Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Persaingan Bekal Kapal Selam Pada Filipina Semakin Sengit, Fincantieri-TKMS Tawar U212 NFS

Kedua-dua syarikat itu menawarkan varian kapal selam diesel-elektrik U212 NFS, yang sedang dibina oleh Fincantieri untuk kegunaan Tentera Laut Itali, meningkatkan lagi persaingan antara beberapa syarikat untuk membekalkan kapal selam kepada Tentera Laut Filipina.

0 3,449
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat kapal Itali, Fincantieri dan syarikat Jerman, Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS), telah memeterai perjanjian kerjasama industri untuk membekalkan kapal selam baharu kepada Tentera Laut Filipina.
Kedua-dua syarikat itu menawarkan varian kapal selam diesel-elektrik U212 NFS, yang sedang dibina oleh Fincantieri untuk kegunaan Tentera Laut Itali, meningkatkan lagi persaingan antara beberapa syarikat untuk membekalkan kapal selam kepada Tentera Laut Filipina.
Kerjasama strategik kedua-dua syarikat Eropah turut bertujuan memperkukuh infrastruktur tempatan serta memperluas keupayaan operasi armada Tentera Laut Filipina.
“Berdasarkan kejayaan kerjasama kami dalam program kapal selam Itali, perjanjian kerjasama industri ini menjadi asas kukuh untuk projek bersama lain dalam bidang peperangan bawah permukaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TKMS, Oliver Burkhard.
U212 NFS (Near Future Submarine) ialah kapal selam serangan diesel-elektrik berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh syarikat Fincantieri untuk Tentera Laut Itali, dan mewakili kapal selam generasi baharu kepada keluarga kapal selam Type 212A yang berjaya, yang asalnya direka oleh Howaldtswerke-Deutsche Werft (HDW) dari Jerman—kini anak syarikat TKMS.
Kapal selam U212 NFS merupakan peningkatan ketara daripada kapal selam kelas-Type 212A yang dihormati ramai, dan kini dianggap antara kapal selam bukan nuklear paling berkeupayaan di dunia.
Kapal selam Type 212A pada asalnya dibangunkan secara bersama oleh Jerman dan Itali pada era 1990-an, dan mula digunakan secara rasmi dalam perkhidmatan operasi pada awal 2000-an, menandakan era baharu dalam teknologi kapal selam konvensional.
Filipina
Kapal selam U212 NFS

 

