Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pesawat F-16 Block 30 Turkiye Dilengkapi Radar AESA Lakukan Penerbangan Sulung

(VIDEO) Dengan Nose Radar AESA dibangunkan oleh ASELSAN, ia telah menjadikan pesawat F-16 Block 30 milik Turkiye itu kepada pesawat pejuang generasi 4.5 setaraf dengan kemampuan varian terkini pesawat pejuang itu,  F-16 Block 70.

0 4,042

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang F-16 Ozgur milik Tentera Udara Turkiye dilengkapi dengan Nose Radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan telah berjaya melakukan penerbangan sulungnya.

Nose Radar AESA yang digunakan dalam penerbangan sulung pesawat pejuang F-16 Turkiye itu telah bangunkan oleh syarikat ASELSAN.

Dengan Nose Radar AESA dibangunkan oleh ASELSAN, ia telah menjadikan pesawat F-16 Block 30 milik Turkiye itu kepada pesawat pejuang generasi 4.5 setaraf dengan kemampuan varian terkini pesawat pejuang itu,  F-16 Block 70.

Menurut kenyataan daripada syarikat ASELSAN, “Ia (Nose Radar AESA) memberikan kemampuan yang amat baik kepada pesawat-pesawat kami dengan kemampuan serentak untuk misi-misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.”

“Ia juga berkemampuan untuk mengesan dan menjejak pelbagai sasaran, sistem panduan peluru berpandu BVR (Beyond Visual Range), pengambilan imej-imej daratan resolusi tinggi dan juga fungsi peperangan elektronik.”

ASELSAN berkata, dengan Nose Radar AESA yang akan melengkapkan pesawat pejuang F-16 OZGUR Tentera Udara Turkiye menjadikan syarikat itu sebagai antara syarikat kecil di dunia yang berjaya membangunkan radar AESA.

Kini Nose Radar AESA itu akan dipasang pada dron AKINCI tidak lama lagi, sebelum radar berkuasa tinggi itu turut dipasangn kepada platform-platform lain termasuk pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh negara itu, KAAN.

Radar itu juga akan digunakan oleh pesawat pejuang ringan, HURJET, pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” dan dron “ANKA-3”.

Berikutan sekatan dibawah CAATSA yang dikenakan oleh Amerika Syarikat selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf”, Turki berhadapan dengan kesukaran untuk menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang F-16 yang digunakan oleh tentera udaranya, sekaligus menyebabkan kemerosotan kekuatan udaranya.

Negara Mediterranean itu merupakan pengguna terbesar pesawat pejuang F-16 di luar Amerika Syarikat, dengan pesawat yang dibina secara berlesen di Turkiye itu merupakan tulang belakang kepada tentera udara negara itu.

Turkiye perlu menaiktarafnya secepat mungkin bagi memastikan ia terus dapat bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang baru yang dibeli oleh negara serantau terutama musuh tradisinya, Greek.

Oleh kerana itu, Turki menerusi syarikat pertahanannya sendiri, ASELSAN telah melancarkan usaha-usaha sendirinya yang bakal melihat kira-kira 35 buah pesawat pejuang F-16C/D Block 30 tentera udara negara dinaiktaraf dengan teknologi tempatan seperti Nose Radar AESA.

Turkiye
Nose Radar AESA oleh ASELSAN
F-16
Deretan pesawat F-16 Turki.

 

Radar AESA itu akan memastikan pesawat-pesawat F-16 serta dron Akinci itu berkemampuan membawa pelbagai peluru berpandu dan sistem persenjataan pintar yang dibangunkan oleh industri pertahanan Turki.

Antara peningkatan kemampuan yang bakal diperolehi daripada radar AESA buatan Turkiye sebagaimana didakwa oleh industri pertahanan negara itu adalah kemampuan mengesan lebih banyak sasaran dan pada jarak yang lebih jauh secara serentak, ketahanan daripada serangan elektronik (electronic countermeasures) dan lain lagi.

Selain dilengkapkan dengan Nose Radar AESA, pesawat-pesawat berusia F-16 Block 30 Turkiye itu juga akan menjalani peningkatan kemampuan avionik dengan kelengkapan sistem dan komponen moden buatan tempatan.

Dibawah program peningkatan kemampuan, jumlah jam pesawat F-16 Block 30 milik negara Mediterranean itu juga akan ditingkatkan daripada 8,000 jam kepada 12,000 jam.– DSA

Iklan

 

Comments
Loading...