Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron Berani Mati Russia, Lancet Musnah 80 Peratus Daripada Sasarannya

ZALA Aero, syarikat Russia yang membangunkan dron berani mati Lancet itu berkata sistem itu telah berjaya memusnahkan 80 peratus daripada sasaran-sasaran tentera Ukraine daripada keseluruhan 872 dronnya yang dikerahkan sejak konflik antara dua negara jiran itu berlaku.

0 3,075

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Diantara Februari 2022 hingga Disember 2023, pihak tentera Russia telah mengerah sejumlah 872 buah dron berani mati Lancet dan ia telah berjaya memusnahkan sejumlah 698 sasaran pihak Ukraine.

ZALA Aero, syarikat Russia yang membangunkan dron berani mati Lancet itu berkata sistem itu telah berjaya memusnahkan 80 peratus daripada sasaran-sasaran tentera Ukraine daripada keseluruhan 872 dronnya yang dikerahkan sejak konflik antara dua negara jiran itu berlaku.

ZALA Aero merupakan anak syarikat kepada Kalashnikov Concern, syarikat pembuat senjatapi AK-47 yang  terkenal bukan sahaja di Russia tetapi di seluruh dunia.

Dron berani mati “Lancet” itu amat digeruni oleh tentera Ukraine dan kini senjata itu menjadi lebih berbahaya selepas dinaiktaraf oleh syarikat pembuatnya itu dengan melengkapkan dron kamikaze itu dengan kemampuan Artificial Intelligence (AI).

Jikalau sebelum ini, dron berani mati itu dikawal oleh anggota tentera Russia daripada jauh tetapi kini laporan terbaru mengatakan dron “Lancet” itu kini beroperasi secara otonomi tanpa sebarang kawalan daripada manusia menerusi kemampuan AI miliknya.

Dalam ertikata sebenarnya, dron berani mati keluaran ZALA Aero itu kini boleh mengesan, mengenalpasti dan membedil sasarannya sendiri tanpa sebarang campurtangan atau kawalan daripada pengendalinya.

Lancet
Kemudahan produksi dron Lancet

 

Dalam video-video yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluarnya, dron Lancet itu telah berjaya memusnahkan pelbagai senjata sepanjang dua tahun konflik di Ukraine seperti kereta kebal, meriam, kereta perisai dan bot-bot pendaratnya.

Salah satu peningkatan yang paling ketara dilakukan terhadap dron berani mati Lancet itu adalah kemampuannya untuk beroperasi dalam keadaan sukar dikesan oleh pihak musuh terutamanya apabila ia dilengkapkan dengan modul optical.

Pihak tentera Ukraine mengesan penggunaan modul optical yang menyaksikan dron itu mampu beroperasi dalam keadaan paling sukar dan waktu malam pada Disember tahun lepas.

Sebagaimana dinyatakan oleh pelbagai sumber Russia, usaha menaiktaraf kemampuan dron berani mati Lancet itu telah dilaksanakan secara berperingkat dan dron-dron itu mempunyai pelbagai varian yang dibezakan dengan tahap kemodenannya.

Antara varian terkini dron Lancet dikenali dengan nama “Izdeliye 53”.

Varian terkini Lancet, “Izdeliye 53” itu boleh beroperasi secara swarm dalam empat buah dron bagi membolehkan ia memusnahkan pelbagai senjata musuh dan dalam masa yang sama, mengelak ia dipintas oleh pihak musuh.

Lancet-3
“Izdeliye 53”

 

Bernilai hanya US$35,000 (RM157,000) sebuah, Russia menggunakan dron berani mati “Lancet” itu untuk memusnahkan senjata-senjata milik Ukraine yang harganya jauh lebih mahal seperti sistem artilleri dan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Sebelum ini banyak video-video telah tersebar di media sosial menunjukkan keberkesanan dron berani mati “Lancet” itu dalam memusnahkan sistem-sistem artilleri buatan Kesatuan Soviet dan negara-negara Barat M777, Paladin dan sistem artileri bergerak KRAB buatan Poland.

Malah dron berani mati Russia itu juga bertanggungjawab memusnahkan sistem pertahanan udara tentera Ukraine seperti S-300 dan juga kereta-kereta kebal Leopard.

Dengan peningkatan jarak dan keberkesanan dron berani mati “Lancet” itu menerusi integrasi dengan teknologi AI,  ia akan membolehkan Russia menyerang lebih banyak sasaran tentera Ukraine.

Lancet
Pesawat Su-25 Ukraine dibedil oleh dron Lancet.

 

Sebelum ini, syarikat pembuat dron berani mati Russia itu, ZALA Aero menyatakan bahawa senjata itu berkemampuan untuk terbang dan menyerang sasarannya pada jarak di antara 60km hingga 110km.

Menurut Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu, sebanyak 45 peratus daripada kelengkapan tentera Ukraine terutamanya sistem artilleri yang dibekalkan oleh negara-negara NATO telah dimusnahkan oleh dron berani mati “Lancet” sejak konflik tercetus pada Februari tahun lepas.

Sumber-sumber tentera Russia sebagaimana dipetik oleh media negara itu mengatakan bahawa dron berani mati bertanggungjawab terhadap kemusnahan 80 peratus sistem artilleri bergerak M109 Paladin dan 25 peratus daripada meriam M777 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com
Comments
Loading...