Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kereta Kebal Utama Terbaru Iran, “Karrar” Mula Beraksi di Medan

(VIDEO) Kereta kebal utama “Karrar” Iran seberat 51 tan yang menyerupai seperti kereta kebal utama T-90 milik Russia tu dibangunkan sepenuhnya oleh industri pertahanan negara itu dengan menggunakan kereta kebal utama T-72 Russia sebagai asas program pembangunannya.

0 8,819

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas satu dekad dibangunkan, Tentera Darat Iran akhirnya mula menerima kereta kebal utama terbarunya “Karrar” untuk dintergrasikan ke dalam unit-unit armornya.

Kereta kebal utama “Karrar” Iran seberat 51 tan yang menyerupai seperti kereta kebal utama T-90 milik Russia tu dibangunkan sepenuhnya oleh industri pertahanan negara itu dengan menggunakan kereta kebal utama T-72 Russia sebagai asas pembangunannya.

Bagaimanapun, kereta kebal utama terbaru Iran itu menggunakan turret yang berlainan berbanding T-72.

Menurut pegawai kanan tentera Russia, rekabentuk kereta kebal utama “Karrar” itu adalah hampir sama kepada varian termaju kereta kebal T-90MS Russia tetapi dalam masa yang sama turut menggunakan ciri-ciri yang terdapat pada kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat dan Challenger buatan Britain.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar aplikasi media sosial “Iran Defense” menunjukkan lima buah kereta kebal “Karrar” sedang diangkut oleh kenderaan pengangkut Volvo FH-16 menuju ke Wilayah Khuzestan yang merupakan ibu pejabat Divisyen Armor ke-92 Tentera Darat Iran.

Wilayah Khuzestan itu terletak di sempadan Iraq dan tidak berapa jauh daripada Baghdad.

Kereta kebal utama “Karrar” mula dipertontonkan kepada orang awam pada 2016 dan setahun selepas itu pada 2017, Menteri Pertahanan Iran ketika itu Brig Jen Hossein Deghan telah merasmikan kemudahan pembinaan kereta kebal itu di Kompleks Industri Armor Bani-Hashem di Wilayah Dorud, Lorestan.

Anggota tentera darat Iran yang dikenali dengan nama “Nezaja” dilaporkan telah menerima lima buah kereta kebal utama terbaru itu, walaupun variannya adalah berlainan berbanding varian kereta kebal “Karrar” yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Kereta kebal utama “Karrar” yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilengkapi dengan Remote Control Weapon System (RCWS) bersenjatakan mesingan 12.7mm, manakala kereta kebal “Karrar” yang digunakan oleh Nezaja tidak memiliki RCWS.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan bakal memiliki kira-kira 800 buah kereta kebal utama “Karrar” itu.

Mengenai sistem persenjataan kereta kebal utama “Karrar”, ia dilengkapi dengan meriam smoothbore kaliber 125mm, sama seperti meriam yang digunakan oleh kereta-kereta kebal buatan Russia.

Bagi kereta-kereta kebal buatan negara Barat, mereka menggunakan meriam berkaliber 120mm.

Meriam 125mm kereta kebal “Karrar” itu membolehkan melancarkan pelbagai peluru standard seperti armor-piercing fin-stabilized discarding sabot (APFSDS), high-explosive anti-tank (HEAT) dan high-explosive fragmentation (HEF).

Selain itu, meriam milik “Karrar” juga boleh melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal.

Daripada segi perlindungannya, kereta kebal terbaru Iran itu dilengkapi dengan armor Explosive Reactive Armor (ERA) di bahagian depan dan turretnya, manakala di bahagian atasnya pula, “Karrar” dilengkapi dengan armor tambahan.

Karrar
Karrar MBT

 

 

Bagi kedudukan sisi kereta kebal itu, ia akan dilengkapi dengan modul-modul armor komposit.

Kereta kebal “Karrar” juga dilengkapi dengan enjin yang baru bagi membolehkan ia bergerak dengan kelajuan maksimum 70 km sejam dengan radius operasi mencecah 550km.

 Kereta kebal “Karrar” yang mempunyai tiga orang krew juga dilengkapi dengan perlindungan NBC (Nuclear, Biological and Chemical), kelengkapan alat pandang malam, sistem kawalan tembakan elektro-optikal, laser rangefinder, komputer ballistik, Sistem Pengurusan Medan Peperangan (Battle Management System) dan panel-panel kawalan digital. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

 

Comments
Loading...