Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

UAE Semakin Dekat Dengan Perolehan Pesawat Pejuang Buatan Korea Selatan KF-21 Boramae ??

Bukan itu sahaja, perjanjian Tentera Udara Korea Selatan-Tentera Udara UAE juga meningkatkan lagi spekulasi bahawa negara Teluk itu bakal menggantikan tempat Indonesia sebagai rakan pembangunan pesawat buatan industri pertahanan Korea Selatan  itu.

0 2,311
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pegawai tertinggi tentera udara dari Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menandatangani perjanjian bagi memperkukuh kerjasama menyeluruh berkaitan pesawat pejuang buatan negara Asia Timur itu, KF-21 Boramae, mendekatkan lagi negara Teluk kaya-raya itu dengan perolehan pesawat pejuang itu.
Bukan itu sahaja, perjanjian Tentera Udara Korea Selatan-Tentera Udara UAE juga meningkatkan lagi spekulasi bahawa negara Teluk itu bakal menggantikan tempat Indonesia sebagai rakan pembangunan pesawat buatan industri pertahanan Korea Selatan  itu.
Pada ketika ini, Indonesia adalah rakan pembangunan pesawat KF-21 dengan pegangan sebanyak 20 peratus tetapi komitmen Jakarta terhadap program pesawat itu dipersoalkan selepas ia gagal menjelaskan bayaran penyertaannya.
Menurut kenyataan Tentera Udara Korea Selatan, perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Turus Tentera Udara Korea Selatan Jen Lee Young-su bersama Komander Tentera Udara dan Pertahanan Udara UAE, Mejar Jeneral Rashed Mohammed A. Al Shamsi semasa lawatan ke kilang Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI) di Sacheon, terletak kira-kira 290 kilometer di selatan Seoul.
Menerusi perjanjian awal itu, Tentera Udara UAE akan diberi peluang menyaksikan latihan udara melibatkan pesawat pejuang KF-21 serta melawat unit-unit Tentera Udara Korea Selatan yang bakal menggunakan pesawat pejuang berteknologi tinggi tersebut.
Pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae dijangka akan diserahkan secara rasmi kepada Tentera Udara Korea Selatan pada tahun hadapan.
UAE merupakan negara pertama di Timur Tengah yang menjalinkan perbincangan tetap antara tentera udara negara itu dengan Korea Selatan.
KF-21
KF-21 “Boramae” 
Inisiatif ini dimulakan susulan lawatan Jeneral Lee ke UAE pada bulan Mac lalu, di mana kedua-dua pihak bersetuju mengenai keperluan untuk memperkukuh penyelarasan kerjasama, menurut kenyataan Tentera Udara Korea Selatan.
Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua tentera udara merancang untuk mengadakan mesyuarat setiap enam bulan.
Sementara itu, Lee turut menegaskan sokongan Korea Selatan terhadap usaha berterusan UAE dalam mengintegrasikan sistem peluru berpandu darat-keudara jarak sederhana Cheongung-II, yang dibeli oleh Abu Dhabi pada tahun 2022.
Sistem pertahanan udara itu direka untuk memintas pesawat dan peluru berpandu balistik pada jarak sehingga 40 kilometer.
Pesawat pejuang generasi 4.5 Korea Selatan, KF-21 Boramae, kini berada di fasa akhir pembangunan dan dijangka memasuki perkhidmatan rasmi bersama Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) menjelang akhir 2026.
Dibangunkan oleh KAI, program ini bertujuan menggantikan pesawat lama seperti F-4 Phantom dan F-5 dalam inventori ROKAF.
KF-21
KF-21 Boramae
KAI telah memulakan pengeluaran bagi 20 unit pertama pesawat pejuang KF-21 Boramae pada pertengahan tahun 2024.
Penghantaran pesawat kepada Tentera Udara Republik Korea dijadualkan bermula pada akhir tahun 2026, menjadikan KF-21 antara program pertahanan udara paling signifikan di Asia.
Setakat ini, pesawat prototaip KF-21 telah berjaya melaksanakan lebih 1,000 penerbangan ujian tanpa sebarang insiden.
Ujian tersebut termasuk pengisian minyak di udara pada waktu malam serta pelancaran peluru berpandu berprestasi tinggi seperti Meteor dan AIM-2000.
Bagi meningkatkan fleksibiliti operasinya, tiga varian baharu KF-21 sedang dibangunkan secara serentak.
Varian tersebut merangkumi KF-21EA, versi khusus untuk peperangan elektronik; KF-21EX, versi dengan keupayaan siluman penuh; dan KF-21SA, varian yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.
KF-21
KF-21 “Boramae”
Dari segi spesifikasi, KF-21 Boramae dilengkapi dengan dua enjin General Electric F414-GE-400, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 1.8.
Ia turut dipasang dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) keluaran Hanwha Systems, memberikan keupayaan pengesanan dan penjejakan sasaran yang canggih.
Dari sudut persenjataan, KF-21 mampu membawa pelbagai jenis peluru berpandu udara-ke-udara dan udara-ke-darat, menjadikannya sebuah platform serangan pelbagai peranan yang sangat berkeupayaan.
Kemajuan pesat dalam pembangunan KF-21 mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai pemain utama dalam industri aeroangkasa ketenteraan global.
Kerjasama pertahanan di antara UAE dengan Korea Selatan juga semakin erat selepas negara Teluk itu membelanjakan US$3.5 bilion (RM15.7 bilion) untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM Block II yang dibangunkan oleh syarikat LIG Nex1 (Cheongung) pada 2022.
 Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM II  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem pertahanan udara jarak sederhana yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.
Korea Selatan
“KM-SAM II”
KM-SAM
“KM-SAM”
Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh firma pertahanan LIG Nex1 dan Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.
Turut sama membangunkan sistem pertahanan udara itu adalah Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.
 Sistem KM-SAM II dibangunkan oleh Korea Selatan berinspirasikan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Russia, Almaz-Antey seperti S-300 dan S-400.
Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit.
Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak.
Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM boleh membedil sasaran udara setinggi 15km (49,000 kaki) pada jarak sejauh 40 km. 
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.