Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lapan Syarikat Bersaing Penuhi Tender FLIT/LCA TUDM – Panglima

Tender yang bernilai berbilion ringgit itu akan berakhir pada 22 September ini, selepas dibuka pada 22 Jun lepas. Terdapat kemungkinan akan ada syarikat-syarikat pembuat pesawat antarabangsa lain akan menyertai persaingan pada saat-saat akhir selagi tender belum lagi berakhir.

0 8,450

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini mengesahkan bahawa lapan buah syarikat pembuat pesawat antarabangsa telah menunjukkan minat setakat ini untuk membida tender 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tender yang bernilai berbilion ringgit itu akan berakhir pada 22 September ini, selepas dibuka pada 22 Jun lepas. Terdapat kemungkinan akan ada syarikat-syarikat pembuat pesawat antarabangsa lain akan menyertai persaingan itu pada saat-saat akhir selagi tender belum lagi berakhir.

“Proses tender masih lagi sedang berjalan kerana ia (tender) hanya akan dijadualkan ditutup pada 22 Sept ini,” kata PAT dalam satu sidang media hari ini.

Antara syarikat-syarikat yang telah pun menunjukkan minat terhadap tender FLIT/LCA TUDM itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada China yang menawarkan pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation yang menawarkan pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk.

Panglima
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

 

Syarikat-syarikat lain kemungkinan termasuk Korea Aerospace Industries (KAI) dengan pesawat FA-50 serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Terdapat juga laporan mengatakan syarikat pembuat pesawat daripada Republik Czech iaitu Aero Vodochody Aerospace turut menawarkan pesawat L-39 Albatros.

Sebagaimana yang dispekulasikan sebelum ini, persaingan untuk merebut tender FLIT/LCA itu adalah di antara Korea Aerospace Industries menerusi pesawat FA-50, PAC dan CAC menerusi pesawat JF-17 “Thunder” serta Hindustan Aeronautics Limited menerusi pesawat Tejas.

FA-50
Pesawat FA-50 .

 

Ketiga-tiga pesawat ini mempunyai peluang yang sama untuk memenangi tender Malaysia, dengan syarat mereka memenuhi kehendak TUDM. (termasuk kemungkinan bayaran dilakukan menerusi minyak kelapa sawit dan komoditi yang lain)

Dibawah pelan pembangunan CAP 55 (Capability 55) TUDM, Kementerian Pertahanan bercadang memperolehi 18 buah FLIT/LCA dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tempoh 2021-2025 dan 18 buah lagi dalam RMK-13 untuk tempoh pada 2026-2020.

Perolehan 36 pesawat pejuang FLIT/LCA untuk TUDM itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 buatan syarikat BAE daripada Britain yang sedang digunakan oleh tentera udara negara pada ketika ini.

Ia juga akan menggantikan pesawat latihan Aermacchi MB-339CM yang sedang digunakan oleh TUDM pada ketika ini.

T-7 Red Hawk
Pesawat T-7 Red Hawk daripada Boeing.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...