Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Israel Umum Kematian Lt Kol Eli Ginsburg, “Penyembelih Mavi Marmara”

Media Turkiye mendakwa Lt Kolonel Eli Ginsburg adalah salah seorang dalang paling utama yang melaksanakan serbuan ganas anggota komando tentera Israel terhadap kapal kemanusiaan “Mavi Marmara” pada 2010 sehingga menyebabkan 10 orang penumpangnya terbunuh, sembilan daripada mereka adalah rakyat Turkiye.

3,506

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa jam yang lalu, Tentera Israel telah mengumumkan kematian 16 lagi anggota tenteranya dalam pertempuran dengan pejuang-pejuang Hamas di beberapa lokasi di selatan negara itu yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza.

Keseluruhannya, seramai 72 anggota tentera Israel telah terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang Palestin sejak dua hari lalu.

Salah seorang daripada 16 anggota tentera negara itu yang terbunuh itu dikenali sebagai Lt Kolonel Eli Ginsburg, berumur 42 tahun yang merupakan pegawai kanan unit komando Tentera Laut Israel,  “Shayetet 13.”

Unit komando Tentera Laut Israel “Shayetet 13” merupakan antara unit paling dirahsiakan di dalam Angkatan Tentera Israel (IDF).

Komando Tentera Laut Israel yang amat rahsia itu dilaporkan telah menyertai setiap konflik dan peperangan yang melibatkan negara itu, menunjukkan bahawa ia adalah unit komando yang penting di dalam tentera Israel.

Mavi Marmara

“Shayetet 13” berkepakaran di dalam melaksanakan misi-misi penyelinapan laut-ke-darat, counter-terrorisme, sabotaj, mengumpul maklumat perisikan maritim, menyelamat tebusan dan menaiki kapal-kapal musuh (boarding).

Media-media Turkiye “menyambut baik” kematian Ginsburg sebaik sahaja ia tersebar hari ini kerana mendakwa  bahawa komander kepada unit komando Tentera Laut Israel itu adalah salah seorang individu paling  bertanggungjawab melaksanakan operasi terhadap kapal bantuan kemanusiaan “Mavi Marmara”.

Lt Kol Eli Ginsburg itu dilaporkan terbunuh selepas terlibat dalam pertempuran dengan anggota Briged al-Qassam daripada Hamas.

Beliau dilaporkan antara anggota komando terbaik Israel, penerima paling banyak pingat keberanian kerana penyertaannya dalam pelbagai misi dan operasi unit komandonya.

Mavi Marmara berlayar daripada Turkiye menuju ke Semenanjung Gaza dalam cubaannya untuk melanggar sekatan terhadap wilayah Palestin itu yang dikenakan oleh Israel.

Insiden berdarah serbuan oleh anggota-anggota komando tentera Israel terhadap kapal kemanusiaan itu berlaku pada jam 4 pagi (waktu tempatan), 31 Mei 2010 di perairan antarabangsa.

Mavi Marmara
Kapal Mavi Marmara

 

Anggota komando Israel itu telah diturunkan ke kapal kemanusiaan itu menggunakan helikopter manakala bot-bot getah Zodiac juga digunakan oleh anggota komando itu untuk menaiki kapal “Mavi Marmara” itu.

Media Turkiye mendakwa Ginsburg adalah salah seorang dalang utama yang melaksanakan serbuan ganas anggota komando tentera Israel terhadap kapal “Mavi Marmara” sehingga menyebabkan 10 orang penumpangnya terbunuh,sembilan daripada mereka adalah rakyat Turkiye.

Salah seorang yang terbunuh telah ditembak tepat di bahagian kepala oleh anggota komando tentera Israel itu.

Selepas insiden berdarah itu, pihak penyiasat Turkiye telah menjalankan siasatan dimana mereka telah menemui lebih daripada 250 kesan tembakan yang dilepaskan oleh anggota-anggota komando tentera Israel itu.

Mavi Marmara
Anggota komando Israel ketika menyerbu kapal Mavi Marmara pada 2010.

 

Kapal membawa bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk penduduk Semenanjung Gaza itu turut dinaiki oleh lebih daripada 500 penumpang pelbagai warganegara dan anggota media antarabangsa termasuk daripada Malaysia.

Senarai kematian Lt Kol Eli Ginsburg itu, tentera Israel itu turut menyatakan bahawa beberapa anggota komando “Sayeret Matkal” telah turut terbunuh dalam operasi menentang pejuang-pejuang Palestin. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.