Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Sekat, Tak Benar Syarikat Perkapalan Israel “ZIM” Labuh di Pelabuhan Negara

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

0 1,651

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa serta-merta.

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” kata beliau.

Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia, katanya.

Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia, namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu, kata beliau.

ZIM

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.

“Selain itu, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia. “

“Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta. Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” kata Perdana Menteri. 

Zim Integrated Shipping Services Ltd, juga dikenali sebagai ZIM (dalam Bahasa Hebrew bermaksud “sebuah armada kapal”), adalah sebuah syarikat penghantaran kargo antarabangsa Israel yang tersenarai secara awam, dan salah satu daripada 20 syarikat perkapalan global terkemuka.

Pusat pentadbirannya terletak di Haifa, Israel.

Bermula pada tahun 1945, ZIM telah disenaraikan di Bursa Saham New York sejak tahun 2021.Dari tahun 1948 hingga 2004, syarikat ini beroperasi sebagai ZIM Israel Navigation Company. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...