Menteri Luar India Ke Perancis Perbaiki Hubungan Dua Hala Didakwa Terjejas Akibat Isu “Prestasi” Rafale ??
Hubungan strategik di antara New Delhi dan Paris didakwa tegang selepas laporan menyatakan bahawa kerajaan India didakwa telah menolak permintaan pasukan juruaudit daripada syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation yang bertanggungjawab membangun pesawat pejuang Rafale untuk untuk memeriksa pesawat pejuang itu milik Tentera Udara India (IAF) selepas dakwaan ia telah ditembak jatuh dalam konflik terbaharu dengan Pakistan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Menteri Luar India S Jaishankar akan melakukan lawatan ke Perancis pada minggu ini, dipercayai untuk memperbaiki hubungan strategik di antara kedua-dua yang tegang akibat isu berkenaan “prestasi” pesawat pejuang Rafale buatan Perancis pada konflik Pakistan-India baru-baru ini.
Selain Perancis, Menteri Luar India itu juga dijadualkan melawat ke Belgium dan Jerman.
“Hubungan kami dengan Perancis berteraskan kepercayaan yang mendalam dan komitmen yang kukuh, di mana kedua-dua negara bekerjasama rapat dalam semua bidang yang berkepentingan strategik dan semasa, selain berkongsi pandangan yang serupa mengenai pelbagai isu serantau dan global,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar India.
Dalam konflik Pakistan-India yang berlaku bulan lepas, kerajaan Pakistan mendakwa pesawat-pesawat pejuang J-10C milik telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis itu.
Dakwaan oleh Pakistan tentang penembakan jatuh pesawat pejuang Rafale milik India itu turut disokong oleh sumber-sumber perisikan Amerika Syarikat dan Perancis, tetapi tidak pernah diakui oleh New Delhi.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti dikemukakan oleh pihak luar,kerajaan India tetap menafikan ia telah kehilangan pesawat pejuang Rafale pada konflik itu, sehingga menyebabkan ia didakwa cuba “menyembunyikan” fakta pesawat pejuang buatan Perancis miliknya itu telah ditembak jatuh.
Malah seorang menteri di sebuah negeri di India yang juga merupakan bekas juruterbang Tentera Udara India mendesak kerajaan pusat negara itu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi supaya telus tentang dakwaan pesawat pejuang negara itu ditembak jatuh di dalam konflik Pakistan-India terutamanya melibatkan pesawat pejuang Rafale miliknya.

Menteri Pengairan dan Bekalan Awam di negeri Telagana N.Uttam Reddy telah mengkritik keras kerajaan pusat pimpinan Modi kerana tidak telus berkenaan dakwaan pesawat pejuang Rafale Tentera Udara negara itu telah ditembak jatuh oleh Pakistan dalam konflik terbaru di antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.
“Kami mengalu-alukan kepulangan anggota juruterbang Tentera Udara India dengan selamat selepas berjaya melaksanakan misi mereka.”
“Namun begitu, kerajaan pusat perlu memberikan penjelasan berhubung laporan yang mendakwa sebuah pesawat pejuang negara telah ditembak jatuh.”
“Kerajaan juga perlu mendedahkan jumlah pesawat pejuang milik Pakistan yang telah berjaya ditembak jatuh,” kata beliau yang juga merupakan antara pemimpin parti Kongres India kepada wartawan dalam sidang media di New Delhi.
Kerajaan pusat India dipimpin oleh Modi daripada parti BJP.
Desakan oleh Reddy itu dibuat dibuat susulan laporan bahawa Ketua Staf Angkatan Tentera India, Jeneral Anil Chauhan telah mengesahkan bahawa Tentera Udara India telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik dengan Pakistan dalam satu temu bual bersama Bloomberg di Singapura beberapa hari lalu.
Dalam temuramah dengan Bloomberg itu, buat pertama kali pemimpin Angkatan Tentera India mengakui bahawa ia telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik ketenteraan dengan Pakistan beberapa minggu lalu, namun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang yang ia telah hilang ketika konflik itu.

“Apa yang penting adalah bukanlah soal pesawat pejuang itu telah jatuh, tetapi mengapa ia (pesawat pejuang) itu jatuh, “ kata beliau dalam satu temuramah dengan Bloomberg TV ketika sedang menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura.
Hubungan strategik di antara New Delhi dan Paris didakwa tegang selepas laporan menyatakan bahawa kerajaan India didakwa telah menolak permintaan pasukan juruaudit daripada syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation yang bertanggungjawab membangun pesawat pejuang Rafale untuk untuk memeriksa pesawat pejuang itu milik Tentera Udara India (IAF) selepas dakwaan ia telah ditembak jatuh dalam konflik terbaharu dengan Pakistan.
Penolakan kerajaan India terhadap permintaan pasukan juruaudit Dassault Aviation itutelah mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan komuniti pertahanan global.
Laporan daripada sumber risikan antarabangsa dan saluran analisis pertahanan sumber terbuka mengesahkan bahawa Dassault Aviation telah menghantar pasukan khas ke India bagi menyiasat sama ada terdapat kelemahan sistemik pada pesawat Rafale yang mungkin menyumbang kepada kehilangan aset tersebut.
Namun begitu, kerajaan India dilaporkan telah menghalang akses pasukan itu ke skuadron Rafale milik IAF, mencetuskan spekulasi bahawa New Delhi cuba menyembunyikan kelemahan dalaman yang lebih besar melibatkan aspek kesiapsiagaan operasi, penyelenggaraan dan kecekapan juruterbang.
India didakwa bimbang Dassault Aviation akan menyalahkan kelemahan prestasi Rafale bukan kepada reka bentuk pesawat, tetapi kepada kegagalan sistem dalaman IAF termasuk isu kekurangan juruterbang dan kelewatan penyelenggaraan yang berpanjangan.
Kebimbangan itu ada asasnya.
Satu laporan daripada Ketua Audit Negara India (CAG) bersama Jawatankuasa Pertahanan Parlimen yang dikeluarkan beberapa bulan sebelum konflik mengesahkan bahawa IAF mengalami kekurangan 596 juruterbang—angka yang meningkat dari 486 pada 2015.

