Pesawat Pengebom B-2 Spirit Amerika Berkumpul di Diego Garcia. Persediaan Serang Iran ???
Perkembangan terbaru ini berlaku ketika serangan terbaru pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat terhadap kumpulan Houthi di Yemen, di samping amaran yang semakin lantang daripada pentadbiran Trump terhadap Iran berhubung sokongannya terhadap kumpulan Houthi itu serta pembangunan senjata nuklear Iran.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa hari lalu, sejumlah besar pesawat-pesawat pengebom B-2 Spirit dan pesawat pengisi minyak dilaporkan sedang menuju ke pulau Diego Garcia di Lautan Hindi, milik Britain yang kerap-kali digunakan oleh tentera Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan terhadap sasaran-sasaran di Timur Tengah.
Perkembangan terbaru ini berlaku ketika serangan terbaru pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat terhadap kumpulan Houthi di Yemen, di samping amaran yang semakin lantang daripada pentadbiran Trump terhadap Iran berhubung sokongannya terhadap kumpulan Houthi itu serta pembangunan senjata nuklear Iran.
Kumpulan Houthi mendakwa sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dalam siri serangan terbaru oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan pada masa yang sama Washington menegaskan bahawa ia akan meneruskan operasi ketenteraannya selagi serangan Houthi terhadap kapal dagang di Laut Merah tidak dihentikan.
Imej-imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh buah pesawat pengebom B-2 Spirit, tiga buah pesawat kargo C-17 dan 10 buah pesawat pengisi minyak milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dihantar ke pulau Diego Garcia dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Diego Garcia merupakan pangkalan tentera laut dan udara milik British yang disewakan kepada Amerika Syarikat, terletak di tengah-tengah Lautan Hindi.
Ia berfungsi sebagai pusat sokongan logistik penting bagi operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Asia Barat, Afrika Timur dan Asia Tenggara.
Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia menempatkan landasan udara panjang, kemudahan pelancaran pesawat pengebom strategik (seperti B-52 dan B-2), pusat komunikasi global, serta pelabuhan untuk kapal perang dan kapal sokongan.


Aktiviti pelbagai pesawat tentera Amerika Syarikat sedang “berkumpul” di Diego Garcia itu pertama kali dilaporkan oleh Open Soutce Intelligence (OSINT), IntelFrog di platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), yang menggunakan data penjejakan pesawat awam untuk memantau pergerakan aset-aset ketenteraan.
Menurut laporan awal IntelFrog, sebanyak 18 pesawat tangki KC-135 milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dikesan ditempatkan di beberapa lokasi utama di rantau Pasifik—termasuk di Pangkalan Tentera Udara Travis di California, Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Hawaii, dan Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam.
Pesawat-pesawat tangki itu, yang beroperasi menggunakan kod panggilan bersiri RCH0##, kemudiannya dikesan meneruskan penerbangan ke Diego Garcia, di mana beberapa pesawat angkut berat C-17A Globemaster III turut dikesan tiba dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Ketibaan pesawat-pesawat kargo ini menunjukkan satu usaha logistik besar-besaran—berkemungkinan melibatkan penghantaran anggota, bekalan peluru, serta peralatan sokongan yang diperlukan untuk operasi pengebom jarak jauh.
Data penerbangan yang telah disahkan oleh IntelFrog menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh buah pesawat pengebom B-2 Spirit sedang berada atau sedang dalam penerbangan menuju ke pulau Diego Garcia tersebut yang merupakan satu kehadiran luar biasa bagi pesawat strategik itu di satu lokasi.
B-2 Spirit, yang direka untuk menembusi sistem pertahanan udara paling canggih, biasanya hanya digunakan untuk misi strategik berprofil tinggi dan jarang sekali dikerahkan dalam jumlah yang sebegitu besar.

Baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth juga dilaporkan telah melanjutkan penugasan kapal pengangkut pesawat USS Harry S. Truman di perairan Timur Tengah, selain mengarahkan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson untuk menyertai operasi di kawasan tersebut.
Data penjejakan penerbangan dalam talian dan rakaman kawalan trafik udara turut menunjukkan bahawa pesawat pejuang generasi kelima, F-35A Joint Strike Fighter milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dihantar ke rantau Timur Tengah baru-baru ini.’
Tentera Amerika Syarikat kerap menggunakan Diego Garcia sebagai pangkalan utama untuk melancarkan operasi ke Timur Tengah kerana beberapa faktor strategik yang sangat penting:
Diego Garcia terletak di tengah-tengah Lautan Hindi, menjadikannya lokasi yang sangat sesuai untuk melancarkan serangan udara dan sokongan logistik ke pelbagai kawasan panas seperti Timur Tengah, Asia Selatan, dan Afrika Timur.
Ia berada dalam jarak operasi pengebom strategik seperti B-2 Spirit dan B-52, tanpa perlu mendarat semula.

Pangkalan tentera di pulau Diego Garcia ini dilengkapi dengan landasan panjang yang mampu menyokong pesawat bersaiz besar termasuk pengebom strategik dan pesawat kargo C-17, pelabuhan dalam yang boleh menampung kapal induk, kapal selam dan kapal logistik, selain menyimpan stok senjata, peluru dan bahan api dalam jumlah besar bagi menyokong operasi berpanjangan.
Selain itu, ia juga dilengkapi sistem komunikasi dan kawalan misi canggih termasuk stesen satelit dan sistem pemantauan strategik.
Diego Garcia sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam operasi pengebom strategik Amerika Syarikat, termasuk menjadi pangkalan bagi misi B-52 dan B-1 semasa Perang Teluk, serta konflik di Iraq dan Afghanistan.
Lokasinya yang terpencil serta landasan yang panjang menjadikan ia pangkalan hadapan yang amat strategik bagi operasi jarak jauh.
Setakat ini, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai tujuan sebenar penempatan ketenteraan tersebut.
Namun begitu, skala, masa dan komposisi aset yang digerakkan menunjukkan kemungkinan besar bermulanya fasa baharu yang lebih besar dalam kempen ketenteraan terhadap kumpulan Houthi — dan mungkin juga melangkaui itu.
