Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Laos “Tersungkur” Akibat Hutang China

0 631

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Nampaknya Laos yang berhadapan dengan masalah hutang yang besar daripada China akibat kerakusan negara itu membina empangan hidro, kini berhadapan dengan masalah lain pula.

Terbaru, agensi penarafan antarabangsa.  Fitch Ratings telah menurunkan penarafan negara Asia Tenggara itu kepada “CCC” daripada “B-“.

Laos adalah negara tunggal daripada 22 negara Asia Pasifik yang menerima taraf kredit “CCC”, bersamaan empat negara Afrika seperti Gabon, Gongo, Zambia dan Angola.

Dengan penurunan penarafan itu, Laos berhadapan dengan kemungkinan “risiko kredit yang besar” dan kemungkinan tidak mampu membayar balik hutangnya (default).

Fitch
Syarikat penarafan kredit antarabangsa, Fitch Ratings.

Menurut agensi penarafan antarabangsa itu sebagaimana dipetik oleh media The Nikkei Asian Review, adalah amat jarang baginya untuk memberikan penarafan serendah “CCC” kepada sebuah negara berdaulat.

Selain Fitch Ratings, sebuah lagi syarikat penarafan kredit iaitu Moody’s Investor Service turut bertindak menurunkan taraf kredit negara Asia Tenggara itu kepada “Caa2” daripada “B3”.

Moody’s turut menurunkan prospek masa depan negara itu kepada “negatif.”

Apa maksud penurunan taraf kredit itu sebenarnya, ia bermakna Laos akan berhadapan kadar faedah yang lebih tinggi jika ia mengambil hutang dengan mana-mana bank atau institusi kewangan antarabangsa.

Pelabur antarabangsa juga tidak akan melabur di negara yang mempunyai kadar penarafan yang rendah.

Sebab itulah, kadar penarafan oleh syarikat-syarikat penarafan kredit antarabangsa ini amat penting kerana adalah suatu penanda aras tentang keadaan ekonominya.

Menurut portal Trading Economic, kadar penarafan kredit Malaysia pada ketika ini sebagaimana diunjurkan oleh Standard & Poor’s adalah “A-” manakala prospek masa depan adalah “negatif”, manakala bagi Moody’s pula, adalah “A3” dan prospek “stabil”.

Fitch juga meletakkan Malaysia pada “A-” dan prospek masa depan, “Stabil.”

So, kedudukan Malaysia dan Laos adalah amat berlainan walaupun kedua-duanya menerima pelaburan daripada China dalam pembinaan pelbagai infrastruktur.

Laos
Aktivis alam sekitar mengkritik pembinaan keghairahan Laos membina empangan yang didakwa menyebabkan kemusnahan alam sekitar di negara Asia Tenggara itu. (kredit internet)

Antara sebab utama disebalik penurunan penarafan kredit Laos adalah kerana tekanan terhadap tahap kecairan dalam negara berikutan pandemik COVID-19 dan jumlah besar pembayaran hutang dalam waktu terdekat ini.

Menurut Fitch, kedudukan terkini ini memungkinkan Laos terpaksa bergantung kepada bantuan daripada China.

Laos perlu membayar hutang berjumlah US$500 pada akhir tahun ini, diikuti US$1.1 billion setiap tahun selama empat tahun mulai tahun depan.

Kadar rizab luar negara Laos adalah US$1.3 billion.

Berikutan keadaan yang semakin buruk, Laos kini berhadapan kemungkinan diisytihar bankrap berikutan kegagalannya melunaskan hutang yang dipinjamnya daripada bank-bank China.
Sebagaimana yang diketahui, negara Asia Tenggara itu meminjam berbillion dollar dengan bank-bank China (kebanyakkannya milik negara) untuk membina empangan-empangan hidro yang menjana elektrik.
Elektrik yang dijana daripada projek-projek empangan hidro Laos yang disokong kuat oleh Beijing itu akan dijual kepada negara lain, terutamanya negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Laos ini yang bercita-cita mahu menjadi “Battery of South East Asia” dengan projek menjual kuasa elektrik kepada negara-negara sekitar.
Kuasa elektrik adalah komoditi utama Laos ketika ini, namun negara Asia Tenggara itu nampaknya tersilap langkah dan kini terpaksa menanggung beban hutang yang besar.
Akibat kegagalan membayar hutang kepada bank-bank China itu, Laos terpaksa melepaskan penguasaan terhadap transmisi bekalan elektrik yang dijana oleh empangan terbabit kepada syarikat China.
Laos dan China
China merupakan pelabur terbesar di Laos. (gambar sumber internet)
Syarikat China kini berhak mengurus transmisi bekalan elektrik Laos.
Pada 1 Sept, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Electricite du Laos (EDL) dengan China Southern Power Grid Co yang memberikan hak transmisi elektrik itu kepada syarikat China.
Menurut satu laporan, EDL kini dibeban dengan hutang berjumlah US$12.6 billion, iaitu 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Laos.
Perjanjian itu adalah sebahagian jalan penyelesaian kepada masalah hutang yang membelenggu Laos.
Ini adalah satu lagi contoh “debt trap” yang sering dikaitkan dengan projek-projek infrastruktur China terutamanya yang berkait rapat dengan projek Belt and Road Intiatives.
Bukan setakat hutang untuk membina empangan-empangan hidro, Laos juga meminjam daripada bank-bank China untuk membina laluan kereta api daripada ibunegaranya, Vientiane ke sempadannya dengan China.
Laluan sepanjang 417km itu dianggarkan bernilai US$6.2 billion.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...