Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

LIMA 2025 Terima Kesan Konflik India-Pakistan, Pasukan Aerobatik IAF Surya Kiran Tarik Diri

Malaysia turut menerima kesan daripada konflik Pakistan-India itu apabila Pasukan Aerobatik Tentera Udara India, Surya Kiran telah disahkan menarik diri daripada menyertai pertunjukkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025).

0 4,144
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun konflik di antara Pakistan dan India itu berlaku ribuan kilometer daripada bumi Malaysia, namun negara ini tidak terkecuali dairpada turut menerima kesan daripada konflik bersenjata itu yang kini berada di fasa gencatan senjata.
Malaysia turut menerima kesan daripada konflik Pakistan-India itu apabila Pasukan Aerobatik Tentera Udara India, Surya Kiran telah disahkan menarik diri daripada menyertai pertunjukkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025).
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan bahawa pasukan aerobatic Surya Kiran pada mulanya telah pun mengesahkan penyertaan mereka pada LIMA 2025 tetapi terpaksa membatalkannya berikutan perkembangan terkini di negara itu.
“…. mereka (India) tidak dapat teruskan hasrat itu kerana kita pun tahu keadaan, dan cabaran yang sedang dilalui negara berkenaan,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada sidang media selepas sesi tinjauan persediaan LIMA’25 pada Isnin.
Walaupun ketiadaan Surya Kiran, pertunjukkan aerobatik pada LIMA 2025 akan tetap diserikan dengan kehadiran pasukan aerobatik Russian Knights daripada Russia, Jupiter daripada Indonesia dan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pesawat-pesawat pejuang TUDM termasuk Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet dijangka akan menghiburkan pengunjung LIMA 2025 dengan aksi-aksi menarik pertunjukkan udara itu.
LIMA diadakan dua tahun sekali di pulau peranginan Langkawi.
Surya Kiran
Surya Kiran
Pasukan aerobatik Russian Knights (Russkiye Vityazi) merupakan unit demonstrasi udara rasmi Tentera Udara Rusia yang terkenal dengan persembahan formasi menggunakan pesawat pejuang berat.
 Ditubuhkan pada 5 April 1991, pasukan ini berpangkalan di Pangkalan Udara Kubinka, berhampiran Moscow, dan bernaung di bawah Pusat Demonstrasi Peralatan Penerbangan 237th Guards Proskurov.
Russian Knights menggunakan pesawat pejuang berat seperti Su-27, Su-30SM dan Su-35S dalam persembahan mereka.
Mereka merupakan satu-satunya pasukan aerobatik di dunia yang melakukan formasi aerobatik menggunakan pesawat pejuang berat tanpa sebarang pengubahsuaian khas.
Pasukan ini terkenal dengan formasi kompleks seperti “Kubinka Diamond”, yang melibatkan penerbangan serentak sembilan pesawat dalam formasi berlian.
Sementara itu, sebanyak 57 pesawat akan dipamerkan pada LIMA 2025, termasuk 43 aset udara statik daripada penyertaan tempatan dan antarabangsa, meningkat berbanding 34 pada tahun 2023.
Daripada jumlah itu, 26 merupakan aset udara tempatan manakala 17 lagi adalah daripada luar negara, termasuk negara seperti Brunei, Jerman, Itali, Kanada, Singapura, Rusia dan Amerika Syarikat.
Surya Kiran
Surya Kiran
Pesawat komersial dari India, Brazil, Perancis dan Itali juga akan turut dipamerkan.
Bagi segmen maritim pula, Menteri Pertahanan Malaysia itu memaklumkan bahawa sebanyak 31 kapal daripada armada tempatan dan antarabangsa akan mengambil bahagian dalam pameran statik dan perbarisan armada.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 19 kapal pada LIMA 2023. Daripada 31 kapal tersebut, 19 adalah milik Malaysia manakala 12 lagi berasal dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Bagi demonstrasi maritim, sebanyak 39 aset akan terlibat berbanding hanya 28 aset semasa edisi terdahulu,” tambah beliau.
Pasukan Aerobatik Surya Kiran (Surya Kiran Aerobatic Team, SKAT) merupakan unit demonstrasi udara rasmi Tentera Udara India (IAF) yang terkenal dengan persembahan formasi sembilan pesawat.
Ditubuhkan pada 27 Mei 1996, pasukan aerobatik ini berperanan sebagai duta udara India, mempamerkan kecekapan dan profesionalisme juruterbang tempur negara itu.
Surya Kiran, yang bermaksud “Sinar Matahari” dalam bahasa Sanskrit, beroperasi di bawah Skuadron No. 52 IAF, yang dikenali sebagai “The Sharks”.
Russian Knight
Russian Knight
Berpangkalan di Pangkalan Udara Bidar, Karnataka, pasukan ini pada asalnya menggunakan pesawat latihan HAL HJT-16 Kiran Mk.2.
Namun, pada tahun 2011, pasukan ini digantung sementara kerana kekurangan pesawat latihan, sebelum diaktifkan semula pada tahun 2015 dengan pesawat BAE Hawk Mk.132.
Pesawat Surya Kiran dicat dengan warna oren terang dan putih, dilengkapi dengan sistem pelepasan asap berwarna untuk menambah kesan visual semasa pertunjukan.
Pasukan ini terdiri daripada 13 juruterbang terlatih, dengan sembilan pesawat beraksi serentak dalam setiap pertunjukan. Juruterbang dipilih melalui proses saringan ketat dan menjalani latihan intensif selama enam bulan, termasuk 70 hingga 75 penerbangan latihan, sebelum layak menyertai formasi utama.
Sejak penubuhannya, Surya Kiran telah mengadakan lebih 500 pertunjukan di lebih 72 lokasi di India dan luar negara.
Pasukan ini pernah membuat persembahan di negara-negara seperti Sri Lanka, Myanmar, Thailand, Malaysia, Laos, Singapura, dan China.
Antara persembahan yang paling diingati termasuk semasa sambutan Hari Kemerdekaan India di Red Fort pada tahun 1998 dan semasa Pameran Aero India.
Surya Kiran
Surya Kiran
Seperti pasukan aerobatik lain, Surya Kiran tidak terlepas daripada insiden tragis.
Antara kejadian yang berlaku termasuk nahas pada 18 Mac 2006 yang meragut nyawa dua juruterbang, serta perlanggaran udara pada 19 Februari 2019 semasa latihan untuk Aero India, yang mengorbankan seorang juruterbang.
Pada 8 Oktober 2004, Surya Kiran menjadi unit pertama dalam IAF yang dianugerahkan “Chief of Air Staff Unit Citation” atas kecemerlangan mereka.
Dengan motto “Sadaiva Sarvōttama” yang bermaksud “Sentiasa Terbaik”, pasukan ini terus menjadi simbol kebanggaan dan keunggulan udara India.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.