NATO Mulakan Latihan Udara Terbesar Dalam Sejarah, Russia Jadi “Sasaran”
"Air Defender 2023" merupakan latihan udara terbesar pernah dianjurkan oleh NATO sejak ia ditubuhkan pada 1949 dan tidak dapat disangkal lagi bahawa "sasaran utama" latihan udara terbesar itu adalah Russia, lebih setahun selepas ia menceroboh Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – NATO memulakan latihan udara terbesarnya di Eropah melibatkan lebih daripada 250 buah pesawat kombat pelbagai jenis daripada 25 buah negara anggotanya dan rakan kerjasama termasuk Sweden dan Jepun serta lebih daripada 10,000 anggota tentera.
Latihan udara yang dinamakan “Air Defender 23” diketuai oleh Jerman bermula semalam (Isnin) dan akan hanya berakhir pada 23 Jun serta melibatkan enam pangkalan udara.
Ia merupakan latihan udara terbesar pernah dianjurkan oleh NATO sejak ia ditubuhkan pada 1949 dan tidak dapat disangkal lagi bahawa “sasaran utama” latihan udara terbesar itu adalah Russia, lebih setahun selepas ia menceroboh Ukraine.
Jerman telah melakukan perancangan selama empat tahun untuk melaksanakan latihan udara terbesar itu, termasuklah menutup beberapa zon ruang udara itu daripada penerbangan-penerbangan komersial.
Ia juga menyatakan bahawa penumpang pesawat komersial akan mengalami kelewatan akibat latihan udara itu.
Tentera Udara Amerika Syarikat sahaja menghantar 100 buah pesawat kombatnya termasuk pesawat pejuang termodennya F-35 untuk menyertai latihan udara NATO itu.
Latihan udara itu melaksanakan beberapa misi latihan termasuklah peperangan anti-kapal selam di Laut Utara (North Sea) dan pelbagai scenario latihan yang lain.
“Air Defender 23” menunjukkan perpaduan negara-negara anggota kerjasama pertahanan itu dalam berdepan dengan ancaman terutamanya daripada Russia, serta meningkatkan interoperabiliti dan kesiapsiagaan sistem pertahanan negara dalam berhadapan dengan ancaman dron serta peluru berpandu kruis sekiranya diserang.
“Mesej penting yang mahu kita sampaikan adalah kita berkemampuan mempertahankan diri sendiri,” kata Leftenan Jeneral Ingo Gerhartz daripada Tentera Udara Jerman kepada stesen televisyen negara itu.
Latihan udara “Air Defender” bermula pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada respons NATO terhadap penaklukan wilayah Crimea, Ukraine oleh Russia empat tahun lalu.
Namun pegawai kanan tentera udara Jerman itu menafikan latihan udara mensasarkan mana-mana negara tertentu.
Beliau berkata bahawa latihan udara tidak akan menghantar “apa-apa penerbangan” ke arah Kaliningrad, sebuah wilayah milik Russia yang bersempadan dengan negara anggota NATO iaitu Poland dan Lithuania.
“Kita adalah perjanjian ketenteraan yang defensif dan latihan udara sememangnya direncana sebegitu, “ kata beliau.
Penerbangan-penerbangan pesawat tentera bagi latihan udara “Air Defender 23” telah pun bermula di pangkalan-pangkalan udara Wunstorf, Jagel dan Lechfeld, menurut pegawai Tentera Udara Jerman atau lebih dikenali dengan panggilan “ Luftwaffe”.
Duta Amerika Syarikat ke Jerman Amy Gutmann berkata, latihan udara terbesar itu akan menunjukkan kemampuan negara-negara anggota dalam bertindak dengan kadar segera serta menyampaikan mesej “kekuatan” (show of force) kepada negara-negara luar termasuk Russia.
“Saya akan berasa amat terkejut jika mana-mana pemimpin dunia tidak mengambil kira apa telah ditunjukkan oleh kita, tentang semangat serta kekuatan kerjasama ketenteraan itu dan ia termasuklah En Putin (Presiden Russia Vladimir Putin).”
“Dengan merancang tindakan bersama, kita hanya melipatgandakan kekuatan kita,” kata beliau. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.