Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Pertahanan Saksi Penyerahan Kontrak 10th Year SLEP Sukhoi Su-30MKM TUDM

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, di mana beliau telah menyaksikan majlis penyerahan kontrak 10th Year Service Life Extension Programme (SLEP) pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

0 653
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, di mana beliau telah menyaksikan majlis penyerahan kontrak 10th Year Service Life Extension Programme (SLEP) pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Program SLEP bagi pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM ini telah dijalankan oleh syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC).
“Tujuannya adalah untuk memastikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada dalam keadaan optimum dan kedaulatan negara terus diperkukuh.”
“ATSC telah menjalankan, antara lain, kerja-kerja “Service Life Extension” dan “Preventive Restoration Works/Overhaul,” menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kerja-kerja ini menurutnya, memastikan pengoperasian pesawat lebih lama dan dapat digunakan selama 10 tahun lagi, selain turut menjimatkan perbelanjaan negara berbanding menghantarnya ke Russia.
TUDM
(kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Mohamed Khaled berkata, kejayaan ini menggambarkan keupayaan industri tempatan.
Namun, syarikat tempatan perlu terus meningkatkan keupayaan dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan industri ini, termasuklah melalui meningkatkan R&D dan meneroka peluang dan kerjasama baharu, katanya.
Turut berlangsung, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ATSC dan UTHM dalam penyelidikan dan inovasi pertahanan dan penyerahan sumbangan kebajikan kepada sembilan penerima OKU warga PU Gong Kedak.
Kontrak pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM itu ditandatangani pada 5 Ogos 2003 semasa Pameran LIMA (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition).
Penghantaran pertama Sukhoi Su-30MKM dibuat pada 2007, dan kesemua pesawat diterima menjelang 2009.
ATSC Sdn Bhd (Aerospace Technology Systems Corp. Sdn Bhd) telah ditubuhkan pada 25 Jun 1994 dan merupakan anak syarikat kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI).
Su-30MKM
(kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Ia bertanggungjawab menyelenggara pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM dan sebelum ini MiG-29N yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya oleh TLDM beberapa tahun dahulu.
Pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM TUDM menjalani program SLEP di bawah RMK-12 (2021–2025) dengan fokus melaksanakan penyelenggaraan struktur dan sistem utama pesawat untuk memastikan pesawat dapat terus beroperasi dengan selamat dan cekap.
Ia juga melibatkan kerja-kerja penggantian komponen yang telah melebihi jangka hayat serta pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pesawat untuk mengekalkan prestasi dan keselamatan operasi.
Bagi tempoh RMK-13 bermula 2026, kerja-kerja SLEP akan melihat ia melaksanakan program Mid-Life Upgrade (MLU) dengan matlamat meningkatkan teknologi, avionik, sistem radar, dan persenjataan pesawat.
Ia adalah untuk memastikan pesawat terus relevan dan mampu memenuhi keperluan operasi serta cabaran peperangan moden.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM ialah pesawat pejuang pelbagai peranan generasi 4+.
Su-30MKM
(kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Su-30MKM
(kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Ia dilengkapi radar N011M Bars, sistem avionik canggih dari Rusia, Perancis, dan Afrika Selatan, serta enjin AL-31FP dengan kemampuan vektor tujahan 3D.
Pesawat ini boleh mencapai kelajuan maksimum Mach 2.0, dengan jarak operasi sehingga 3,000 km tanpa tangki tambahan.
Su-30MKM juga mampu membawa pelbagai jenis persenjataan, termasuk peluru berpandu udara ke udara, udara ke darat, dan bom berpanduan.
Pesawat ini direka untuk misi serangan strategik, kawalan udara, dan pertahanan jarak jauh.
Pesawat pejuang Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibuat oleh Sukhoi Aviation Corporation, sebuah syarikat aeroangkasa terkemuka dari Rusia.
Pesawat ini dihasilkan dengan kerjasama Irkut Corporation, yang merupakan salah satu pengeluar utama pesawat Sukhoi di Rusia.
Su-30MKM adalah varian khas yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan operasi TUDM.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.