes-AMG.

“Kerjasama di antara pasukan Formula One Mercedes-AMG dengan Aramco akan bermula pada tahun 2022, dengan warna rasmi pasukan hijau kebiruan akan menggantikan warna PETRONAS pada penjenamaan Mercedes-AMG,” sebagaimana yang dilaporkan oleh Decalspotters.

Keputusan PETRONAS untuk menamatkan pembabitannya dengan sukan Formula One itu “tidak memeranjatkan” kerana syarikat minyak dan gas negara itu sememangnya akan mengkaji semula usaha pemasarannya di dalam Formula One untuk membolehkannya melaksanakan usaha mengurangkan kos selepas pandemik COVID-19 memberikan kesan terhadap ekonomi.

PETRONAS

“Kejayaan Mercedes di dalam Formula One dikaitkan dengan kemampuan minyak pelincir PETRONAS dan formula minyaknya, yang dibangunkan secara berterusan dan bertahun-tahun di Malaysia dan di Grand Prix,” menurut Decalspotters.

Bagaimanapun PETRONAS dalam satu kenyataan hari ini  menafikan bahawa ia akan menamatkan perjanjian tajaan dengan pasukan Formula One Mercedes-AMG, dengan syarikat Saudi Aramco dilaporkan sebagai penggantinya.

“PETRONAS dan Mercedes sudah menjadi rakan sejak tahun 2010 dalam hubungan jangka panjang yang bermanafaat kepada kedua-dua pihak,” menurut kenyataan daripada PETRONAS kepada akhbar kewangan, The Edge Market.

Jurucakap Mercedes turut mengakui bahawa mereka dan PETRONAS akan terus bekerjasama.

Pasukan PETRONAS Mercedes-AMG kini mendahului carta musim ini dengan kutipan sebanyak 433.5 mata diikuti oleh pasukan Red Bull Racing Honda dan Mclaren Mercedes serta Ferrari.

Bagi saingan pemandu pula, pemandu pasukan Red Bull Racing Honda Max Verstappen mendahului saingan dengan 262.5 mata diikuti dengan rapat oleh dua orang pemandu PETRONAS Mercedes-AMG, Lewis Hamilton pada 256.5 mata di tempat kedua dan Valtteri Bottas pada 177 mata.

Sejak 2010, PETRONAS telah menjadi rakan teknikal kepada pasukan Formula One Mercedes-AMG dengan membekalkan Fluid Technology Solutions milik syarikat minyak dan gas negara itu untuk memacu pasukan kepada kejuaraan dunia Formula One sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Sebelum ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas memutuskan untuk menamatkan kerjasama membabitkan perkongsian hak dalam pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) pada penghujung saingan kejuaraan dunia Motosikal Grand Prix (MotoGP) musim 2021.

Penamatan kerjasama itu menyaksikan Petronas turut menamatkan kerjasama dengan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan Moto3 sejak 2018 sebelum kerjasama berkenaan berkembang hingga saingan MotoGP menerusi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT).

Baru-baru in syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat LUKOIL untuk menjual kepentingan perniagaan miliknya di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (US$2.25 bilion).

Kepentingan PETRONAS di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

PETRONAS

 

 

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...