Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Perolehi RM17.7 Bilion, Perolehan LMS Dilaksana Tahun Ini – Anwar

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengukuhkan keupayaan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara maka kerajaan akan melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) pada tahun ini. 

0 2,655

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM17.7 bilion untuk Kementerian Pertahanan dan RM18.5 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini.

Menurut beliau, keselamatan negara perlu terus terpelihara bagi menjamin keamanan dan kelemahan.

Kelemahan lalu dalam tatakelola perolehan telah menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Perolehan kapal LCS (Littoral Combat Ship) yang telah menelan belanja lebih RM6 bilion,namun satu kapal belum dapat disiapkan. Ketelanjuran seperti ini tidak boleh diulangi,” kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Perdana Menteri mensasarkan peranan “orang tengah” dalam perolehan sistem persenjataan untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Tembakan
Kredit ATM

 

“Mulai sekarang, amalan orang tengah harus dihentikan serta merta dan perlu berurusan dengan kerajaan yang berkaitan,” kata beliau.

Menurutnya, bagi mengukuhkan keupayaan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara kerajaan akan melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) pada tahun ini. 

Dua hari lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap di Dewan Rakyat berkata Kementerian Pertahanan telah memohon peruntukan daripada kerajaan untuk memperolehi tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II bagi menampung “lompong keupayaan” yang dihadapi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akibat kelewatan pembinaan kapal-kapal LCS.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II untuk TLDM  itu akan dilakukan secara terus dengan negara pengeluar kapal itu.

“Kita sedang berunding secara ‘Government-to-Government’  (G-to-G) dengan negara yang ada kepakaran (membuat kapal perang LMS terbabit), yang membuat template dan platform mereka sendiri.”

“Keadaan kita mendesak, kita tidak mampu memperolehi kapal-kapal LMS seperti mana konsep (perolehan) LCS. Jadi kita buat terus daripada negara yang memiliki model (kapal) dan design mereka sendiri.”

“Itu akan mempercepatkan proses perolehan (kapal LMS itu) dan mengurangkan risiko terdapatnya kelewatan pembinaan sekiranya (kapal itu) dibuat di limbungan kapal yang tidak mempunyai design mereka sendiri.”

“Kita tidak mahu buat seperti LCS,” kata Menteri Pertahanan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat”.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (pix credit to owner)

 

Beliau juga mengesahkan bahawa kemampuan tiga buah kapal LMS Batch II yang bakal diperolehi oleh Kementerian Pertahanan itu juga adalah berlainan jika dibandingkan dengan empat buah kapal LMS Batch I.

“Kita sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan baru-baru ini dan jikaalau ada rezeki kita akan memperolehi tiga buah kapal LMS dengan keupayaan kombatan yang lebih (berbanding kapal-kapal LMS Batch I).”

“Mereka (kapal-kapal LMS Batch II) akan mempunyai peluru berpandu anti-kapal dan peluru berpandu anti-pesawat. Bagaimanapun kapal perang itu tidak akan mempunyai torpedo (untuk peperangan bawah permukaan,” kata Tok Mat. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...