Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Prototaip Kereta Kebal “Altay” Yang Baru Didedah Oleh BMC Defense

Dalam fasa pertama, syarikat BMC Defence akan menghasilkan kira-kira 250 buah kereta kebal Altay, sebelum meningkatkan produksi untuk membina lebih daripada 1,000 kereta kebal itu untuk Angkatan Tentera Turkiye.

0 6,838

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Angkatan Tentera Turkiye akan menerima dua buah prototaip kereta kebal “Altay” yang baru  hari ini daripada syarikat tempatan, BMC Defense untuk tujuan ujian sebelum produksi secara besar-besaran kereta kebal keluaran tempatan itu dimulakan pada 2025.

Bermula pada separuh masa kedua 2026 pula, kereta kebal Altay itu akan mula dilengkapkan dengan enjin dan sistem transmisi yang dibekalkan oleh syarikat Korea Selatan.

Syarikat BMC Defense terpaksa mendapatkan “bantuan” daripada syarikat Korea Selatan untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi untuk kereta kebal Altay itu selepas Jerman mengenakan sekatan senjata terhadap Turkiye.

Altay

Sebelum ini, syarikat MTU dan Renk darpada Jerman dipilih untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi untuk kegunaan kereta kebal Altay itu.

Bagaimanapun, tindakan Jerman mengenakan sekatan ekonomi terhadap Turkiye hampir-hampir menyebabkan program pembangunan kereta kebal Altay itu tergendala.

Namun, dengan kemasukan syarikat Korea Selatan dalam membekalkan enjin dan sistem transmisi pada kereta kebal Altay itu telah  berjaya merancakkan kembali program pembangunan kereta kebal itu.

Turkiye juga dilaporkan sedang membangunkan enjin buatan tempatan dinamakan “BATU” yang bakal digunakan untuk kereta kebal Altay dan kenderaan berperisai yang lain.

Awal tahun ini, syarikat Korea Selatan SNT Heavy Industries telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan sistem transmisi enjin berkuasa 1,500 kuasa kuda kepada syarikat BMC Defense untuk digunakan pada kereta kebal Altay.

Kontrak bekalan sistem transmisi automatik itu bernilai US$217 juta (RM868 juta) adalah untuk tempoh sehingga tahun 2030.

BMC Defense adalah syarikat 100 milik Turkiye dan memiliki Hak Harta Intelek (Intelectual Property Rights) terhadap kereta kebal Altay dan enjinnya buatan tempatannya yang bakal dihasilkan di kilang milik Presidency of Defense Industries (SSB).

Untuk fasa pertama, syarikat BMC Defense akan menghasilkan 250 buah kereta kebal utama “Altay” di kemudahan syarikat terbabit di Ankara yang akan menghasilkan lapan buah kereta kebal utama itu dalam sebulan, menurut pengurus besar syarikat itu, Mehmet Karaaslan.

Secara keseluruhannya, syarikat BMC akan menghasilkan 1,000 kereta kebal “Altay” untuk Tentera Darat Turki.

Turki juga akan mengeksport “Altay” ke luar negara dengan Qatar bakal menjadi negara luar pertama yang menggunakan kereta kebal buatan Turki itu.

Syarikat Turki MKE juga berkerjasama dengan syarikat Korea Selatan, Hyundai ROTEM untuk membangunkan sistem meriam 120mm 55 caliber smoothbore gun yang akan digunakan oleh kereta kebal “Altay”.

Altay
Kereta kebal “Altay”

 

Selain itu, syarikat Hyundai Rotem juga bekerjasama dengan syarikat Turki, Roketsan untuk membangunkan modular armor bagi “Altay.”

Turki mula membangunkan kereta kebal “Altay” pada 2007, tetapi ia berhadapan dengan masalah untuk memperolehi enjin berikutan tindakan beberapa negara Eropah yang enggan membekalkannya di atas beberapa sebab.

Walaupun kereta kebal “Altay” akan menggunakan enjin dan sistem transmisi Korea Selatan pada peringkat awal, tetapi kereta kebal itu bakal menggunakan enjin buatan syarikat Turki sendiri dinamakan “Batu V”.

Enjin 12 silinder turbo diesel “Batu V” yang dibangunkan oleh BMC untuk kereta kebal “Altay” itu akan menjana kuasa sebanyak 1,600 kuasa kuda bagi mengerakkan kereta kebal yang memiliki berat keseluruhan 65 tan itu.

Enjin buatan tempatan serta sistem transmisi bagi kereta kebal itu adalah hasil kerjasama di antara BMC dengan syarikat-syarikat Itali Fiat/Iveco.

Altay
Kereta kebal “Altay” yang baru

 

Selain itu, bagi sistem perlindungan kereta kebal itu pula, ia akan dilengkapi dengan add-on armour yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkenal Turki, Roketsan untuk pertahanan daripada periuk api serta IED (Improvised Explosive Device).

“Altay” juga akan dilengkapi dengan Active Protection System (APS) dikenali dengan nama “Akkor” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, ASELSAN.

“Akkor” itu terdiri daripada launcher pods dan radar detection system yang diletakkan di atas turretnya.

Sistem APS “Akkor” akan memberikan perlindungan 24 jam kepada kereta kebal daripada sebarang ancaman roket atau peluru berpandu pihak musuh. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...