Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Muncul Negara Ke-8 Dunia Lancar Peluru Berpandu Ballistik Kapal Selam (SLBM)

Bagaimanapun, Korea Selatan adalah satu-satunya negara bukan kuasa nuklear yang berjaya lakukan pelancaran peluru berpandu ballistik daripada kapal selam (Submarine-Launched Ballistic Missile SLBM) berbanding tujuh negara kuasa nuklear yang lain.

0 3,481

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan muncul sebagai negara ke-lapan di dunia yang berjaya melancarkan peluru berpandu ballistik lancaran kapal selam, mengikut jejak langkah negara-negara seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Korea Utara, Perancis, Britain dan India.

Bagaimanapun, Korea Selatan adalah satu-satunya negara bukan kuasa nuklear yang berjaya lakukan pelancaran peluru berpandu ballistik daripada kapal selam (Submarine-Launched Ballistic Missile SLBM) berbanding tujuh negara kuasa nuklear yang lain.

Menurut laporan daripada agensi berita YONHAP, peluru berpandu ballistik Korea Selatan itu berjaya dilancarkan oleh kapal selam “KSS III Dosan Ahn Chang-ho” seberat kira-kira 3,000 tan daripada lokasi perairan negara itu yang tidak didedahkan.

Memandangkan Korea Selatan bukan sebuah negara nuklear, peluru berpandu ballistik miliknya hanya dilengkapi dengan peledak konvensional berlainan dengan tujuh negara lain yang melengkapkan peluru berpandu ballistic mereka dengan peledak nuklear.

Peluru berpandu ballistik lancaran kapal selam milik Korea Selatan itu, “Hyunmoo 4-4” itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 500km.

Kapal selam

Kapal selam “Dosan Ahn Chang-Ho” berkemampuan membawa sehingga enam buah peluru berpandu ballistik “Hyunmoo 4-4”.

Tentera Laut Korea Selatan telah mentauliahkan kapal selam “KSSIII Dosan Ahn Chang-ho” itu dalam perkhidmatan bulan lepas.

Korea Selatan merekabentuk kapal selam “KSSIII Dosan Ahn Chang-ho” untuk bersaing dengan kapal-kapal selam Korea Utara yang mampu melancarkan peluru berpandu ballistik berkuasa nuklear “Pukguksong.”

Korea Selatan kini sedang membangunkan lebih banyak peluru berpandu berkuasa tinggi bertujuan untuk memusnahkan kubu-kubu pertahanan diperkukuhkan milik rejim Korea Utara, selain mengurangkan kebergantungannya terhadap tentera Amerika Syarikat yang menempatkan ribuan anggota tenteranya di negara Asia Timur itu.

Menurut media-media tempatan, pelancaran peluru berpandu ballistik lancaran kapal selam terbabit itu disifatkan sebagai satu perkembangan yang amat baik untuk tentera Korea Selatan.

Tentera Korea Selatan dijangka melakukan satu lagi pelancaran peluru berpandu ballistik “Hyunmoo 4-4” lancaran kapal selam pada akhir bulan ini untuk menguji jarak dan ketepatannya, sebelum pembinaan peluru berpandu itu memasuki fasa produksi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...