Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Myanmar Didakwa Beri Enam Ekor Gajah Sebagai Bayaran Pembelian Enam Buah Su-30SME

Dakwaan “gajah untuk bayaran” itu dibuat oleh Radio France International (RFI), yang menyatakan bahawa enam ekor gajah itu ditangkap daripada liar itu adalah sebahagian daripada urusan perdagangan barter (barter trade) di antara kerajaan pimpinan tentera Myanmar dengan pihak berkuasa Russia.

0 1,620
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 7 Januari lalu, Defence Security Asia telah melaporkan bahawa  Russia telah menyelesaikan kontrak yang ditandatanganinya pada 2018 dengan menghantar enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME kepada Tentera Udara Myanmar.
Dalam satu kenyataan, Tentera Udara Myanmar dilaporkan telah mengadakan satu majlis pada 15 Disember lalu di Aviation School di Pangkalan Udara Meiktila di Mandalay dimana kesemua enam buah pesawat pejuang Su-30SME itu secara rasmi telah memulakan operasinya.
Namun beberapa hari lalu terdapat laporan pelik daripada laman web pertahanan Bulgarian Military yang menyatakan bahawa kerajaan Myanmar telah memberikan enam ekor gajah – lima ekor gajah jantan dan seekor gajah betina kepada Great Moscow State Circus.
Menurut sumber yang dipetik oleh laman web pertahanan itu, keenam-enam ekor gajah yang ditangkap daripada liar itu merupakan “isyarat diplomatik” (diplomatic gesture), selaras dengan penghantaran enam buah pesawat pejuang Su-30SME kepada Tentera Udara Myanmar.
“Hadiah” berupa enam ekor gajah itu dilaporkan adalah sebahagian daripada “diplomasi gajah” dan petanda hubungan yang erat di antara kedua-dua negara sempena dengan ulangtahun ke-75 tahun hubungan diplomatik di antara Russia dan Myanmar.

Myanmar

Kerajaan Myanmar sememangnya diketahui menggunakan isyarat diplomatik yang unik sebagai cara untuk mengeratkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar.
Menurut beberapa sumber, haiwan-haiwan yang diambil dari habitat semula jadi mereka itu merupakan sebahagian daripada isyarat diplomatik luar biasa oleh Myanmar,  selari  dengan penghantaran enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME kepada Tentera Udara Myanmar.
Walaupun pemberian enam ekor gajah kepada Russia oleh Myanmar itu dilaporkan adalah isyarat diplomatik, namun terdapat dakwaan menyatakan bahawa pemberian haiwan liar itu adalah sebahagian daripada pembayaran terhadap pembelian enam buah Su-30SME.
Dakwaan “gajah untuk bayaran” itu dibuat oleh Radio France International (RFI), yang menyatakan bahawa enam ekor gajah itu ditangkap daripada liar itu adalah sebahagian daripada urusan perdagangan barter (barter trade) di antara kerajaan pimpinan tentera Myanmar dengan pihak berkuasa Russia.
Keenam-enam ekor gajah itu dihantar ke Moscow menggunakan pesawat pengangkut tentera Russia.
Bagaimanapun pihak Radio France Internationale tidak mendedahkan sumber kepada laporannya dan setakat ini tiada bukti daripada sumber rasmi kerajaan Myanmar atau media-media tempatan tentang dakwaan penghantaran gajah-gajah itu ke Moscow merupakan sebahagian daripada bayaran untuk pembelian pesawat pejuang Su-30 SME oleh Yangon.

Myanmar

Radio France Internationale melaporkan bahawa salah satu foto rasmi yang memaparkan enam ekor gajah itu turut menunjukkan pemimpin junta, Jeneral Min Aung Hlaing.
“Di bawah pengawasan peribadi pemimpin junta Jeneral Min Aung Hlaing, pemberian gajah-gajah ini (kepada Russia) adalah sebagai pertukaran untuk enam buah pesawat pejuang Su-30SME. Pesawat-pesawat pejuang tersebut telah dihantar ke Myanmar tahun ini dengan nilai US$400 juta (RM1.8 billion), dalam satu perjanjian yang dibiayai melalui pinjaman daripada Rusia,” menurut Radio France International itu.
Dua buah pesawat pejuang Su-30SME pertama telah dihantar ke Myanmar pada Mac 2022 dan secara rasmi memasuki perkhidmatan pada 15 Disember tahun yang sama.
Dua lagi dihantar pada 2023, manakala dua yang terakhir tiba pada Disember 2024, melengkapkan kontrak tersebut.
Perjanjian perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30SME untuk Tentera Udara Myanmar telah dicapai ketika Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu melawat negara Asia Tenggara itu pada Januari 2018.
Kontrak perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30SME oleh Myanmar itu dianggarkan bernilai US$400 juta (RM1.8 billion).
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME adalah varian eksport pesawat pejuang Su-30SM yang dibangunkan oleh syarikat Rusia, Sukhoi (di bawah United Aircraft Corporation).

Myanmar

Pesawat pejuang ini direka khusus untuk pasaran antarabangsa dan menawarkan ciri-ciri hampir setanding dengan versi domestik yang digunakan oleh Tentera Udara Rusia.
Pesawat pejuang Su-30SME diklasifikasikan sebagai pesawat pejuang generasi 4++, dengan keupayaan hampir setaraf dengan pesawat generasi kelima tetapi masih menggunakan teknologi generasi keempat sebagai asas.
Su-30SME boleh melaksanakan misi-misi udara ke udara, udara ke darat, dan udara ke permukaan maritim, menjadikannya pesawat tempur yang fleksibel dalam pelbagai operasi.
Dilengkapi dengan sistem kawalan vektor tujahan (thrust vectoring), Su-30SME mempunyai keupayaan manuver yang luar biasa, membolehkannya bersaing dalam pertempuran jarak dekat (dogfight).
Pesawat pejuang Su-30SME menggunakan radar phased-array (N011M Bars) yang mampu mengesan dan menjejaki pelbagai sasaran secara serentak, termasuk sasaran di darat dan laut.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik (EW) untuk meningkatkan daya tahan terhadap ancaman musuh.
Dengan kapasiti bahan api yang besar dan keupayaan pengisian bahan api di udara, pesawat pejuang Su-30SME boleh beroperasi sejauh lebih 3,000km, menjadikannya sesuai untuk misi jarak jauh.

Myanmar

Pesawat pejuang Su-30SME berkemampuan membawa sehingga lapan tan peluru berpandu, bom, dan roket yang dipasang pada 12 hardpoints.
Pesawat pejuang ini boleh dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-77 dan R-73, serta peluru berpandu anti-kapal dan bom panduan laser.
Perolehan pesawat pejuang Su-30SME dilihat sebagai usaha Myanmar untuk meningkatkan keupayaan tentera udara mereka.
Pesawat pejuang ini, sebagai varian eksport Su-30SM, menawarkan kemampuan tempur pelbagai peranan yang canggih, termasuk keupayaan manuver tinggi dan sistem avionik moden.
Ini membolehkan Myanmar memperkukuh pertahanan udara dan melaksanakan operasi serangan yang lebih efektif.
– DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.