Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat MPA/ASW China Cuba Kesan Kapal Selam “Musuh” Berhampiran Perairan Taiwan

Dipetik oleh akhbar The South China Morning Post (SCMP), sumber keselamatan itu yang enggan dikenalpasti itu berkata, pesawat-pesawat MPA/ASW China itu melakukan penerbangan harian di kawasan perairan terbabit, mungkin didorong oleh “penemuan” tertentu.

0 1,816

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber keselamatan Barat mengatakan China telah mengerah pesawat-pesawat peronda maritim (MPA)/anti submarine warfare (ASW) ke bahagian utara Laut China Selatan berhampiran PulauTaiwan kerana mengesyaki kehadiran kapal selam Amerika Syarikat.

Dipetik oleh akhbar The South China Morning Post (SCMP), sumber keselamatan itu yang enggan dikenalpasti itu berkata, pesawat-pesawat MPA/ASW China itu melakukan penerbangan harian di kawasan perairan terbabit, mungkin didorong oleh “penemuan” tertentu.

“Mungkin China mahu menunjukkan pesawat-pesawat MPA/ASW mereka mempunyai kemampuan untuk memburu kapal-kapal selam Amerika Syarikat. Mereka (China) tidak memburu kapal-kapal selam Taiwan,” katanya yang merujuk kepada Taiwan yang hanya memiliki empat buah kapal selam dalam tentera lautnya.

Dua daripada kapal selam Taiwan itu digunakan sejak Perang Dunia Kedua.

Pihak tentera Amerika Syarikat tidak pernah mengesahkan atau menafikan kehadiran kapal-kapal selam mereka di Laut China Selatan atau di perairan berhampiran Taiwan.

Bagaimanapun pada Februari lepas, pihak tentera Amerika Syarikat telah mengedarkan gambar kehadiran sebuah kapal selam berkuasa nuklearnya, USS Ohio di Pulau Okinawa bagi latihan bersama-sama tentera unit-unit tentera Marines Expeditionary Force (MEF) negara itu.

Pulau Pratas
Pulau Pratas

 

Mengikut maklumat, latihan itu melibatkan penyusupan anggota-anggota MEF ke kawasan konflik di Laut China menggunakan kapal selam.

Jika benar kapal selam USS Ohio berada berhampiran di perairan berhampiran Taiwan, maka memang sepatutnya China agak “kalut” kerana kapal selam Amerika Syarikat itu memang aset yang amat berkemampuan.

Bukan sahaja ia mampu menyelinap dengan senyap di dasar lautan, tetapi kemampuan serangannya juga tidak boleh diambil ringan terutamanya dengan 154 peluru berpandu “Tomahawk” yang dibawanya.

Selain Tomahawk, ia turut berkemampuan membawa torpedo dan pasukan-pasukan komando untuk tugas-tugas khas.

Kemungkinan kapal selam Amerika Syarikat itu sememangnya berada di perairan berhampiran dengan Taiwan, mungkin untuk tujuan “mengumpul maklumat” berkenaan tentera China yang sedang mengadakan latihan di kawasan perairan terbabit.

Semalam, China memulakan latihan tentera selama enam hari di perairan berhampiran dengan Pulau Pratas atau “Dongsha” sebagaimana dipanggil oleh China.

Latihan tentera China itu turut menggunakan peluru hidup.

Walaupun Pulau Pratas yang terletak tidak jauh daripada Hong Kong diduduki oleh Taiwan, tetapi Beijing mendakwanya sebagai milik mereka.

Tahun lepas, tentera laut China turut mengadakan latihan besar-besar berhampiran Pulau Pratas itu, yang menimbulkan dakwaan bahawa ia sedang merancang untuk menakluk dan merampas pulau itu daripada Taiwan.

Minggu lepas, pihak berkuasa Taiwan berkata ia mengesan kehadiran dron-dron China berhampiran Pulau Pratas dan memberi amaran ia tidak akan teragak-agak untuk menembak jatuh pesawat itu jika ia terbang terlalu hampir dengan pulau itu.

Apa akan jadi jika Taiwan benar-benar menembak jatuh dron tentera China yang terbang hampir dengan Pulau Pratas itu?

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...