Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Letak Pelampung Navigasi Dengan Bendera Di Perairan ZEE Miliknya

“Tindakan (letak pelampung dipasang bendera Filipina) menunjukkan tindakan tidak berbelah-bagi Filipina untuk mempertahankan sempadan maritim dan sumber aslinya serta menyumbang kepada usaha untuk menjamin keselamatan perdagangan maritim di kawasan perairan itu,” kata jurucakap Pengawal Pantai Filipina.

0 2,265

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi menunjukkan kedaulatannya terhadap perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) miliknya yang kini dicabar oleh Beijing, pihak berkuasa Filipina telah bertindak meletakkan pelampung-pelampung navigasi (navigational buoys) di kawasan perairan ZEE itu.

Jurucakap pengawal pantai Filipina berkata, pelampung-pelampung itu diletakkan di dalam perairan ZEE miliknya di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

“Tindakan ini menunjukkan tindakan tidak berbelah-bagi Filipina untuk mempertahankan sempadan maritimnya dan sumber asli serta menyumbang kepada usaha untuk menjamin keselamatan perdagangan maritim di kawasan perairan itu,” kata jurucakap itu Komodor Jay Tarriela tentang isu Laut China Selatan.

Pelampung
Pelampung untuk tujuan navigasi.

 

Pihak Pengawal Pantai Filipina telah meletakkan lima pelampung yang dipasang dengan bendera negara itu di lima kawasan yang terletak di dalam lima buah kawasan perairan ZEE negara itu termasuk di Terumbu Karang Whitsun.

Pada tahun 2021,ratusan bot-bot “nelayan” China sambil dikawal oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu didapati berlabuh di terumbu karang yang didakwa oleh pihak berkuasa China sebagai milik mereka.

Usaha pihak berkuasa Filipina untuk menghalau bot-bot “nelayan” China itu telah dihalang oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu yang jauh lebih besar daripada apa yang dimiliki oleh pengawal pantai Filipina.

Tindakan pihak berkuasa Filipina meletakkan pelampung-pelampung yang dipasang dengan bendera negara itu di lima lokasi di dalam perairan ZEE negara ini dilakukan ketika Beijing semakin agresif di Laut China Selatan pada ketika Manila di bawah pemerintahan presiden yang baru semakin rapat dengan Amerika Syarikat.

Berikutan hubungan yang semakin erat di antara pentadbiran Presiden Marcos “Bong Bong” Jr dengan Washington, Manila telah bersetuju untuk meningkatkan bilangan akses pangkalan tenteranya kepada Amerika Syarikat daripada lima kepada sembilan buah.

whitsun
Terumbu Karang Julian Felipe/Whitsun Reef yang terletak di dalam perairan EEZ Filipina.

 

Penambahan akses pangkalan tentera Filipina kepada Amerika Syarikat  itu berlaku ketika  ketegangan di antara Washington dan Beijing berhubung isu-isu Laut China Selatan dan Taiwan semakin meningkat.

Keempat-empat lokasi baru yang diberikan akses kepada Amerika Syarikat adalah — Pangkalan Laut Camilo Osias di Sta Ana di Cagayan, Lapangan Terbang Lal-lo di Cagayan, Kem Melchor Dela Cruz di Gamu, Isabela dan  Balabac di Palawan.

Lima buah pangkalan tentera Filipina yang diberi akses kepada Amerika Syarikat sebelum ini adalah Pangkalan Udara Antonio Bautista di Palawan, Pangkalan Udara Basa di Pampanga, Fort Magsaysay di Nueva Ecija, Pangkalan Udara Lumbia di Cagayan de oro dan Pangkalan Udara Benito Ebuen di Cebu.

Amerika Syarikat bukan sahaja berhasrat untuk meningkatkan jumlah aset tentera yang ditempatkannnya di Filipina, tetapi Washngton juga telah bertindak “menyumbang” lebih banyak aset-aset ketenteraan miliknya kepada Manila.

Terbaru,Amerika Syarikat bercadang memindahkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules kepada Filipina bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara Asia Tenggara itu.

Whitsun
Deretan bot-bot “nelayan” China berlabuh di Terumbu Karang Whitsun.

 

Sumbangan terbaru aset ketenteraan milik Uncle Sam itu membabitkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules itu berlaku hanya sebulan selepas Amerika Syarikat menyumbang dua buah kapal peronda kelas-Cyclone miliknya kepada Filipina.

Kedua-dua bekas kapal peronda kelas-Cyclone milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang kini dimiliki oleh Tentera Laut Filipina adalah USS Monsoon (PC-4) dan USS Chinook (PC-9) dan dipindahkan kepada negara Asia Tenggara itu di bawah program Excess Defense Articles (EDA) kerajaan Amerika Syarikat. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...