Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Letupan Kuat Di Dhaka, Ibu Kota Bangladesh Sebabkan Tujuh Kematian, 50 Kecederaan

Menurut polis negara itu, punca letupan masih lagi dalam siasatan.

0 679

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Letupan kuat di sebuah bangunan tiga tingkat di kawasan popular dengan pembeli dikenali sebagai “Moghbazar” di ibu kota Bangladesh, Dhaka lewat  semalam, membunuh sekurang-kurang tujuh orang dan menyebabkan 50 orang yang lain cedera.

Menurut polis negara itu, punca letupan masih lagi dalam siasatan.

Bagaimanapun pihak berkuasa negara itu turut mengerahkan unit pemusnah bom ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bersama-sama anggota bomba dan pihak forensik polis.

Menurut saksi, letupan amat kuat sehingga menyebabkan cermin empat buah bas yang terletak berhampiran pecah dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang-penumpang yang menaiki bas terbabit.

Ketua Polis Dhaka Shafiqur Rahman mengesahkan setakat ini tujuh orang terbunuh dan 50 yang lain mengalami kecederaan termasuk beberapa yang parah. Kesemua mereka kini berada di hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Kakitangan sebuah hospital berkata, empat daripada yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.

“Anggota-anggota bomba masih berada di lokasi kejadian. Mereka akan menjalankan siasatan mengenai punca letupan tetapi kami mempercayai pengumpulan gas metana di dalam paip gas di tingkat bawah bangunan itu telah menyebabkan letupan,” katanya.

Saksi menyatakan bahawa letupan yang kuat itu telah menyebabkan beberapa bahagian bangunan tiga tingkat yang menempatkan restoran, kedai elektrik dan beberapa kedai lain itu runtuh.

Kedai-kedai berhampiran turut rosak dalam kejadian letupan itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...