Panglima ATM Tinjau Operasi Mekong Riverine Unit (MRU), Tentera Laut Thailand
Sungai Mekong adalah sungai ke-12 terpanjang di dunia dengan jarak kira-kira 4880 km yang mengalir dari Dataran Tibet di utara melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Sungai Mekong juga merupakan sungai ke-10 terbesar di dunia dari segi isipadu dan mengeluarkan 475 km padu air setiap tahun.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman telah bertukar kepakaran (transfer expertise) dengan pegawai Tentera Laut Thailand dari Mekong Riverine Unit (MRU) di sini mengenai cara pengoperasian kawalan perairan sungai di sempadan.
Menurut posting Facebook Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini, lawatan ke Mekong Riverine Unit merupakan salah satu acara penting Panglima Angkatan Tentera dalam lawatan kerja ulungnya ke Royal Thai Armed Forces.
Panglima Angkatan Tentera dan delegasi Angkatan Tentera Malaysia telah disambut oleh Rear Admiral Narin Khawcharoan, Komander MRU bersama-sama pegawainya sebelum dibawa menghadiri taklimat mengenai status semasa dan pengoperasian MRU.
MRU merupakan pasukan dari Tentera Laut Thailand yang bertanggungjawab terhadap pengawalan dan keselamatan Sungai Mekong serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Untuk maklumat, Sungai Mekong adalah sungai ke-12 terpanjang di dunia dengan jarak kira-kira 4880 km yang mengalir dari Dataran Tibet di utara melalui Yunnan di China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.
Sungai Mekong juga merupakan sungai ke 10 terbesar di dunia dari segi isipadu dan mengeluarkan 475 km padu air setiap tahun.
Manakala, lembangannya pula berkeluasan 812,000 km persegi. Semua negara yang memiliki Sungai Mekong dalam tanahnya kecuali China dan Myanmar, menyertai Suruhanjaya Sungai Mekong/Mekong River Commission (MRC).
MRC adalah satu-satunya organisasi berasaskan perjanjian antarabangsa di Mekong dengan mandat untuk mempromosikan dan menyelaraskan penggunaan mampan air dan sumber-sumber yang berkaitan dengan sungai besar ini.
Organisasi ini adalah hab pengetahuan serantau dan platform diplomasi perairan sungai.
MRC juga berfungsi di semua sektor perairan sungai dan yang berkaitan termasuk kelestarian perikanan, mengenal pasti peluang untuk pertanian, kebebasan navigasi, tenaga hidro lestari, pengurusan banjir dan kemarau, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem penting.
MRU berkerjasama rapat dengan MRC dalam pengawalan keselamatan Sungai Mekong di sepanjang tanah Thailand dengan penempatan 7 pos pengawalan.
MRU juga berkerjasama dengan Laos dan Kemboja dalam aspek rondaan Sungai Mekong di sempadan kedua-dua negara dengan jarak rondaan kira-kira 917km.
Masalah utama yang dihadapi oleh MRU dalam membuat pengawalan keselamatan terhadap Sungai Mekong adalah berkaitan dengan penyeludupan dadah dan barang terlarang, kemasukan pendatang asing dan juga jenayah rentas sempadan.
Selepas taklimat mengenai status semasa dan pengoperasian MRU berakhir, Panglima Angkatan Tentera telah dibawa ke sekitar tempat di MRU bagi sesi lawatan tapak untuk melihat sendiri bagaimana pengawasan sempadan, rondaan dan pengawalan dilaksanakan oleh pegawai dan anggota MRU.
Lawatan Panglima Angkatan Tentera di MRU ditamatkan dengan sesi pertukaran cendera kenangan.
Berita : Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Penasihat Ketenteraan kepada Panglima Angkatan Tentera.
Gambar : Penasihat Ketenteraan kepada Panglima Angkatan Tentera.
Comments are closed.