Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Masalah Besar” Kereta Kebal M1A1 Abrams Amerika di Ukraine Sudah Dijangka Lebih Awal

Menurut media terkenal Amerika Syarikat “Forbes”, kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine mempunyai masalah besar yang membuatkan kereta kebal itu tidak sesuai untuk digunakan di medan pertempuran di timur Eropah,terutamanya ketika musim sejuk yang panjang dan luruh.

0 2,595

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada April lalu, Amerika Syarikat terpaksa “membawa keluar” kereta-kereta kebal M1A1 Abrams yang didermakannya kepada Ukraine daripada barisan hadapan peperangan berikutan ancaman dariapada dron-dron berani mati Russia.

Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.

Disebabkan ancaman daripada dron-dron Russia itu, lima daripada 31 kereta kebal Abrams yang diderma oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine disahkan telah musnah dibedil tentera Russia setakat ini.

Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada Januari tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia.

Bagaimanapun keadaan di medan peperangan Ukraine telah banyak berubah sejak kehadiran kereta kebal Abrams di medan pertempuran, dengan dron-dron pemantau dan berani mati Russia memberikan ancaman yang besar terhadap kereta kebal Amerika Syarikat itu.

Abrams
Salah sebuah kereta kebal M1A1 Abrams yang musnah di Ukraine 

 

Dron-dron pemantau dan berani mati Russia itu telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar kerana ia menjadikan usaha Russia untuk mengesan dan memburu kereta-kereta kebal Amerika Syarikar itu amat mudah.

Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.

Sebenarnya, kebanyakkan penganalisis tentera sudah pun menjangkakan bahawa kereta kebal Abrams tidak sesuai untuk dioperasikan di barisan hadapan Ukraine, dengan ramai daripada mereka menyatakan keadaan muka bumi dan tentera Ukraine yang belum cukup mahir untuk mengendalikan kereta kebal Abrams akan menjadi cabaran terbesar.

Menurut penganalisis itu, kereta kebal Abrams merupakan kereta kebal yang “cerewet” untuk dikendalikan dan memerlukan penyelenggaran yang cukup teliti bagi membolehkan ia terus beroperasi untuk suatu jangkamasa yang panjang tanpa masalah.

Sebagai angkatan tentera yang secara tradisinya menggunakan kelengkapan tentera Russia yang lasak dengan penyelenggaran yang minima,  tentera Ukraine tidak mempunyai pengalaman untuk mengoperasikan sistem persenjataan buatan negara Barat yang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan yang tinggi.

Menurut media terkenal Amerika Syarikat “Forbes”, kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine mempunyai masalah besar yang membuatkan kereta kebal itu tidak sesuai untuk digunakan di medan pertempuran di timur Eropah,terutamanya ketika musim sejuk yang panjang dan luruh.

Abrams
Kereta kebal Abrams terbakar selepas dibedil dengan dron berani mati “Lancet” Russia.

 

Ia berkata kereta kebal Abrams tidak boleh beroperasi dengan baik di kawasan berlumpur, bukan kerana beratnya yang mencecah 68 tan tetapi ia dilengkapi dengan sistem filter yang menapis serpihan dan kekotoran daripada “disedut” kereta kebal itu.  

Media Amerika Syarikat “Forbes” itu berkata bahawa kereta kebal Abrams itu dilengkapi dengan enjin turbin gas 1,500 kuasa kuda yang dilindungi dengan filter besar yang memerlukan pembersihan dan penyelenggaraan yang berterusan.

Ia berkata, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat atau Pentagon telah membangkitkan soal penyelenggaraan enjin dan lojistik yang kompleks berkaitan dengan pengoperasian kereta kebal Abrams berbanding kereta-kereta kebal Eropah yang lain.

Malah, Pentagon diketahui membantah cadangan membekalkan kereta kebal Abrams kepada Ukraine pada mulanya.

Bagaimanapun, selepas menerima tekanan hebat daripada Ukraine maka pentadbiran Presiden Jo Biden akhirnya mengambil keputusan untuk membenarkan kereta kebal Abrams dibekalkan kepada tentera Ukraine untuk menangani unit-unit armor tentera Russia.

Menurut “Forbes” lagi, filter enjin kereta kebal Abrams itu perlu dibersihkan setiap 12 jam dan sekiranya krew kereta kebal canggih Amerika Syarikat itu tidak berbuat demikian maka enjin dan sistem tranmisinya akan berisiko berhadapan dengan kerosakan yang amat teruk.

Morocco
Kereta kebal Abrams 

 

Kereta-kereta kebal Abrams yang mengalami kerosakan yang teruk hanya boleh diperbaiki selepas badannya ditanggalkan di kemudahan yang instimewa, yang pada ketika ini berada di Poland.

Ini bermaksud kereta-kereta kebal Abrams yang mengalami kerosakan di Ukraine perlu dibawa daripada medan pertempuran di Ukraine dan dihantar ke Poland yang terletak amat jauh daripada barisan hadapan.

Membersihkan filter kereta kebal Abrams itu adalah proses yang rumit dan perlu dilakukan dua kali satu hari, dimana sistem dihidup untuk mengeluarkan udara daripada enjin turbine itu ke luar menerusi filter tersebut yang terletak di bahagian belakang kereta kebal itu.

Menurut “Forbes”, kereta kebal Abrams sememangnya bukanlah kereta kebal yang mudah untuk dioperasikan.

Seawal September tahun lepas pegawai tentera Ukraine telah pun memberikan amaran bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat seberat 70 tan itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Abrams

Apatah, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

Sebagaimana yang dibuktikan di Iraq, kereta kebal M1A1 Abrams itu boleh ditewaskan oleh senjata-senjata anti-kereta kebal yang asas dan berusia.

Ketua Direktorat Perisikan Tentera Ukraine Lt Jen Kirill Budanov berkata, tempoh kereta kebal Abrams berada di medan peperangan di negara itu akan menjadi amat terhad sekiranya aset darat itu digunakan di barisan hadapan secara semberono.

“Jika kereta kebal Abrams itu digunakan di barisan hadapan atau sebahagian daripada senario kombat, tempoh masanya (kereta kebal Abrams) berada di medan peperangan itu mungkin akan terhad dan tidak lama,” kata beliau. — DSA

Comments
Loading...