Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PM Israel Dikecam Hebat Benarkan Anak Lelakinya Terus “Bercuti” Di Miami

Beliau dikecam hebat rakyat Israel terutamany anggota tentera simpanan negara itu kerana terus membenarkan anaknya berusia 32 tahun berada di bandar peranginan, Miami di Amerika Syarikat, walaupun negara itu kini sedang berhadapan konflik dengan Hamas dan kumpulan Palestin lain di Semenanjung Gaza.

0 1,304

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bukan sahaja menerima kecaman hebat akibat kegagalan pentadbirannya menangani serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, tetapi beliau turut dikutuk rakyat negara itu berikutan tindakan anak lelakinya, Yair Netanyahu.

Beliau dikecam hebat rakyat Israel terutamanya anggota tentera simpanan negara itu kerana terus membenarkan anaknya berusia 32 tahun berada di bandar peranginan, Miami di Amerika Syarikat, walaupun negara itu kini sedang berhadapan konflik dengan Hamas dan kumpulan Palestin lain di Semenanjung Gaza.

Di sempadan Israel dengan Lubnan, puluhan tentera Yahudi itu telah terbunuh akibat serangan pejuang-pejuang Hezbollah.

Ketika kerajaan Israel memanggil kira-kira 400,000 anggota tentera simpanannya yang berada di seluruh dunia untuk kembali menyarung uniform tentera dan memikul senjata, anak sulung Perdana Menteri negara itu tidak mengendahkan panggilan itu dan terus berada di kota peranginan , Miami.

Sebahagian besar daripada angkatan tentera Israel terdiri daripada anggota-anggota tentera simpanan.

Netanyahu

Yair Netanyahu yang merupakan anak sulung kepada Perdana Menteri Israel itu berada di Miami sejak April lalu selepas beliau disaman kerana memfitnah berikutan kenyataannya di dalam laman sosial Instagram.

Beliau telah menjalani kerahan tenaga wajib sebagai anggota tentera Israel tetapi tidak ditempatkan di unit tempur, sebaliknya hanya ditempatkan di unit perhubungan awam tentera.

Tindakan anak Perdana Menteri Israel itu enggan pulang ke negara asalnya untuk bersama-sama 400,000 anggota tentera simpanan yang menerima arahan supaya pulang ke berek masing-masing untuk mempertahankan negara itu daripada serangan Hamas — telah menerima kecaman yang hebat daripada rakyat Israel.

Tindakan Yair Netanyahu untuk terus kekal berada di Miami dan menikmati suasana tepi pantai itu telah dikritik hebat oleh anggota tentera simpanan Israel.

“Beliau (Yair) sedang menikmati kehidupannya di pantai Miami manakala saya berada di barisan hadapan. Ia adalah kami yang meninggalkan kerja, keluarga, anak-anak kami untuk mempertahankan negara.”

Netanyahu
Kebanyakan tentera Israel adalah anggota simpanan.

 

“Keluarga, bapa, anak-anak kesemuanya ditugaskan di barisan hadapan tetapi Yair (anak Benjamin Netanyahu) tidak berada di sini. Tindakan beliau tidak membina keyakinan terhadap kepimpinan negara,” menurut salah seorang anggota tentera simpanan Israel kepada media negara itu.

Seorang lagi anggota tentera simpanan Israel dipetik oleh media negara itu sebagai berkata: “Saya pulang (ke Israel) daripada Amerika Syarikat di mana saya mempunyai pekerjaan, kehidupan dan keluarga.”

“Tidak mungkin saya boleh berada di sana (Amerika Syarikat) dan ‘meninggalkan’ negara (Israel) dan rakyat saya pada waktu yang kritikal ini. Dimanakah anak Perdana Menteri? Mengapakah beliau tidak berada di Israel.”

“Ia adalah detik yang menyatu-padu semua orang. Setiap semua rakyat perlu berada di sini (Israel) tetapi dimanakah anak Perdana Menteri Israel,” kata seorang lagi anggota tentera simpanan Israel yang amat kecewa dengan tindakan Benjamin Netanyahu dan anaknya, Yair itu.

Beberapa bulan sebelum ini, Yair telah diperintahkan oleh mahkamah Israel supaya membayar gantirugi sebanyak US$34,000 (RM153,000) kepada seorang wanita bernama, Dana Cassidy.

Wanita itu menyaman anak Netanyahu pada 2020 kerana telah memberikan gambaran dalam Instagram bahawa beliau mempunyai hubungan dengan ahli politik, Benny Gantz, yang pada ketika sedang bersaing dengan bapanya untuk merebut jawatan Perdana Menteri Israel. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...