Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Pelihara Hak Rakyat Kami”, Kata China Kepada Malaysia

0 451

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Malaysia perlu memelihara hak-hak rakyat China yang ditahan kerana memasuki perairan negara itu.”

Itu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian (gambar atas) di Beijing semalam mengenai penahanan 60 rakyatnya serta enam buah bot “nelayan” di perairan Tanjung Sedili di Johor pada Jumaat lepas.

Kesemua rakyat China itu ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Nelayan
Tiga daripada enam buah bot nelayan yang ditahan APMM di perairan Johor Jumaat lepas. (kredit FB APMM)

Oh, mereka tahu mengenai hak-hak rakyat mereka apabila ditahan oleh pihak berkuasa asing tetapi bersikap semberono tanpa memikirkan hak-hak negara lain apabila kapal-kapal pengawal pantai mereka menceroboh perairan negara kita.

Awal tahun ini kerajaan mengatakan kapal-kapal milik China telah menceroboh perairan negara sebanyak 80 kali sepanjang tahun 2016 hingga 2019.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China itu juga meminta supaya Malaysia menyiasat kes itu mengikut lunas undang-undang.

Zhao berkata, bot-bot nelayan itu serta anak-anak kapalnya berada di dalam perairan Malaysia ketika ditahan.

Nelayan
Salah seorang daripada nelayan China yang ditahan itu menjalani ujian pengesanan COVID-19. (kredit FB APMM)

Pegawai-pegawai kedutaan China di Kuala Lumpur telah pun melawat kesemua rakyat China yang ditahan itu, menurut jurucakap Kementerian Luar negara Komunis itu.

Kesemua bot-bot nelayan China yang ditahan di Tanjung Sedili itu didaftarkan di Qinhuangdoa, utara China dan dikatakan sedang dalam perjalanan ke Mauritania, Afrika.

Menurut dakwaan oleh anak-anak kapal bot nelayan itu mereka terpaksa berlabuh di perairan Malaysia kerana salah sebuah daripadanya mengalami kerosakan.

Penahanan 60 rakyat China beserta enam buah bot nelayan mereka itu juga berlaku dua hari sebelum Menteri Luar negara itu, Wang Yi melawat Malaysia.

Wang Yi
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi. (kredit internet)

Beliau yang tiba di ibu negara semalam, mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi.

Kedua-dua Menteri Luar itu dijangka akan mengadakan sidang media selepas pertemuan itu.

Kali terakhir Wang Yi melawat Malaysia adalah pada 2018.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...