Tentera Laut Iran Dedah Kapal Perisikan SIGINT Pertama Negara Itu “Zagros 313”
“Kapal perisikan ‘Zagros’ akan menjadi mata yang mengawasi bagi Tentera Laut Iran di lautan dan samudera yang dalam,” kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Shahram Irani, seperti dilaporkan media Iran.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pihak berkuasa Iran telah mendedahkan kapal perisikan pertama negara itu, Zagros 313, yang dilengkapi dengan “sensor elektronik” untuk kegunaan perisikan signal (Signal Intelligence – SIGINT) dan pemantauan.
“Kapal ‘Zagros’ akan menjadi mata yang mengawasi bagi Tentera Laut Iran di lautan dan samudera yang dalam,” kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Shahram Irani, seperti dilaporkan media.
Menurut media rasmi Iran, kapal perisikan SIGINT Zagros, yang didakwa dibina di limbungan kapal tempatan akan segera menyertai armada Tentera Laut Iran.
Press TV menggambarkan kapal itu sebagai kapal tercanggih dan terkini milik Teheran, direka untuk operasi tempur serta misi perisikan.
Kapal perisikan SIGINT Zagros tersebut diserahkan secara rasmi semasa majlis pembukaan pangkalan tentera laut baharu di Jask, yang terletak di pesisir Teluk Oman dan akan menjadi pelabuhan utama bagi operasi SIGINT pada masa hadapan.

Majlis tersebut dihadiri oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Muda Shahram Irani, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Baqeri, serta pegawai kanan tentera dan kerajaan lain, termasuk jurutera dan saintis.
Zagros merupakan kapal keenam dalam kelas kapal perang Mowj (kelas Wave), yang pelbagai pihak klasifikasikan sama ada sebagai pemusnah atau frigat, daripada keseluruhan tujuh kapal yang dirancang pembinaannya.
Kapal-kapal perang ini dihasilkan oleh limbungan Naval Factories di Bandar Abbas serta limbungan Shahid Tamjidi di Bandar Anzali untuk armada utara di Laut Kaspia.
Kapal-kapal kelas Mowj mempunyai berat sesaran sebanyak 1,500 tan dan merupakan kelas kapal perang domestik terbesar, selepas kapal pangkalan hadapan yang diubah suai, Makran, serta kapal pembawa dron Shahid Bagheri.
Kapal SIGINT secara umumnya memerlukan keupayaan penjanaan kuasa yang lebih tinggi kerana pengoperasian sensor perisikan elektronik (ELINT) dan subsistemnya.
Pilihan Iran menggunakan kelas kapal perang ini mengejutkan ramai pemerhati, memandangkan kebanyakan tentera laut dunia menggunakan badan kapal komersial untuk kapal SIGINT.
