Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

NATO Versi Asia Bakal Diwujudkan?

0 701

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peningkatan kekuatan tentera China dan dasar luarnya yang agresif telah menimbulkan kembali “cakap-cakap” di kalangan pemimpin Amerika Syarikat dan Eropah tentang keperluan untuk mewujudkan suatu perikatan tentera di antara negara-negara di Asia.

Menurut mereka, perikatan tentera negara-negara Asia itu akan menyerupai North Atlantic Treaty Organisation atau “NATO”.

Objektif utama perikatan tentera negara-negara Asia sebagaimana dicadangkan itu adalah untuk mengekang apa yang mereka takrifkan sebagai “perluasan kuasa” tentera China di rantau Asia Pasifik, dengan Laut China Selatan menjadi keutamaan.

NATO
North Atlantic Treaty Organisation (NATO).

Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg sendiri pernah berkata, peningkatan kuasa tentera China di Pasifik secara dasarnya telah mengubah keseimbangan kuasa di rantau itu, yang sepatutnya mendorong NATO supaya menjadi lebih global.

Pada ketika ini, NATO yang dianggotai oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah bermatlamat untuk mempertahankan benua itu daripada ancaman Komunisme dan Russia dibawah Presiden Vladimir Putin.

Sebenarnya Washington telah pun mengorak langkah ke arah itu penubuhan suatu perikatan di kalangan negara-negara Asia selari dengan NATO.

Timbalan Setiausaha Negara Amerika Stephen E-Biegun baru-baru ini mencadangkan supaya kerjasama pertahanan secara informal antara Washington dengan Australia, Jepun dan India yang digelar “Quad” itu dilaksanakan.

Keempat-empat negara ini mempunyai pelbagai masalah dengan Beijing,

“Cadangan bagi ‘NATO versi Asia’ itu perlu dikaji secara mendalam sama ada oleh Presiden Trump jika beliau dipilih semula sebagai presiden atau presiden yang lain,” kata Biegun.

Nine Dash Line
Menerusi Nine Dash Line, China menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai miliknya. (kredit Internet)

Biegun berkata kerjasama menyerupai NATO di rantau Asia itu bukan sahaja bertujuan untuk mengekang kegelojohan China memperluaskan kuasa dan pengaruhnya, tetapi juga untuk memastikan negara-negara Asia berpegang teguh kepada sistem berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan sejagat.

Jika NATO versi-Asia ini dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, maka sasaran pertama mereka sudah semestinya adalah Laut China Selatan berikutan ketamakkan China untuk menguasai perairan yang amat penting bagi perdagangan dunia itu.

China menerusi peta “Nine Dash Line” mahu menguasai keseluruhan perairan itu.

Adakah Malaysia perlu menyertai perikatan tentera terbaru ini jika NATO versi Asia yang dicadangkan oleh Amerika dan sekutunya menjadi realiti suatu hari nanti?

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...