Percubaan untuk melatih 222 juruterbang baharu dari tahun 2016 hingga 2021 juga dilaporkan gagal, memburukkan lagi defisit sumber manusia dalam sistem pertahanan udara negara itu.
Keadaan bertambah buruk dengan masalah penyelenggaraan pesawat latihan asas Pilatus PC-7 Mk-II buatan Switzerland yang menjadi tulang belakang latihan juruterbang India, namun menghadapi masalah kebolehgunaan sejak beberapa tahun lalu.
Pada waktu konflik meletus, India hanya memiliki 31 skuadron pesawat pejuang aktif, jauh di bawah jumlah minimum 42 skuadron seperti yang digariskan dalam doktrin pertahanan negara.
Pihak berkuasa Perancis difahamkan berasa bimbang kerana Rafale kini seolah-olah menjadi “kambing hitam” terhadap kelemahan struktur ketenteraan India, sedangkan dalam medan lain Rafale telah membuktikan keberkesanannya apabila digunakan dengan betul, termasuk dari segi penyepaduan, penyelenggaraan dan latihan.
Namun krisis ini bukan satu hala.
India, yang sudah lama berasa tertekan, telah mengulangi keluhan awam berkenaan keengganan Dassault untuk memberikan akses penuh terhadap kod sumber (source code) sistem avionik Rafale—satu isu yang telah lama membelenggu sejak perjanjian pembelian bernilai US$8.7 bilion dimeterai pada tahun 2016.
Isu mengenai keengganan Perancis memberikan Source Code pesawat pejuang Rafale milik India itu didakwa telah meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-dua negara, kerana ia dikatakan menjadi “batu penghalang” kepada usaha New Delhi untuk mengintergrasi sistem persenjataan buatan industri pertahanan India kepada pesawat pejuang buatan Perancis itu.

Tanpa Source Code itu, jurutera India tidak mampu mengemaskini perisian, menyepadukan sistem senjata tempatan atau melakukan penyelenggaraan mendalam ke atas sistem kritikal pesawat, lantas menghadkan kedaulatan operasi negara itu dalam situasi peperangan sebenar.
Isu teknikal ini kini menjadi liabiliti strategik.
Penganalisis pertahanan India melihat perkara ini sebagai petanda bahawa pengeluar senjata Barat lebih berminat melindungi harta intelek mereka berbanding menjamin keupayaan tempur jangka panjang pelanggan seperti India.
Sementara itu, China pantas menggunakan peluang ini untuk memperlekehkan India.
Susulan laporan bahawa India berjaya menemui peluru berpandu PL-15 yang masih lengkap selepas ia dilancar oleh pesawat pejuang Pakistan, diplomat “wolf warrior” China mengejek India secara terbuka di media sosial.
“India membelanjakan US$288 juta untuk setiap Rafale, tetapi mereka tidak mempunyai akses kepada kod sumber (source code),” kata seorang pegawai China di platform X.
“Mereka juga mendakwa boleh ‘mengekstrak perisian’ daripada serpihan peluru PL-15, sedangkan mereka sendiri tidak mampu akses sistem teras jet Rafale mereka.”
Sindiran itu mungkin bersifat provokatif, tetapi ia menyerlahkan realiti baharu—sistem senjata buatan China seperti PL-15 kini bukan sahaja kompetitif, malah dalam sesetengah kes mampu mengatasi sistem Barat di medan tempur sebenar.

PL-15 yang dipercayai digunakan dalam penembakan jatuh pesawat pejuang Rafale India itu dilengkapi dengan radar AESA dan mampu mencapai kelajuan Mach 4, menjadikannya salah satu peluru berpandu udara-ke-udara paling berbahaya di dunia masa kini.
Apabila dipadankan dengan sistem J-10C, PL-15 memberikan PAF kelebihan “tembakan pertama” terhadap pesawat IAF yang masih bergantung kepada peluru berpandu Meteor dan MICA yang lebih lama.
Bagi India, kemungkinan pesawat Rafale yang dibeli dengan harga tinggi dari Barat telah ditewaskan oleh sistem buatan China-Pakistan bukan sahaja memalukan, malah menggugat doktrin keselamatan serantau.
Selama beberapa dekad, strategi perolehan India bergantung kepada kepercayaan bahawa sistem Barat memberikan kelebihan mutlak terhadap musuh yang menggunakan peralatan buatan China atau Russia.
Namun kepercayaan itu kini berdepan ujian realiti paling getir.
Walaupun dakwaan kehilangan Rafale belum disahkan secara rasmi, keengganan India membenarkan audit oleh Dassault sendiri menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan tahap kepercayaan antara pembeli dan pengeluar.
Isu ini juga mula menjadi polemik politik.
Parti pembangkang India kini kembali menimbulkan dakwaan lama tentang ketirisan dalam perolehan Rafale dan menuntut audit menyeluruh terhadap prestasi pesawat tersebut di medan tempur.