Ketika Jerman sedang menaik taraf armada sedia ada kepada versi generasi baharu Type 212CD (Common Design) bersama Norway, Itali memilih untuk mengambil laluan pembangunan tersendiri menerusi U212 NFS, yang direka khas mengikut keperluan strategik dan operasi negara itu.
U212 NFS mengekalkan penggunaan sistem Air-Independent Propulsion (AIP) berasaskan teknologi sel bahan api hidrogen, membolehkannya kekal menyelam untuk tempoh lama tanpa perlu timbul ke permukaan — satu kelebihan penting dalam peperangan bawah permukaan moden.
Teknologi ini meningkatkan tahap kerahsiaan operasi dengan menghapuskan keperluan kerap untuk ‘snorkeling’, berbeza daripada kapal selam diesel-elektrik tradisional.
Varian akan datang dijangka dilengkapi dengan bateri litium-ion generasi baharu, yang menawarkan ketumpatan tenaga lebih tinggi, jangka hayat selaman lebih lama dan operasi lebih senyap.
U212 NFS dilengkapi sistem pengurusan tempur tercanggih, rangkaian sonar bersepadu, serta teknologi periskop moden yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkemuka Itali, Leonardo.
Ia turut menggunakan sistem arahan, kawalan dan navigasi digital sepenuhnya, membolehkan integrasi lancar dengan rangkaian NATO dan sistem komando tentera laut kebangsaan Itali.
 U212 NFS
U212 NFS
Bagi meningkatkan kerahsiaan akustik, reka bentuk badan kapal selam yang dioptimumkan dan penggunaan lapisan anechoic membantu mengurangkan kebolehkesanan melalui sonar, walaupun dalam persekitaran ancaman tinggi.
Kapal selam ini dilengkapi dengan torpedo berat jenis Black Shark Advanced (BSA) yang juga dibangunkan oleh Leonardo, memberikan keupayaan serangan maut terhadap kapal permukaan dan kapal selam musuh.
Selain persenjataan utamanya, U212 NFS dijangka mampu menjalankan operasi meletakkan periuk api, dan berpotensi ditingkatkan pada masa depan untuk membawa peluru berpandu jelajah darat, sekali gus memperluas peranan strategiknya.
Selain Fincantieri dan TKMS, beberapa negara pembuat kapal selam telah pun secara terbuka menawarkan kapal-kapal buatan mereka kepada kepada Filipina.
Antaranya adalah syarikat berkaitan kerajaan Sepanyol, Navantia yang menawarkan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Tentera Laut Filipina dianggarkan bernilai US$1.7 bilion (RM7.65 bilion).
Tentera Laut Sepanyol mengoperasikan empat buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral.
Navantia
S80 Isaac Peral 
Tawaran itu bukan sahaja meliputi perolehan dua buah kapal selam tetapi juga dengan pembinaan pangkalan kapal selam itu bersama-sama infrastruktur dan lojistiknya di bandar Ormoc yang terletak di wilayah Leyte, Filipina.
Menurut pengurus komersial syarikat Sepanyol itu Guilermo Zamarippa, tawaran dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Filipina itu turut meliputi aspek latihan menyeluruh untuk krew-krew kapal selam negara Asia Tenggara itu, pemindahan teknologi dan penyelenggaraan.
“Syarikat Navantia menawarkan penyelesaian untuk menyokong angkatan kapal selam Filipina dengan konsep kapal selam yang revolusi, interoperabiliti serta keperluan latihan dan pentadbiran,” kata Zamarippa.
Kapal selam kelas-S80 Isaac Peral mempunyai panjang 81 meter dan berkemampuan melancarkan serangan daripada laut ke darat dan melaksanakan pelbagai misi serta operasi termasuk perisikan, aktiviti pemantauan serta operasi anti-permukaan dan anti-kapal selam.
Kapal selam konvensional dibangunkan oleh Navantia itu hanya boleh dioperasikan oleh 32 orang krew.
Ia merupakan aset bawah permukaan air konvensional yang berkemampuan melaksanakan misi-misi jarak jauh kerana ia dilengkapi dengan kemudahan Air Independent Propulsion (AIP), sekaligus membolehkan ia berada di bawah permukaan air selama tiga minggu secara berterusan.
Scorpene
Kapal selam Scorpene dibangunkan oleh Naval Group
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan kapal selam kepada Filipina adalah Naval Group daripada Perancis yang mengemukakan tawaran dua buah kapal selam diesel-elektrik jenis “Scorpene” sebagaimana yang dimiliki oleh Malaysia kepada Manila.
Malah pada 2022, syarikat Naval Group itu telah pun membuka pejabatnya di Manila bagi memudahkan lagi usaha menjual kapal selam Sorpene itu kepada Tentera Laut Filipina.
Sejak daripada tahun 2020, kerajaan Filipina dilaporkan bercadang untuk memperolehi dua buah kapal selam jenis “Scorpene” yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group.
Menurut syarikat Naval Group, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan “intensif” dengan kerajaan Filipina tentang penjualan kapal selam.
Pada akhir 2020, Setiausaha Luar Filipina pada ketika itu Teddy Locsin dalam satu ciapan menerusi akaun Twitter (kini dikenali sebagai X) miliknya mengatakan bahawa negara itu akan mendapatkan dua buah kapal selam “Scorpene” bagi tentera lautnya.
“We’re getting two French submarines along with the full training over years of several rotations of crew,” katanya dalam ciapan Twitter itu. (Kami akan memperolehi dua buah kapal selam Perancis dengan pakej latihan yang penuh.” (terjemahan).
Jang Bogo
Kapal selam Jang Bogo-III oleh syarikat Hanwha Ocean
Sementara itu laporan media online Filipina “Rappler” pada 2022 mendakwa Perancis telah menawarkan dua buah kapal selam kepada Filipina sebagai “pertukaran” kepada kebenaran untuk menyelam dan menyelidik kawasan dasar perairan milik negara Asia Tenggara itu.
Menurut laporan media itu, Perancis telah menawarkan kepada Manila untuk membangunkan dua buah kapal selam diesel-elektrik dipercayai daripada jenis “Scorpene” bagi digunakan oleh Tentera Lautnya.
“Perancis telah menawarkan kepada Filipina untuk membangunkan dua buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik berdasarkan kepada rekabentuk dan standard NATO (North Altantic Treaty Organisation) sebagai pertukaran kepada kebenaran kepadanya untuk ‘menyelidik’ (explore) perairan berdaulat negara,” menurut Rappler.
Sementara itu syarikat Korea Selatan, Hanwha Ocean (sebelum ini dikenali sebagai DSME) tidak ketinggalan daripada bersaing dengan syarikat-syarikat Sepanyol dan Perancis dalam menawarkan kapal selam Jang Bogo-III kepada Tentera Laut Filipina.
Ia adalah varian terkini kepada kepada kapal selam Jang Bogo yang memiliki panjang keseluruhan 77 meter dan dilengkapi dengan sistem propulsion terkini dan teknologi bateri lithium-ion bagi memastikan kapal selam keluaran Korea Selatan itu lebih sukar dikesan oleh musuhnya.
Selain itu, kapal selam yang boleh menempatkan 41 orang krew dan mencapai kelajuan 21 knot  itu juga dilengkapi dengan enam buah tiub torpedo, yang juga berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu
Tawaran sebanyak dua buah kapal selam Jang Bogo-III kepada Filipina itu meliputi pakej latihan, pemindahan teknologi, bantuan lojistik bersepadu, simulator dan kemudahan penyelenggaraan sama ada di Subic Bay  atau mana-mana lokasi yang Tentera Laut Filipina mahukan.
Syarikat Korea Selatan itu menawarkan tempoh pinjaman dengan kadar faedah yang menarik selama tujuh tahun.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.