Kapal LCS Pertama TLDM Mula Ujian Penerimaan Tahun Ini, Ambil Masa 22 Bulan
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang mengesahkan “berita gembira” itu berkata pada fasa ujian pelabuhan dan laut itu akan memakan masa sehingga 22 bulan untuk diselesaikan, sebelum kapal LCS pertama itu boleh ditauliahkan ke dalam TLDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas beberapa tahun, akhirnya kapal pertama Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan mula melalui Ujian Penerimaan Pelabuhan dan Ujian Penerimaan Laut (Harbour Acceptance Test and Sea Acceptance Trial) pada pertengahan tahun ini.
Bagaimanapun, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang mengesahkan “berita gembira” itu berkata pada fasa ujian pelabuhan dan laut itu akan memakan masa sehingga 22 bulan untuk diselesaikan, sebelum kapal LCS pertama itu boleh ditauliahkan ke dalam TLDM.
Pada fasa ujian pelabuhan dan laut itu akan melihat kapal LCS pertama negara milik TLDM itu dipasang dengan sistem serta peralatan seterusnya dan menjalani pelbagai ujian penerimaan sebelum ia ditauliah ke dalam perkhidmatan TLDM.
“Alhamdulillah, sekarang projek (pembinaan kapal LCS) ini diteruskan dan berjalan dengan baik. Kapal LCS pertama dijangka diturunkan ke air pada Mei atau Jun ini.
“Selepas itu, ada tempoh 22 bulan untuk kita buat ujian pemasangan sistem dan peralatan sebelum beroperasi pada penghujung 2026.
“Jika berjalan lancar, lapan bulan berikutnya akan menerima LCS kedua,” kata Panglima TLDM ketika ditemui media selepas upacara penamaan dan pentauliahan Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di Tanjung Gelang, hari ini.
Kapal pertama LCS negara itu dijangka akan hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada akhir 2026 dan lapan bulan selepas itu kapal kedua LCS negara akan memasuki perkhidmatan dan seterusnya sehinggalah kapal LCS yang kelima.
Panglima TLDM berkata, kejayaan pembinaan kapal LCS yang pertama adalah amat kritikal dalam menentukan kesinambungan projek, khususnya untuk kapal ke-2 sehinggalah kapal ke-5.
Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia bulan lepas, syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) menyatakan bahawa nilai keseluruhan kontrak pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) telah berubah kepada RM11.2 bilion berbanding RM9 bilion sebelum ini.
Kontrak sebelum ini antara Boustead Naval Shipyard (BNS), yang merupakan syarikat bersekutu BHIC dengan Kementerian Pertahanan telah ditandatangani pada 17 Julai 2014 melibatkan pembinaan enam buah kapal LCS pada kos RM9 bilion.
“Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” kata Timbalan Menteri Pertahanan baru-baru ini.
Kapal LCS kelas-Maharaja Lela TLDM apabila siap dibina kelak memiliki panjang 111 meter dan membawa kira-kira 118 orang krew kapal daripada pegawai sehinggalah kepada anak-anak kapalnya.
Dengan jenis propulsion CODAD (Combined Diesel and Diesel), kapal LCS TLDM itu memiliki kelajuan 28 knots ++ dan jarak operasi sehingga 5,000 batu nautika (pada kelajuan 15 knots).
Kapal-kapal LCS TLDM ini mampu beroperasi lebih jauh dan lebih lama .
Disebabkan saiznya, kapal memiliki kemudahan hangar dan helipad untuk mengoperasikan helikopter bersaiz sederhana seberat di antara 10 hingga 12 tan seperti EC725 dan lain-lain jenis helikopter.
Mengenai sistem persenjataannya, kapal-kapal kelas-Maharaja Lela ini akan dilengkapkan dengan sebuah meriam BAE Systems Bofor 57mm dengan kupola halimunan bertujuan mengurangkan Radar Cross Section (RCS) kapal.
Selain itu,ia juga dilengkapi dengan dua meriam MSI Defence DS30 MkII 30mm Remote Control Weapon System (RCWS) dan J+S pelancar torpedo.
Bagi sistem peluru berpandu anti-kapalnya pula, ketika kontrak ditandatangani kapal-kapal kelas-Maharaja Lela TLDM ini merupakan kapal perang pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan peluru berpandu NSM yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway.
Setiap sebuah kapal LCS TLDM itu akan dilengkapi dengan lapan butir peluru berpandu moden itu.
Bagi pertahanan udaranya pula, kapal perang itu dikatakan akan dilengkapidengan sistem peluru berpandu VL (Vertical Launch) MICA yang dibangunkan oleh firma MBDA.
Mengenai Sistem Pengurusan Peperangan (Combat Management System –CMS) pula, kapal-kapal LCS TLDM itu menggunakan sistem SETIS yang dibangunkan sendiri oleh firma Naval Group, walaupun di dalam laporan PAC mengatakan TLDM lebih berminat kepada sistem CMS “Tacticos.”
Untuk fire control radar, kapal-kapal LCS akan menggunakan Rheinmetall TMX/EO MKII manakala bagi sistem ESM pula ia menggunakan THALES VIGILE 100 ESM dan sonar pula kapal dilengkapi dengan THALES CAPTAS Variable Depth Sonar.
Untuk sistem decoy pula, ia menggunakan Super Barricade Decoy System manakala komunikasi ia menggunakan Link 16 dan Link 11 serta THALES TUUM-Underwater Communication System. — DSA
Comments are closed.