Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Mula Bina Secara Besar-Besaran Peluru Berpandu “Sarmat” (Satan)

Digelar dengan panggilan “Satan” oleh NATO, peluru berpandu ICBM RS-28 “Sarmat” berkemampuan membawa di antara 10 hingga 10 kepala peledak nuklear (Multiple Independent Reentry Vehicle – MIRV).

0 8,575

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu,Russia mengumumkan bahawa ia telah memulakan pembinaan secara besar-besaran peluru berpandu balistik antara benua (Inter Continental Ballistic Missile – ICBM) “Sarmat.”

Peluru berpandu ICBM “Sarmat” itu dibina di Makeyev State Rocket Center yang berada di bawah agensi pusat, Roscosmos.

Menurut industri pertahanan Russia, usaha-usaha sedang dilakukan pada ketika ini untuk menyiapkan pembinaan peluru berpandu ICBM “Sarmat” yang pertama bagi membolehkan ia dikerah kepada tugasan aktif secepat mungkin.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan, pemasangan dan pentauliahan silo pelancar sistem peluru berpandu ICBM dilokasi pelancarannya itu sedang berada di  peringkat akhir pada ketika ini.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu telah melawat Kramash JSC, syarikat yang sedang membangunkan “Sarmat” itu.

Sarmat
“Sarmat”

 

Menurut beliau, usaha paling penting ketika ini adalah memodenkan Angkatan Roket Strategik Russia dengan mengerahkan “Sarmat” untuk tugasan aktif secepat mungkin sebagaimana yang diarahkan oleh Presiden Russia Vladimir Putin.

“Sarmat” katanya adalah asas yang penting kepada kemampuan Angkatan Roket Strategiknya dalam mempertahankan Russia daripada segala bentuk ancaman.

Digelar dengan panggilan “Satan” oleh NATO, peluru berpandu ICBM RS-28 “Sarmat” berkemampuan membawa di antara 10 hingga 10 kepala peledak nuklear (Multiple Independent Reentry Vehicle – MIRV).

Dengan 10 buah kepala peledak MIRV bermakna peluru berpandu nuklear “Sarmat” atau “Satan” itu berkemampuan membedil 10 sasaran berlainan milik musuh-musuhnya.

Media-media Russia menyatakan bahawa kepala peledak MIRV “Sarmat” boleh membedil mana-mana lokasi di dunia sama ada di Kutub Selatan atau Kutub Utara, menunjukkan jarak jangkauan “menggerunkan” peluru berpandu ICBM terbaru Russia itu.

Sarmat

Pada April tahun lepas, hanya dua bulan selepas tenteranya menceroboh dan memulakan peperangan dengan Ukraine, Presiden Russia Vladimir Putin menyatakan bahawa peluru berpandu ICBM “Sarmat” itu akan membuatkan musuh-musuh Russia “berfikir dua kali.”

Kenyataan Putin itu menyusul beberapa jam selepas “Sarmat” berjaya menjalani ujian pelancarannya yang pertama di tapak pelancaran Plesetsk di utara negara dan membedil sasaran yang terletak sejauh 6,000km di Semenanjung Kamchatka di timur jauh Russia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada anda semua atas kejayaan pelancaran peluru berpandu ICBM Sarmat. Senjata yang unik ini akan memperkukuhkan potensi kombat angkatan tentera dan menjamin keselamatan Russia daripada ancaman luar dan membuatkan mereka yang kerap melaungkan retorik agresif mengancam kita untuk berfikir dua kali,” kata Putin.

Menurut presiden Putin lagi, peluru berpandu ICBM “Sarmat” memiliki ciri-ciri taktikal dan teknikal yang tinggi dan mampu mengatasi semua sistem pertahanan udara moden.

Sarmat
RS-28 Sarmat

 

Ketua Roscosmos pula menyatakan bahawa ujian pelancaran “Sarmat”di tapak pelancaran Plesetsk itu adalah suatu “hadiah” kepada Barat.

Peluru berpandu thermonuclear “Sarmat” yang memiliki ketinggian 35 meter dan seberat 200 tan itu boleh menembusi apa sahaja sistem pertahanan udara dan membedil mana-mana sasaran di dunia sejauh di antara 18,000 hingga 20,000km.

Kementerian Pertahanan Russia pula berkata peluru berpandu ballistik “Sarmat” itu merupakan peluru berpandu paling berbahaya di dunia dengan jarak bedilan paling jauh, yang akan meningkatkan lagi kekuatan kombat pasukan peluru berpandu negara itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...