Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir Pilih Pesawat Pejuang J-10C Buatan China, Tolak F-16

Dengan keputusan itu, Mesir menjadi negara kedua selepas Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C buatan China itu.

0 9,168
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mesir dilapor telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab.
Walaupun Kementerian Pertahanan Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya, tetapi media-media tempatan dan luar telah pun mengesahkannya.
Dengan keputusan itu, Mesir menjadi negara kedua selepas Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C buatan China itu.
Keputusan Mesir itu menunjukkan negara Arab yang juga merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat mahu mengeratkan hubungannya dengan China.
Pada ketika ini, Tentera Udara Mesir itu memiliki kira-kira 200 buah pesawat pejuang F-16 buatan syarikat Lockheed Martin dan Amerika Syarikat telah menawarkan pakej menaiktaraf pesawat pejuang itu.
Pakistan
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan
Bagaimanapun,nampaknya Mesir telah menolak tawaran itu.
Pesawat pejuang J-10 “Vigorous Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation untuk Tentera Udara China.
Pesawat pejuang J-10C yang dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.
Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
J-10
Pesawat pejuang J-10 “Vigorous Dragon” buatan China.
Laporan tentang kemungkinan Mesir memperolehi pesawat pejuang J-10C itu mula dihidu pada tahun lepas, dengan laporan pegawai-pegawai kanan pertahanan negara Arab dan China dikatakan bertemu di Langkawi ketika pameran LIMA 2023 bagi berbincang tentang perolehan pesawat itu.
Pada LIMA 2023, pasukan aerobatik China “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai pameran aeroangkasa dan maritim itu di pulau peranginan itu.
Pada Julai tahun ini, tawaran kepada Mesir untuk perolehan pesawat pejuang J-10C buatan China itu dikatakan telah dikemukakan ketika Panglima Tentera Udara Mesir Jeneral Mahmud Foaad Abdel Gawaad melawat China dan bertemu dengan rakan sejawatannya Jeneral Chang Dingqiu di Beijing.
Pertemuan di antara Panglima Tentera Udara Mesir dan China di Beijing itu adalah di atas jemputan Jeneral Chang Dingqiu bagi meningkatkan lagi hubungan strategik di antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Mesir, lawatan oleh Panglima Tentera Udara Mesir ke China itu membuktikan komitmen kuasa Timur Tengah itu untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan dengan negara sahabat.
J-10
J-10 China
Perbincangan di antara kedua-dua pihak di meliputi usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama diantara tentera udara kedua-dua negara terutamanya melibatkan program latihan, pemindahan teknologi dan pembuataan peralatan bersama.
Jeneral Mahmoud Foaad itu juga telah melakukan kunjungan terhadap Pangkalan Udara Tangshan di mana beliau dan delegasi pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Mesir itu disajikan dengan demonstrasi penerbangan pesawat pejuang J-10C. 
Pesawat pejuang J-10C dilaporkan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 yang dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.” — DSA

Comments
Loading...